Alkitab Versi Borneo |
1Beginilah firman Tuhan, "Pergilah ke istana raja Yehuda dan sampaikanlah firman ini di sana. 2Katakan, 'Dengarlah firman Tuhan, wahai raja Yehuda yang duduk di atas takhta Daud – engkau, para pegawaimu, dan rakyatmu yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini! 3Beginilah firman Tuhan: Tegakkanlah keadilan dan kebenaran. Lepaskanlah orang yang dirompak daripada tangan penganiayanya. Jangan tindas dan jangan lakukan kekerasan terhadap pendatang, anak yatim, atau balu. Jangan tumpahkan darah orang yang tidak bersalah di tempat ini. 4Jika kamu sungguh-sungguh mematuhi firman-Ku, maka melalui pintu-pintu gerbang istana ini akan masuk raja-raja yang akan duduk di atas takhta Daud dengan mengenderai rata dan kuda, diiringi para pegawai serta rakyatnya. 5ATetapi jika kamu tidak mendengar firman ini, maka Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri, demikianlah firman Tuhan, bahawa istana ini akan menjadi reruntuhan.' " 6Beginilah firman Tuhan mengenai keluarga raja Yehuda, "Engkau seperti Gilead bagi-Ku, seperti puncak Lebanon, tetapi Aku pasti membuat engkau seperti gurun, seperti kota yang tidak dihuni. 7Aku akan menyiapkan para pemusnah untuk menyerang engkau, masing-masing dengan senjatanya. Mereka akan menebang pokok-pokok arazmu yang terpilih, lalu mencampakkannya ke dalam api. 8Banyak bangsa akan melintasi kota ini dan berkata seorang kepada yang lain, 'Mengapa Tuhan berbuat demikian terhadap kota yang besar ini?' 9Orang akan menjawab, 'Kerana mereka telah mengabaikan perjanjian Tuhan, Allah mereka, lalu sujud menyembah dan beribadat kepada tuhan-tuhan lain.' " Nubuat menentang Raja Salum 10Jangan tangisi orang mati, jangan berdukacita kerananya. Menangislah tersedu-sedu bagi dia yang sudah pergi, kerana dia tidak akan kembali lagi dan melihat tanah kelahirannya. 11BBeginilah firman Tuhan mengenai Salum anak Yosia, raja Yehuda, yang menaiki takhta menggantikan Yosia, ayahnya, dan yang telah pergi meninggalkan tempat ini, 'Dia tidak akan kembali lagi ke sini. 12Dia akan mati di tempat pembuangannya, dan tidak akan melihat negeri ini lagi.' " Nubuat menentang Raja Yoyakim 13"Malangnya orang yang membangunkan istananya dengan cara yang tidak benar, dan bilik-bilik atas dengan cara yang tidak adil; yang mengerah jirannya bekerja secara percuma tanpa memberikan upah kepada mereka! 14Dia berkata, 'Aku mahu membina istana yang luas bagi diriku dan bilik-bilik atas yang lega.' Dia membuat jendela-jendela, memapankannya dengan kayu araz, dan mengecatnya dengan warna merah. 15Adakah engkau menjadi raja kerana bertanding dalam hal penggunaan kayu araz? Bukankah ayahmu makan dan minum, tetapi menegakkan keadilan dan kebenaran juga? Pada waktu itu baik keadaannya. 16Dia membela perkara orang miskin dan orang melarat. Pada waktu itu semuanya berjalan baik. Bukankah itu namanya mengenal Aku?" demikianlah firman Tuhan. 17"Tetapi matamu dan hatimu hanya tertuju kepada pengejaran laba, kepada penumpahan darah orang yang tidak bersalah, kepada pemerasan dan kepada penindasan." 18COleh sebab itu beginilah firman Tuhan mengenai Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, "Orang tidak akan meratapinya, 'Aduh, saudaraku! Aduh, saudariku!' Orang tidak akan meratapinya, 'Aduh, tuanku! Aduh, Yang Teramat Mulia!' 19Dia akan dikuburkan seperti keldai dikuburkan, diseret dan dilemparkan ke luar pintu-pintu gerbang Yerusalem." Nubuat menentang Raja Konya 20"Dakilah suatu puncak Lebanon dan berserulah! Perdengarkanlah suaramu di Basan! Berserulah dari Abarim, kerana semua kekasihmu sudah binasa. 21Aku telah berbicara kepadamu waktu engkau sentosa, tetapi engkau berkata, 'Aku tidak mahu mendengar!' Begitulah perilakumu sejak masa mudamu, engkau tidak mahu mematuhi Aku. 22Angin akan mengusir semua gembalamu dan para kekasihmu akan pergi ke tempat penawanan. Sungguh, pada waktu itu engkau akan malu dan mendapat aib kerana segala kejahatanmu. 23Wahai penduduk Lebanon, yang bersarang di pokok-pokok araz! Betapa kasihan engkau ketika rasa sakit menimpamu, sakit seperti perempuan yang bersalin!" 24D"Demi Aku yang hidup," demikianlah firman Tuhan, "sekalipun Konya anak Yoyakim, raja Yehuda, seperti cincin materai di tangan kanan-Ku, Aku akan mencabut kamu dari situ. 25Aku akan menyerahkan engkau ke dalam tangan orang yang mengancam nyawamu dan ke dalam tangan orang yang kautakuti, iaitu ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, dan ke dalam tangan orang Kasdim. 26Aku akan melemparkan engkau bersertakan ibumu yang melahirkan engkau ke negeri lain yang bukan tempat kelahiranmu. Di sanalah kamu akan mati. 27Mereka ingin kembali ke negeri yang dirindukan mereka, tetapi mereka tidak akan kembali ke situ." 28Adakah Konya ini bejana hina yang pecah? Adakah dia perkakas yang tidak disukai orang? Mengapakah dia dan keturunannya dicampakkan, dilemparkan ke negeri yang tidak dikenali mereka? 29Wahai negeri, negeri, negeri, dengarlah firman Tuhan! 30Beginilah firman Tuhan, "Catatlah orang ini sebagai orang yang tidak mempunyai anak, lelaki yang tidak pernah berjaya dalam hidupnya, kerana daripada keturunannya tiada seorang pun akan berjaya duduk di atas takhta Daud atau berkuasa lagi di Yehuda."