Alkitab Versi Borneo |
Amaran kepada orang kaya 1Dengarlah nasihatku, wahai orang kaya. Menangis dan merataplah, kerana kesusahan akan menimpamu. 2AKekayaanmu akan reput dan pakaianmu dimakan gegat. 3Emas perakmu akan berkarat, karatnya akan menjadi saksi menuduhmu dan akan menghanguskan tubuhmu seperti api. Kamu telah mengumpulkan harta pada akhir zaman ini. 4BKamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladangmu. Dengarlah rintihan mereka! Orang yang menuai hasil ladangmu berseru minta dibela nasibnya dan suara mereka telah sampai ke telinga Tuhan alam semesta. 5Hidupmu di dunia ini senang-lenang dalam kemewahan melimpah-limpah. Kamu bagaikan menggemukkan diri untuk hari penyembelihan. 6Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawanmu. Tabah menanggung kesengsaraan 7Saudara-saudaraku, bersabarlah menanti kedatangan Tuhan. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang bernilai. Dengan sabar dia menanti hujan musim luruh dan hujan musim bunga. 8Demikian jugalah kamu harus bersabar. Tabahkanlah hatimu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba. 9Saudara-saudaraku, janganlah bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihukum. Hakim sedang berdiri di ambang pintu. 10Saudara-saudaraku, ingatlah nabi-nabi yang bersabda dengan nama Tuhan. Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan. 11DKami mengatakan mereka orang yang diberkati kerana mereka tabah menanggung kesengsaraan. Kamu telah mendengar kisah kesabaran Ayub, dan kamu tahu pada akhirnya Tuhan memberkatinya. Tuhan amat berpengasihan dan penuh belas kasihan. 12ESaudara-saudaraku, ini sangat penting: Janganlah bersumpah ketika mengikat janji. Jangan bersumpah demi langit, bumi atau apa-apa pun. Katakan "ya" apabila maksudmu ya, dan "tidak" apabila maksudmu tidak. Dengan demikian tidaklah kamu dihukum Allah. Doa orang yang benar 13Adakah sesiapa dalam kalanganmu yang sedang mengalami kesusahan? Berdoalah. Adakah sesiapa yang sedang bergembira? Nyanyikanlah lagu pujian kepada Allah. 14FAdakah sesiapa yang sakit? Panggillah para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan. 15Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan. 16Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui dosa serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat. 17GElia seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun di bumi. 18HSelepas itu, dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil. 19Saudara-saudaraku, jika seorang dalam kalanganmu tersesat dari jalan kebenaran, lalu yang lain memimpinnya kembali kepada Allah, 20Iingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang yang berdosa kembali daripada jalan yang salah, maka dia menyelamatkan roh orang yang berdosa itu daripada kematian dan menutupi banyak dosa.