Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yakobus 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pilih kasih dilarang

1Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Tuhan kita Yesus Kristus yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih. 2Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian mewah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk. 3Kamu menyambut orang yang berpakaian mewah itu dengan hormat sambil berkata, "Silakan duduk di tempat terbaik ini." Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, "Berdiri di sana" atau "Duduk di atas lantai dekat kakiku." 4Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.

5Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan mewarisi kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya. 6Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah, 7dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.

8AKamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat dalam Kitab Suci, "Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri." 9Sebaliknya, jika kamu memilih kasih, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum. 10Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum, 11Ckerana Allah yang berfirman, "Jangan berzina," juga berfirman, "Jangan membunuh." Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum. 12Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukum-hukum yang membebaskan manusia. 13Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.

Iman dan perbuatan

14Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, "Aku beriman," jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. 15Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan. 16Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, "Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya," jika kamu tidak menghulurkan apa yang diperlukan tubuhnya? 17Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu.

18Mungkin ada orang yang berkata, "Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan." Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman. 19Kamu percaya kepada Allah yang esa. Bagus! Roh-roh iblis juga percaya demikian dan gementar ketakutan. 20Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja? 21DBukankah Abraham, moyang kita, diperbenar kerana perbuatannya apabila dia mempersembahkan anaknya Ishak di atas mazbah? 22Tidak jelaskah kepadamu bahawa Abraham menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Abraham. 23FDemikian terlaksanalah apa yang dikatakan dalam Kitab Suci: "Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran."i Oleh itu, Abraham dipanggil sahabat Allah. 24Nyatalah bahawa seseorang itu diperbenar kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata.

25GDemikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Rahab diperbenar kerana perbuatannya ketika dia menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain.

26Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.