Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yeremia 43

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yeremia dipaksa berpindah ke Mesir

1Setelah Yeremia selesai mengatakan kepada seluruh rakyat segala firman Tuhan, Allah mereka – iaitu segala firman tadi, yang disampaikan Tuhan, Allah mereka, kepada Yeremia untuk mereka – 2berkatalah Azarya anak Hosaya, Yohanan anak Kareah, dan semua orang yang angkuh terhadap Yeremia, "Engkau berkata bohong! Tuhan, Allah kita, tidak menyuruh engkau berkata, 'Jangan pergi ke Mesir untuk tinggal sebagai pendatang di sana,' 3tetapi Barukh anak Neria menghasut engkau melawan kami dengan tujuan menyerahkan kami ke dalam tangan orang Kasdim, supaya mereka membunuh kami dan membuang kami ke Babel." 4Demikianlah Yohanan anak Kareah, semua panglima pasukan, dan seluruh rakyat tidak mahu mematuhi Tuhan untuk tinggal di Tanah Yehuda. 5ALalu Yohanan anak Kareah dan semua panglima pasukan membawa seluruh saki-baki orang Yehuda yang telah kembali dari semua negeri, tempat mereka terhalau untuk tinggal sebagai pendatang di Tanah Yehuda – 6iaitu lelaki, perempuan, kanak-kanak, puteri-puteri raja, dan semua orang yang telah ditinggalkan oleh Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal itu, dengan Gedalya anak Ahikam anak Safan. Nabi Yeremia dan Barukh anak Neria juga dibawa mereka sekali. 7Mereka tidak mahu mematuhi Tuhan dan tetap pergi ke Tanah Mesir. Maka sampailah mereka ke Tahpanhes.

Nubuat Yeremia: Mesir akan ditaklukkan Raja Nebukadnezar

8Datanglah firman Tuhan kepada Yeremia di Tahpanhes demikian, 9"Ambillah batu-batu besar. Di depan mata orang Yehuda, soroklah batu-batu itu di dalam tanah liat di dapur batu bata dekat dengan pintu masuk istana Firaun di Tahpanhes. 10Katakan kepada mereka, 'Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku akan mengirim utusan untuk menjemput Nebukadnezar, raja Babel, hamba-Ku itu, dan Aku akan mendirikan takhtanya di atas batu-batu yang Kusuruh sorok ini. Dia akan membentangkan tudung kerajaannya di atasnya. 11Dia akan datang menyerang Tanah Mesir, sehingga: Yang ke maut, ke mautlah! Yang ke tempat penawanan, ke tempat penawananlah! Yang ke pedang, ke pedanglah! 12Aku akan menyalakan api di kuil-kuil tuhan Mesir, dan Nebukadnezar akan membakar semua itu atau mengangkutnya seperti tawanan. Dia akan mengenakan Tanah Mesir seperti seorang gembala mengenakan pakaiannya dan akan keluar dari sana dengan selamat. 13Dia akan menghancurkan tiang-tiang berhala Bet-Semes yang ada di Tanah Mesir dan akan membakar habis kuil-kuil tuhan Mesir."