Alkitab Versi Borneo |
Keluh-kesah Ayub 1Lalu Ayub menjawab, 2"Aku sudah mendengar banyak percakapan seperti itu. Kamu semua penghibur hati yang menyeksa! 3Tidak habis-habiskah kata-kata kosong itu? Apakah yang mendesak kamu sehingga engkau menjawab? 4Aku juga boleh berkata-kata seperti kamu, sekiranya kamu yang berada di tempatku. Aku boleh menyusun perkataan menentang kamu dan menggeleng-gelengkan kepala terhadapmu. 5Tetapi aku akan menguatkan kamu dengan mulutku, penghiburan bibirku akan meredakan dukacita kamu. 6Jika aku bercakap, deritaku tidak semakin reda, dan jika aku berdiam diri, adakah derita ini akan pergi daripadaku? 7Tetapi sekarang Dia telah membuat aku lelah. Engkau telah memporak-perandakan seluruh keluargaku. 8Engkau menjadikan aku kering kerepot – itulah yang menjadi saksi menentang aku, kekurusanku bangkit dan bersaksi di depanku. 9Murka-Nya mencabik-cabik dan menganiaya aku. Dia menggertakkan gigi-Nya terhadap aku. Lawanku memandang aku dengan tajam. 10Mereka mengangakan mulut kepadaku, menampar pipiku dengan celaan, dan berkerumun bersama-sama untuk melawan aku. 11Allah menyerahkan aku kepada orang zalim, dan menjatuhkan aku ke dalam tangan orang fasiq. 12Aku hidup dengan tenang, tetapi Dia meremukkan aku.
Dia menangkap tengkukku dan meluluhlantakkan aku.
Dia menegakkan aku sebagai sasaran-Nya. 13Para pemanah-Nya mengelilingi aku. Dia membelah ginjalku tanpa rasa sayang, Dia menumpahkan hempeduku ke tanah. 14Dia mematahkan aku, lagi dan lagi. Dia berlari menyerang aku seperti seorang kesateria. 15Aku telah menjahit kain kabung pada kulitku, dan membenamkan kekuatanku dalam debu. 16Mukaku merah kerana menangis, di kelopak mataku ada bayang-bayang maut, 17padahal tidak ada kekerasan di tanganku dan doaku tulus ikhlas. 18Wahai bumi, jangan kaututup darahku, jangan ada tempat rehat bagi jeritanku! 19ASekarang juga, ketahuilah, Saksiku ada di syurga, Yang Bersaksi bagiku ada di tempat yang tinggi. 20Sahabat-sahabatku mencelaku, tetapi aku mencucurkan air mata di hadapan Allah, 21supaya Saksiku merayu kepada Allah bagi pihakku seperti manusia merayu bagi sesamanya. 22Setelah tibanya sekian tahun, aku akan menempuh jalan, dari situ aku tidak akan kembali lagi.