Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 21

A A A
Alkitab Versi Borneo

Ayub membalas

1Kemudian Ayub menjawab, 2"Dengarlah baik-baik kata-kataku.

Biarlah itu menjadi penghiburanmu.

3Bersabarlah, aku hendak berbicara.

Setelah aku berbicara bolehlah kamu mempersendakan lagi.

4Adakah keluhanku tertuju kepada manusia?

Mengapa hatiku tidak boleh tidak sabar?

5Pandanglah aku dan tercenganglah,

tekapkanlah tangan ke mulut.

6Jika aku mengingatnya, aku tergoncang.

Kengerian mencengkam tubuhku.

7Mengapakah orang fasiq terus hidup,

menjadi tua bahkan bertambah-tambah kekuatannya?

8Keturunan mereka mapan di hadapan mereka dan bersama dengan mereka,

anak cucu mereka di hadapan mata mereka.

9Rumah-rumah mereka aman, tidak ada yang berasa takut;

tongkat penghukuman Allah tidak menimpa mereka.

10Lembu jantan mereka menjadi pembiak dan tidak gagal,

lembu betina mereka beranak dan tidak keguguran.

11Mereka melepaskan kanak-kanak mereka keluar seperti kawanan domba,

anak mereka melompat-lompat.

12Mereka menyanyi diiringi bunyi rebana dan kecapi,

bergembira diiringi bunyi seruling.

13Mereka menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran

dan dengan tenang turun ke alam kubur.

14Padahal mereka berkata kepada Allah, 'Nyahlah daripada kami!

Kami tidak ingin mengenal jalan-jalan-Mu.

15Apakah Yang Maha Kuasa itu sehingga kami harus beribadat kepada-Nya?

Apa faedahnya bagi kami kalau kami berdoa kepada-Nya?'

16Namun demikian, kemakmuran mereka tidak terletak dalam kuasa mereka sendiri!

Maka nasihat orang fasiq itu memang jauh daripadaku.

17Berapa seringkah pelita orang fasiq dipadamkan,

kemalangan menimpa mereka,

dan kesakitan dibahagikan Allah kepada mereka dalam murka-Nya?

18Berapa seringkah mereka seperti jerami yang diterbangkan angin,

seperti sekam yang dilayangkan angin puyuh?

19Kamu berkata, 'Kerana kesalahan seseorang Allah menyimpan hukuman bagi anak-anaknya,'

tetapi biarlah itu dibalas atas kalangan itu sendiri,

supaya mereka tahu!

20Biarlah matanya sendiri melihat kebinasaannya,

biarlah dia sendiri minum daripada murka Yang Maha Kuasa,

21kerana peduli apa dia dengan keluarganya setelah dia mati,

setelah berakhirnya sekian bulan-bulannya?

22Dapatkah orang mengajarkan pengetahuan kepada Allah,

memandangkan Dia juga mengadili orang yang berkedudukan tinggi?

23Seorang mati dengan sepenuh kekuatannya,

dan dalam segala keadaan terjamin dan selesa.

24Perutnya penuh dengan air susu,

sumsum tulangnya masih segar.

25Seorang yang lain lagi mati dengan hati getir,

tanpa pernah menikmati apa yang baik.

26Namun demikian, mereka sama-sama berbaring dalam debu;

belatung menyelubungi mereka.

27Sesungguhnya, aku tahu apa yang kamu fikirkan

dan muslihatmu untuk menzalimi aku.

28Kamu berkata, 'Di mana rumah pemuka itu?

Di manakah khemah kediaman orang fasiq itu?'

29Adakah kamu pernah bertanya kepada orang yang lalu-lalang di jalan?

Tidakkah kamu memperhatikan petunjuk-petunjuk mereka,

30bahawa orang jahat terlindung daripada hari bencana

dan mereka dibawa menyingkir pada hari kemurkaan Allah?

31Siapakah yang menggugat kelakuannya di depan mukanya?

Sesiapa yang membalas dia selaras dengan perbuatannya?

32Dia dihantar orang ke kuburan,

makamnya dijaga.

33Gumpalan-gumpalan tanah di lembah terasa sedap baginya.

Semua orang mengikuti di belakangnya,

sebagaimana orang yang tidak terhitung banyaknya sudah mendahuluinya.

34Jadi bagaimanakah kamu dapat menghiburkan aku dengan kesia-siaan?

Semua jawapanmu hanya menyisakan kemungkaran belaka."