Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 18

A A A
Alkitab Versi Borneo

Bildad: Orang fasiq pasti binasa

1Maka Bildad, orang Suah, menjawab, 2"Berapa lama lagi kamu hendak mencari kata-kata?

Sedarilah, sesudah itu baru kami akan berbicara.

3Mengapa kami dianggap binatang?

Mengapa di matamu kami dianggap bodoh?

4Engkau yang mencabik-cabik dirimu sendiri dalam amarah,

masakan dunia harus dibengkalaikan demi engkau,

atau batu pejal dipindahkan dari tempatnya?

5ABagaimanapun juga cahaya orang fasiq akan dipadamkan,

nyala apinya tidak akan bercahaya.

6Cahaya di dalam khemahnya menjadi gelap,

pelita di atasnya dipadamkan.

7Langkahnya yang tegap dipersempit,

dan rancangannya sendiri menjatuhkan dia.

8Kakinya sendiri memasukkan dia ke dalam jaring,

dia berjalan di atas jala.

9Perangkap menangkap tumitnya,

jerat menahan dia.

10Tali jebakan untuknya tersembunyi di tanah,

ada perangkap baginya di jalan.

11Kedahsyatan mengejutkan dia di segala penjuru,

mengejarnya pada setiap langkahnya.

12Kekuatannya hilang kerana lapar.

Bencana bersiap menantikan dia terantuk,

13memakan bahagian-bahagian kulitnya.

Anak sulung maut memakan anggota tubuhnya.

14Dia diseret dari khemahnya yang aman,

dia dibawa melangkah menghadap raja kegerunan.

15Orang yang tidak ada kena-mengena dengannya diam di khemahnya,

belerang dihamburkan ke atas kediamannya.

16Di bawah, akar-akarnya mengering,

di atas, cabangnya layu.

17Ingatan kepadanya lenyap dari bumi,

namanya tidak lagi disebut di jalan.

18Dia diusir dari cahaya ke dalam gelap,

dihalau dari dunia.

19Dia tidak ada anak atau cucu-cicit dalam kalangan bangsanya,

tidak ada yang terselamat di tempat tinggalnya.

20Orang di barat tercengang melihat ajalnya,

orang di timur dicengkam kengerian.

21Sungguh, demikianlah kediaman orang zalim,

begitulah tempat tinggal orang yang tidak mengenal Allah."