Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yeremia 39

A A A
Alkitab Versi Borneo

Jatuhnya kota Yerusalem

1Inilah sejarah penawanan Yerusalem. Pada bulan kesepuluh dalam tahun kesembilan zaman pemerintahan Zedekia, raja Yehuda, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, dengan seluruh pasukannya menyerang Yerusalem dan mengepungnya. 2Lalu pada tahun kesebelas zaman pemerintahan Zedekia, tepatnya pada hari kesembilan bulan keempat, terbongkarlah tembok kota.

3Semua perwira raja Babel masuk lalu menduduki Pintu Gerbang Tengah. Mereka ialah Nergal-Sarezer, Samgarnebo, Sarsekim sang ketua jururasa santapan, Nergal-Sarezer sang kepala tukang ramal, dan semua pembesar raja Babel yang selebihnya.

4Apabila Zedekia, raja Yehuda, dan semua pejuang melihat orang itu, larilah mereka pada waktu malam dari kota melalui jalan taman raja dan pintu gerbang di antara kedua-dua tembok, pergi menuju Araba. 5Tetapi pasukan orang Kasdim mengejar mereka dan menyusul Zedekia di dataran Yerikho. Mereka menangkapnya dan membawanya ke Ribla di Tanah Hamat menghadap Nebukadnezar, raja Babel. Nebukadnezar pun menjatuhkan hukuman atasnya. 6Raja Babel menyuruh agar anak-anak Zedekia disembelih di Ribla di hadapan matanya dan semua bangsawan Yehuda dibunuh. 7Kemudian mata Zedekia dibutakan dan dia dibelenggu dengan rantai gangsa lalu dibawa ke Babel. 8Orang Kasdim membakar habis istana raja dan rumah rakyat serta merobohkan tembok-tembok Yerusalem. 9Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, membuang saki-baki rakyat yang masih tinggal di kota, para pembelot yang memihak kepadanya, dan saki-baki rakyat yang masih tinggal ke Babel. 10Tetapi Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, meninggalkan sebahagian rakyat miskin yang tidak punya apa-apa di Tanah Yehuda, dan memberi mereka kebun-kebun anggur serta ladang-ladang pada waktu itu juga.

Perintah Raja Nebukadnezar untuk melindungi Yeremia

11Nebukadnezar, raja Babel, memberikan perintah mengenai Yeremia dengan perantaraan Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, demikian, 12"Bawalah dan perhatikanlah dia. Jangan lakukan sesuatu yang buruk terhadapnya, tetapi lakukanlah permintaannya kepadamu." 13Maka Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, berserta Nebusyazban ketua sida-sida, Nergal-Sarezer ketua tukang ramal, dan semua pembesar raja Babel, mengutus orang 14untuk mengambil Yeremia daripada pelataran penjagaan. Maka mereka menyerahkan Yeremia kepada Gedalya anak Ahikam anak Safan supaya dia membawanya pulang ke rumahnya. Maka tinggallah Yeremia dalam kalangan rakyat.

Janji kepada Ebed-Melekh bahawa dia akan dilepaskan

15Ketika Yeremia masih terkurung di pelataran penjagaan, datanglah firman Tuhan kepadanya demikian, 16"Pergilah dan katakanlah kepada Ebed-Melekh, orang Kush itu, 'Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku akan melaksanakan firman-Ku terhadap kota ini demi kesusahannya, bukan kebaikannya. Semua itu akan terjadi di hadapan matamu pada hari yang sama. 17Tetapi pada waktu itu Aku akan melepaskan engkau, demikianlah firman Tuhan. Engkau tidak akan diserahkan ke dalam tangan orang yang kautakuti. 18Aku pasti menyelamatkan engkau dan engkau tidak akan tewas oleh pedang. Nyawamu akan seperti barang jarahan bagi dirimu sendiri, kerana engkau percaya kepada-Ku, demikianlah firman Tuhan.' "