Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 17

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Semangatku patah, hari-hariku punah,

kubur menantikan aku.

2Sesungguhnya, orang yang mengejek-ejek mengelilingiku,

dan mataku terus menyaksikan sindiran mereka.

3Jaminlah aku dengan diri-Mu sendiri.

Sesiapa lagi yang dapat membuat perjanjian penjaminan dengan aku?

4Engkau telah menutup hati mereka sehingga mereka tidak berpengertian,

itulah sebabnya Engkau tidak akan meninggikan mereka.

5Sesiapa yang mengadukan sahabatnya demi keuntungan,

mata anak-anaknya akan menjadi rabun.

6Aku dijadikan bahan sindiran orang ramai,

aku menjadi orang yang diludahi mukanya.

7Mataku kabur kerana rasa kesal,

seluruh anggota tubuhku seperti bayang-bayang.

8Orang yang lurus hati tercengang kerana hal ini,

orang yang tidak bersalah bangkit melawan orang munafik.

9Meskipun begitu, orang benar akan tetap berpegang kepada jalannya,

dan orang yang suci tangannya akan bertambah kuat.

10Tetapi kamu sekalian, silakan mula lagi!

Aku tidak akan menemukan seorang bijak dalam kalanganmu!

11Hari-hariku telah berlalu, rancangan-rancanganku telah gagal,

demikian pula cita-cita hatiku.

12Mereka ubah malam jadi siang.

'Cahaya sudah dekat,' kata mereka di hadapan kegelapan.

13Jika kuharapkan alam kubur sebagai rumahku,

jika kuhamparkan petiduranku dalam kegelapan,

14jika kukatakan kepada liang kubur, 'Engkau ayahku,'

dan kepada belatung, 'Ibuku,' atau 'Saudara perempuanku,'

15maka di manakah pengharapanku?

Pengharapanku – siapakah yang dapat melihatnya?

16Pengharapan itu akan turun ke pintu gerbang alam kubur

apabila kami turun bersama-sama ke dalam debu."