Alkitab Versi Borneo |
Kemuliaan Sion yang akan datang
1"Bangkitlah, bersinarlah, kerana terangmu sudah datang
dan kemuliaan TUHAN terbit atasmu. 2Sesungguhnya, kegelapan menutupi bumi
dan kelam pekat menutupi bangsa-bangsa,
tetapi TUHAN akan menyinari engkau
dan kemuliaan-Nya akan menjadi nyata bagimu. 3Bangsa-bangsa akan datang kepada terangmu, dan raja-raja kepada cahaya yang terbit bagimu. 4Layangkanlah pandang ke sekeliling dan lihatlah! Mereka semua berhimpun dan datang kepadamu. Para anak lelakimu datang dari jauh dan para anak perempuanmu digendong. 5Engkau akan melihatnya dan berseri-seri, hatimu akan tergetar dan berasa lega. Kelimpahan hasil laut akan dialihkan kepadamu, dan kekayaan bangsa-bangsa akan datang kepadamu. 6Sejumlah besar kafilah unta akan menutupi negerimu,
unta-unta muda dari Midian dan Efa.
Semuanya akan datang dari Syeba,
mengangkut emas dan kemenyan
serta memberitakan kemasyhuran TUHAN. 7Semua domba Kedar akan dikumpulkan kepadamu, domba-domba jantan Nebayot akan digunakan untuk ibadatmu. Aku berkenan menerima semua itu di atas mazbah-Ku dan Aku akan mencantikkan bait-Ku yang megah itu. 8Siapakah mereka ini yang terapung-apung seperti awan dan seperti burung merpati menuju pintu kandangnya? 9Sesungguhnya, pulau-pulau menantikan Aku.
Kapal-kapal Tarsis berada di muka
untuk membawa anak-anakmu dari jauh.
Perak dan emas mereka dibawa mereka serta demi nama TUHAN, Allahmu,
Yang Maha Suci, Allah Israel,
kerana Dia telah memuliakan engkau. 10Orang asing akan membina tembok-tembokmu dan raja-raja mereka akan melayani engkau. Aku memang telah menghukum engkau dalam murka-Ku, tetapi dalam keredaan-Ku Aku mengasihani engkau. 11APintu-pintu gerbangmu akan selalu terbuka, tidak akan ditutup baik siang mahupun malam, supaya orang dapat membawa kekayaan bangsa-bangsa kepadamu, dihantar oleh raja-raja mereka. 12Sungguh, bangsa dan kerajaan yang tidak mahu mengabdi kepadamu akan binasa. Bangsa-bangsa itu akan habis dimusnahkan. 13Kemuliaan Lebanon akan dibawa kepadamu, pokok sanubar, pokok damar laut, dan juga pokok pinus, untuk menghiasi tempat-Ku yang suci. Aku akan memuliakan tempat tumpuan kaki-Ku. 14BAnak-anak daripada mereka yang dahulu menindas engkau
akan datang menundukkan diri kepadamu.
Semua orang yang dahulu menista engkau
akan sujud memberi hormat di kakimu.
Mereka akan menyebutmu "Kota TUHAN,"
"Sion milik Yang Maha Suci, Allah Israel." 15Sekalipun dahulu engkau ditinggalkan dan dibenci sehingga tidak ada yang melintasimu, Aku akan menjadikan engkau suatu kebanggaan yang kekal, suatu kegirangan turun-temurun. 16Engkau akan menghisap air susu bangsa-bangsa
dan akan menyusu pada dada kerajaan-kerajaan.
Kemudian engkau akan tahu
bahawa Aku, TUHAN sememangnya Penyelamatmu
dan Penebusmu, Yang Maha Perkasa, Allah Yakub. 17Aku akan membawa emas sebagai ganti gangsa,
Aku akan membawa perak sebagai ganti besi,
gangsa sebagai ganti kayu,
besi sebagai ganti batu.
Aku akan membuat kedamaian menjadi pengawasmu
dan perbenaran menjadi pengerahmu. 18Kekerasan tidak akan terdengar lagi di negerimu, begitu juga kemusnahan dan kehancuran di daerahmu. Engkau akan menyebut tembok-tembokmu "Penyelamatan", dan pintu-pintu gerbangmu "Puji-pujian." 19CMatahari tidak akan menjadi penerangmu lagi pada siang hari,
dan cahaya bulan tidak akan menerangi kamu lagi,
tetapi TUHAN akan menjadi penerangmu yang kekal,
dan Allahmu akan menjadi kemegahanmu. 20Mataharimu tidak akan terbenam lagi
dan bulanmu tidak akan lenyap,
kerana TUHAN akan menjadi penerangmu yang kekal
dan hari-hari perkabunganmu akan berakhir. 21Seluruh pendudukmu orang benar, dan mereka akan memiliki negeri itu untuk selama-lamanya. Mereka adalah tunas yang Kutanam, buatan tangan-Ku, supaya Aku dipermulia. 22Yang sedikit akan menjadi suatu kaum,
yang kecil akan menjadi suatu bangsa yang kuat.
Aku, TUHAN, akan segera mewujudkannya pada waktunya."