Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yeremia 44

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nubuat terakhir Yeremia di Mesir

1Demikianlah firman yang turun kepada Yeremia mengenai semua orang Yehuda yang tinggal di Tanah Mesir, iaitu di Migdol, di Tahpanhes, di Memfis, dan di Tanah Patros, 2"Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Kamu telah melihat segala malapetaka yang Kudatangkan ke atas Yerusalem dan ke atas semua kota Yehuda. Lihatlah, kota-kota itu telah menjadi reruntuhan pada hari ini dan tidak ada yang tinggal di dalamnya 3kerana kejahatan yang dilakukan mereka. Mereka hendak membangkitkan murka-Ku dengan pergi membakar dupa dan beribadat kepada tuhan-tuhan lain yang tidak dikenal, baik oleh mereka sendiri, oleh kamu, mahupun oleh nenek moyangmu. 4Aku terus-menerus mengutus kepadamu semua hamba-Ku, para nabi itu, dengan pesan, 'Jangan lakukan hal keji yang Kubenci ini.' 5Tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memasang telinga untuk bertaubat daripada kejahatan mereka dan tidak lagi membakar dupa bagi tuhan-tuhan lain. 6Oleh sebab itu amarah-Ku dan murka-Ku tercurah lalu menyala-nyala di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem, sehingga semuanya menjadi reruntuhan dan sunyi sepi sebagaimana nyata pada hari ini.

7Sekarang, beginilah firman Tuhan, Allah alam semesta, Allah Israel: Mengapakah kamu mendatangkan malapetaka besar atas dirimu sendiri? Adakah kamu hendak melenyapkan lelaki, perempuan, anak-anak, dan bayi-bayi yang menyusu daripada kalangan orang Yehuda, sehingga tidak tersisa apa-apa pun bagimu? 8Mengapakah kamu membangkitkan murka-Ku dengan buatan tanganmu dan membakar dupa bagi tuhan-tuhan lain di Tanah Mesir, yang kamu masuki untuk tinggal sebagai pendatang? Dengan demikian kamu dilenyapkan dan menjadi kutukan serta celaan antara segala bangsa di bumi. 9Sudah lupakah kamu akan kejahatan nenek moyangmu, kejahatan raja-raja Yehuda dan isteri-isteri mereka, juga kejahatanmu sendiri serta isteri-isterimu yang dilakukan di Tanah Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem? 10Sampai hari ini mereka tidak merendahkan diri, tidak berasa takut, dan tidak menuruti hukum-Ku serta ketetapan-ketetapan-Ku yang telah Kuberikan kepadamu dan kepada nenek moyangmu.

11Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku berketetapan untuk menghancurkan kamu dan melenyapkan semua orang Yehuda. 12Aku akan mengambil saki-baki orang Yehuda yang telah membulatkan hati untuk pergi ke Tanah Mesir dan tinggal sebagai pendatang di sana. Mereka semua akan dihabiskan. Di Tanah Mesir mereka akan tewas oleh pedang dan akan habis oleh bencana kebuluran. Daripada yang kecil sampai yang besar, semuanya akan mati oleh pedang dan oleh bencana kebuluran. Mereka akan menjadi kutukan, kengerian, sumpahan, dan celaan. 13Aku akan menghukum mereka yang tinggal di Tanah Mesir dengan pedang, dengan bencana kebuluran, dan dengan wabak penyakit, sebagaimana Aku menghukum Yerusalem. 14Daripada saki-baki orang Yehuda yang telah pergi ke Tanah Mesir untuk tinggal sebagai pendatang di sana tidak ada yang akan terselamat atau tertinggal untuk kembali ke Tanah Yehuda, meskipun mereka rindu untuk kembali dan tinggal di sana. Sungguh, mereka tidak akan kembali, kecuali beberapa orang yang terselamat."

15Kemudian semua orang yang tahu bahawa isteri mereka membakar dupa kepada tuhan-tuhan lain dan juga semua perempuan yang hadir di situ – sebuah kumpulan besar, iaitu seluruh rakyat yang tinggal di Tanah Mesir dan di Patros – menjawab Yeremia demikian, 16"Kami tidak mahu mendengar perkataan yang kausampaikan kepada kami atas nama Tuhan itu. 17Kami akan tetap melakukan segala hal yang telah kami ucapkan: kami hendak membakar dupa kepada Ratu Langit dan mencurahkan persembahan minuman kepadanya, sebagaimana biasa kami lakukan, nenek moyang kami, raja-raja kami, dan para pembesar kami di kota-kota Yehuda serta di jalan-jalan Yerusalem. Pada waktu itu kami berkelimpahan makanan, hidup senang, dan tidak mengalami malapetaka. 18Tetapi sejak kami berhenti membakar dupa kepada Ratu Langit dan mencurahkan persembahan minuman kepadanya, kami kekurangan segala sesuatu dan kami dimusnahkan oleh pedang dan bencana kebuluran."

19Kaum perempuan pun berkata, "Ketika kami membakar dupa kepada Ratu Langit dan mencurahkan persembahan minuman kepadanya, adakah suami kami tidak tahu bahawa kami membuat penganan yang menyerupai patungnya dan mencurahkan persembahan minuman kepadanya?"

20Kata Yeremia kepada seluruh rakyat itu baik lelaki mahupun perempuan, iaitu semua orang yang telah memberikan jawapan kepadanya, 21"Bukankah dupa yang dibakar di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem olehmu, oleh nenek moyangmu, oleh raja-rajamu, oleh para pembesarmu, dan oleh rakyat negeri itu diingat dan diperhatikan Tuhan? 22Tuhan tidak dapat bersabar lagi melihat perbuatan-perbuatanmu yang jahat serta hal-hal keji yang kamu lakukan. Itulah sebabnya negerimu menjadi tempat reruntuhan, kengerian, dan kutukan, serta tanpa penduduk, sebagaimana nyata pada hari ini. 23Kerana kamu telah membakar dupa itu dan telah berdosa terhadap Tuhan, lalu kamu tidak mematuhi Tuhan dan tidak menuruti segala hukum-Nya, ketetapan-Nya, serta peraturan-Nya, maka malapetaka ini menimpa kamu, sebagaimana nyata pada hari ini."

24Yeremia berkata pula kepada seluruh rakyat dan kepada semua perempuan itu, "Dengarlah firman Tuhan, wahai semua orang Yehuda yang ada di Tanah Mesir! 25Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Dengan tindakanmu itu kamu dan isterimu telah memenuhi apa yang kamu ucapkan sendiri, 'Kami akan melaksanakan sebaik-baiknya nazar yang kami ucapkan untuk membakar dupa kepada Ratu Langit dan mencurahkan persembahan minuman kepadanya.'

Baik, tepatilah nazarmu! Laksanakanlah nazarmu sebaik-baiknya! 26Tetapi dengarlah firman Tuhan, wahai semua orang Yehuda yang tinggal di Tanah Mesir, 'Sesungguhnya, Aku telah bersumpah demi nama-Ku yang agung,' demikianlah firman Tuhan, bahawa nama-Ku itu tidak akan disebut lagi di mulut orang Yehuda mana-mana pun di seluruh Tanah Mesir, dengan mengatakan, 'Demi Tuhan Allah yang hidup.' 27Sesungguhnya, Aku akan mengawasi mereka bukan demi kebaikan mereka, melainkan demi kesusahan mereka. Semua orang Yehuda yang ada di Tanah Mesir akan dihancurkan oleh pedang dan bencana kebuluran sampai mereka lenyap sama sekali. 28Orang yang terselamat daripada pedang akan kembali dari Tanah Mesir ke Tanah Yehuda dalam jumlah yang sedikit sahaja. Maka saki-baki orang Yehuda yang telah pergi ke Tanah Mesir dan tinggal sebagai pendatang di sana akan mengetahui perkataan siapa yang terlaksana, perkataan-Ku atau perkataan mereka. 29Inilah tandanya bagimu, demikianlah firman Tuhan, bahawa Aku akan menghukum kamu di tempat ini supaya kamu tahu bahawa firman-Ku mengenai kamu pasti terlaksana demi kesusahanmu. 30ABeginilah firman Tuhan: Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan Firaun Hofra, raja Mesir, ke dalam tangan musuh-musuhnya dan ke dalam tangan orang yang mengancam nyawanya, sebagaimana Aku telah menyerahkan Zedekia, raja Yehuda, ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, musuhnya yang mengancam nyawanya."