Alkitab Versi Borneo |
Hukuman Allah tidak terelakkan 1"Larilah ke sana ke mari di jalan-jalan Yerusalem, lihatlah dan perhatikan, carilah di tempat-tempat umumnya. Jika kamu dapat menemukan seseorang yang menegakkan keadilan dan yang mencari kebenaran, maka Aku akan mengampuni kota itu. 2Kalaupun mereka berkata, 'Demi Tuhan yang hidup,' mereka itu bersumpah dusta." 3Ya Tuhan, bukankah mata-Mu tertuju pada kebenaran? Engkau memukul mereka, tetapi mereka tidak berasa sakit. Engkau menghancurkan mereka, tetapi mereka tidak mahu menerima pengajaran. Mereka mengeraskan kepala lebih daripada batu, dan tidak mahu bertaubat. 4Kufikir, "Itu hanya orang miskin.
Mereka bodoh, kerana mereka tidak mengenal jalan Tuhan,
hukum Allah mereka. 5Aku akan pergi menemui orang besar dan berbicara dengan mereka, kerana merekalah yang mengenal jalan Tuhan, hukum Allah mereka." Tetapi mereka pun sama-sama telah mematahkan kuk, telah memutuskan tali-tali pengikat. 6Oleh sebab itu mereka akan dibunuh oleh singa dari hutan dan dibinasakan oleh serigala dari gurun. Harimau bintang akan mengintai di pinggir kota mereka, setiap orang yang keluar dari situ akan dicabik-cabikkan, kerana pelanggaran mereka banyak dan kemurtadan mereka besar. 7"Bagaimanakah mungkin Aku mengampuni engkau? Anak-anakmu telah meninggalkan Aku, lalu bersumpah demi yang bukan Tuhan. Setelah Aku mengenyangkan mereka, mereka berzina dan berkerumun di rumah perempuan sundal. 8Mereka seperti kuda jantan yang kenyang dan penuh ghairah nafsu, masing-masing meringkik menginginkan isteri orang lain. 9Masakan Aku tidak menghukum mereka kerana hal-hal ini?" demikianlah firman Tuhan, "masakan Aku tidak menuntut balas atas bangsa yang seperti ini? 10Datanglah ke kebun anggurnya, musnahkannyalah, tetapi jangan hapuskannya sama sekali. Singkirkanlah carang-carangnya, kerana semua itu bukan milik Tuhan. 11Keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda telah sangat khianat terhadap Aku," demikianlah firman Tuhan. 12Mereka mengingkari Tuhan dan berkata, "Dia tidak akan berbuat apa-apa! Malapetaka tidak akan menimpa kita, pedang dan bencana kebuluran tidak akan kita lihat. 13Para nabi seumpama angin, tidak ada firman pada mereka. Begitulah akan dilakukan terhadap mereka." 14Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, Allah alam semesta, "Kerana mereka mengucapkan perkataan itu, maka firman-Ku yang ada di dalam mulutmu akan Kujadikan api, dan bangsa ini Kujadikan kayu bakar. Api akan melahap mereka. 15Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan sebuah bangsa dari jauh untuk menyerang kamu, wahai keturunan kaum Israel," demikianlah firman Tuhan, "sebuah bangsa yang kuat lagi teguh, bangsa purbakala, bangsa yang tidak kauketahui bahasanya, dan yang tidak kaufahami perkataannya. 16Tabung panahnya seperti kubur menganga, mereka semua kesateria. 17Mereka akan melahap hasil tuaianmu dan makananmu, melahap anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan. Mereka akan melahap kawanan dombamu dan kawanan lembumu, melahap pokok anggurmu dan pokok aramu. Mereka akan menghancurkan dengan pedang kota-kotamu yang berkubu, yang kauharapkan." 18"Tetapi pada masa itu pun," demikianlah firman Tuhan, "Aku tidak akan menghapuskan kamu sama sekali. 19Nanti, apabila orang bertanya-tanya, 'Mengapakah Tuhan, Allah kita, melakukan segala hal ini terhadap kita?' maka engkau harus menjawab mereka, 'Seperti kamu meninggalkan Aku dan menghamba kepada tuhan-tuhan bangsa asing di negerimu, demikianlah kamu akan menghamba kepada orang asing di sebuah negeri yang bukan negerimu." 20Beritahukanlah hal ini kepada keturunan kaum Yakub, khabarkannya di Yehuda dengan mengatakan, 21A"Dengarlah hal ini, wahai bangsa yang tolol dan tidak mempunyai pengertian, yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, yang mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. 22B'Adakah kamu tidak takut kepada-Ku,' demikianlah firman Tuhan, 'adakah kamu tidak gementar di hadirat-Ku? Akulah yang menetapkan pasir pantai sebagai perbatasan laut, sebagai batas kekal yang tidak dapat dilaluinya. Gelombang yang mengganas sekalipun tidak sanggup melaluinya, gelombang yang menderu-deru sekalipun tidak sanggup mengatasinya. 23Tetapi bangsa ini mempunyai hati yang membangkang dan derhaka. Mereka telah menyimpang lalu pergi. 24Mereka tidak berkata dalam hati,
'Baiklah kita takut kepada Tuhan Allah kita,
yang menurunkan hujan pada musimnya,
baik hujan awal musim mahupun hujan akhir musim,
dan yang menjamin minggu-minggu penuaian yang tetap bagi kita.' 25Kesalahanmu telah menjauhkan hal-hal ini, dosamu telah menahan hal yang baik daripadamu. 26Sesungguhnya, antara umat-Ku terdapat orang fasiq, mereka mengintai seperti orang yang memasang jerat pemikat burung. Mereka memasang perangkap, mereka menangkap manusia. 27Seperti sangkar penuh dengan burung, demikianlah rumah mereka penuh dengan tipu daya. Itulah sebabnya mereka menjadi besar dan kaya, 28menjadi gemuk dan berseri-seri. Bahkan mereka sudah keterlaluan dalam hal kejahatan. Mereka tidak menghakimi perkara anak yatim secara adil untuk memenangkannya. Mereka tidak membela hak orang sesak. 29Masakan Aku tidak menghukum mereka kerana hal-hal ini?" demikianlah firman Tuhan, "masakan Aku tidak menuntut balas terhadap bangsa yang seperti ini? 30Hal yang dahsyat dan mengerikan terjadi di negeri ini: 31Para nabi menyampaikan nubuat dusta, para imam memerintah sekehendak hati mereka, dan umat-Ku menyukai keadaan demikian. Tetapi apa yang akan kamu lakukan ketika kesudahannya tiba?"