Alkitab Versi Borneo |
1APada bulan ketujuh datanglah Ismael anak Netanya anak Elisama, yang berketurunan raja dan seorang pembesar raja, berserta sepuluh orang menghadap Gedalya anak Ahikam di Mizpa. Ketika mereka sedang makan roti bersama-sama di Mizpa, 2tiba-tiba Ismael anak Netanya dan kesepuluh orang yang ada bersamanya menyerang Gedalya anak Ahikam anak Safan dengan pedang. Demikianlah Ismael membunuh orang yang diangkat raja Babel menjadi pembesar negeri itu. 3Ismael juga membunuh semua orang Yehuda yang ada bersama Gedalya di Mizpa dan orang Kasdim, iaitu para pejuang, yang ada di sana. 4Keesokan harinya, setelah Gedalya dibunuh tanpa diketahui orang, 5datanglah lapan puluh orang dari Sikhem, Silo, dan Samaria dengan janggut tercukur, pakaian koyak-rabak, dan tubuh tertoreh-toreh. Mereka membawa persembahan bahan makanan dan kemenyan untuk dipersembahkan di Bait Tuhan. 6Maka keluarlah Ismael anak Netanya dari Mizpa untuk menyongsong mereka. Dia berjalan sambil menangis. Apabila bertemu dengan mereka, berkatalah dia kepada mereka, "Pergilah menghadap Gedalya anak Ahikam." 7Tetapi ketika mereka sampai di tengah-tengah kota, Ismael anak Netanya mulai menyembelih mereka dan mencampakkan mayat-mayat mereka ke dalam perigi dengan bantuan orang yang menyertainya. 8Tetapi sepuluh orang antara mereka berkata kepada Ismael, "Jangan bunuh kami, kerana kami mempunyai perbekalan tersembunyi di padang, iaitu gandum, barli, minyak, dan madu." Maka dibiarkannyalah mereka, tidak dibunuh bersama yang lain. 9Perigi tempat Ismael mencampakkan semua mayat orang yang dibunuhnya selain Gedalya itu ialah perigi yang dibuat Raja Asa untuk menghadapi Baesa, raja Israel. Ismael anak Netanya memenuhinya dengan mayat orang yang terbunuh itu. 10Lalu Ismael menawan seluruh sisa rakyat yang ada di Mizpa, iaitu puteri-puteri raja dan seluruh rakyat yang masih tinggal di Mizpa, yang diserahkan ke dalam pengawasan Gedalya anak Ahikam oleh Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal. Ismael anak Netanya menawan mereka dan pergi menyeberang ke daerah bani Amon. 11Ketika Yohanan anak Kareah dan semua panglima pasukan yang menyertainya mendengar segala kejahatan yang dilakukan oleh Ismael anak Netanya, 12mereka mengumpulkan semua anak buah mereka lalu pergi untuk memerangi Ismael anak Netanya. Mereka mendapati dia ada berdekatan dengan kolam besar di Gibeon. 13Ketika seluruh rakyat yang bersama-sama Ismael melihat Yohanan anak Kareah dan semua panglima pasukan yang menyertainya, bergembiralah mereka. 14Seluruh rakyat yang ditawan Ismael dari Mizpa itu berbalik dan pergi kepada Yohanan anak Kareah. 15Tetapi Ismael anak Netanya berserta lapan orang menyelamatkan diri daripada Yohanan lalu pergi ke daerah bani Amon. 16Kemudian Yohanan anak Kareah dan semua panglima pasukan yang menyertainya mengumpulkan kesemua saki-baki rakyat dari Mizpa yang direbutnya kembali daripada Ismael anak Netanya setelah Ismael membunuh Gedalya anak Ahikam: kaum lelaki, para pejuang, kaum perempuan, anak-anak, dan para pegawai istana yang dibawanya kembali dari Gibeon. 17Mereka berjalan terus lalu berhenti di Gerut Kimham, berdekatan dengan Betlehem, dengan tujuan meneruskan perjalanan ke Mesir 18untuk menghindari orang Kasdim. Mereka takut kepada orang itu kerana Ismael anak Netanya telah membunuh Gedalya anak Ahikam, yang diangkat oleh raja Babel menjadi pembesar atas negeri itu.