Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 65

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hukuman dan penyelamatan

1A"Aku berkenan menyatakan diri kepada orang tidak memohon kehadiran-Ku.

Aku berkenan ditemui orang yang tidak mencari-Ku.

Kepada bangsa yang tidak memanggil nama-Ku,

Aku berkata, 'Ini Aku, ini Aku!'

2BSepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku

kepada bangsa yang keras kepala,

yang melangkah di jalan yang tidak baik menurut fikiran mereka sendiri.

3Mereka bangsa yang sentiasa membangkitkan murka-Ku di hadapan-Ku dengan mempersembahkan korban di taman-taman dan membakar dupa di atas batu bata.

4Mereka duduk di perkuburan

dan bermalam di tempat-tempat tertutup.

Mereka makan daging babi,

dan kuah daging haram ada di dalam periuk belanga mereka.

5Kata mereka, 'Jaga jarak! Jangan mendekatiku kerana aku lebih suci daripada kamu.'

Orang ini seperti asap yang masuk ke dalam hidung-Ku,

seperti api yang menyala sepanjang hari.

6Sesungguhnya, beginilah tertulis di hadapan-Ku:

Aku tidak akan berdiam diri,

melainkan akan membalas,

ya, membalas perbuatan mereka

7kesalahan mereka dan juga kesalahan nenek moyang mereka,"

demikianlah firman TUHAN.

"Kerana mereka membakar dupa di atas gunung-gunung

dan mencela Aku di atas bukit-bukit,

Aku akan menghukum mereka setimpal dengan dosa kesalahan mereka."

8Beginilah firman TUHAN,

"Seperti kata orang jika air anggur masih didapati pada tandannya,

'Jangan musnahkan itu kerana masih ada berkat di dalamnya,'

demikianlah Aku akan bertindak demi hamba-hamba-Ku.

Aku tidak akan memusnahkan mereka seluruhnya.

9Aku akan membangkitkan keturunan daripada Yakub,

dan orang yang akan mewarisi gunung-gunung-Ku daripada Yehuda.

Orang pilihan-Ku akan mewarisinya dan hamba-hamba-Ku akan berdiam di sana.

10CSaron akan menjadi padang rumput ternak bagi kawanan domba

dan Lembah Akhor menjadi tempat berbaring bagi kawanan lembu,

untuk umat-Ku yang mencari hadirat-Ku.

11Tetapi kamu yang meninggalkan TUHAN dan melupakan gunung-Ku yang suci,

yang mengatur meja bagi Dewa Gad dan mengisi cawan dengan air anggur campuran bagi Dewa Meni,

12Aku akan menentukan kamu bagi pedang dan kamu semua akan berlutut untuk disembelih,

kerana apabila Aku memanggil, kamu tidak menjawab,

apabila Aku berfirman, kamu tidak mendengar.

Kamu melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan memilih apa yang tidak Kuperkenan."

13Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, "Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan makan,

tetapi kamu akan kelaparan.

Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan minum,

tetapi kamu akan kehausan.

Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan bersukacita,

tetapi kamu akan diaibkan.

14Sesungguhnya, hamba-hamba-Ku akan bersorak-sorai kerana riang hati,

tetapi kamu akan berteriak kerana bersedih

dan meraung-raung kerana patah semangat.

15Kamu akan membiarkan namamu digunakan sebagai kutukan oleh orang pilihan-Ku.

Tuhan ALLAH akan membunuh engkau,

tetapi hamba-hamba-Nya akan disebut dengan nama lain.

16Sesiapa yang memohon berkat di negeri,

akan memohon berkat demi Allah yang Maha Benar;

siapa yang bersumpah di negeri,

akan bersumpah demi Allah yang Maha Benar,

kerana segala kesesakan yang dahulu telah dilupakan dan telah tersembunyi daripada mata-Ku."

Janji tentang langit yang baru dan bumi yang baru

17D"Sesungguhnya, Aku akan menciptakan langit yang baru dan bumi yang baru.

Hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi dan tidak akan timbul lagi dalam hati.

18Tetapi bergiranglah dan bergembiralah untuk selama-lamanya

atas apa yang akan Kuciptakan,

kerana sesungguhnya, Aku akan menciptakan Yerusalem menjadi suatu kegembiraan

dan penduduknya suatu kegirangan.

19EAku akan bergembira kerana Yerusalem

dan bergirang kerana umat-Ku.

Suara tangisan tidak akan terdengar lagi di dalamnya,

begitu pula suara jeritan.

20Di sana tidak akan ada lagi bayi yang hanya hidup beberapa hari,

atau orang tua yang tidak lanjut umur mereka.

Orang yang mati pada umur seratus tahun akan dianggap masih muda,

dan orang yang tidak mencapai umur seratus tahun akan dianggap kena kutuk.

21Mereka akan membina rumah-rumah dan menghuninya,

mereka akan menanami kebun-kebun anggur dan memakan buahnya.

22Mereka tidak akan membina sesuatu untuk dihuni orang lain,

mereka tidak akan menanam sesuatu untuk dimakan orang lain,

kerana sebagaimana umur pokok,

demikianlah umur umat-Ku.

Orang pilihan-Ku akan menikmati pekerjaan tangan mereka.

23Mereka tidak akan berjerih lelah dengan percuma,

dan tidak akan melahirkan anak yang mati mendadak,

kerana mereka ialah keturunan orang yang diberkati TUHAN,

begitu pula anak cucu mereka yang ada bersama-sama mereka.

24Sebelum mereka berseru kepada-Ku,

Aku sudah menjawab.

Sewaktu mereka sedang berkata-kata,

Aku sudah mendengar.

25FSerigala dan anak domba akan meragut rumput bersama-sama,

singa akan makan jerami seperti lembu,

sedangkan debu akan menjadi makanan ular.

Tidak ada yang akan berbuat jahat ataupun berlaku binasa di seluruh gunung-Ku yang suci,"

demikianlah firman TUHAN.