Alkitab Versi Borneo |
Kesolehan yang palsu dan yang sejati 1"Berserulah kuat-kuat, jangan ditahan-tahan! Nyaringkanlah suaramu seperti sangkakala! Kemukakanlah pelanggaran-pelanggaran umat-Ku kepada mereka dan kepada keturunan kaum Yakub dosa-dosa mereka! 2Mereka memang mencari hadirat-Ku hari demi hari dan suka mengetahui jalan-jalan-Ku. Seolah-olah bangsa yang melakukan kebenaran dan tidak mengabaikan peraturan-peraturan Allahnya; mereka bertanya kepada-Ku tentang peraturan-peraturan yang benar, mereka suka menghadap Allah. 3Kata mereka, 'Untuk apa kami berpuasa, padahal Engkau tidak melihatnya? Untuk apa kami merendahkan diri, padahal Engkau tidak memperhatikannya?' Sesungguhnya, pada hari puasamu kamu mencari kesenangan sendiri dan menindas semua pekerjamu. 4Sesungguhnya, kamu berpuasa hanya untuk berbantah, bertengkar, dan bertumbuk dengan tinju kefasiqan. Puasa seperti yang kamu lakukan hari ini tidak akan membuat suaramu didengar di tempat tinggi. 5Beginikah puasa yang Kukehendaki,
suatu hari bagi seseorang untuk merendahkan diri,
menundukkan kepalanya seperti gelagah,
dan menghamparkan kain kabung dan abu sebagai alas tidurnya?
Inikah yang kausebut puasa,
suatu hari yang TUHAN berkenan? 6Bukan begitu. Bukankah puasa yang Kukehendaki adalah supaya engkau membuka belenggu-belenggu kefasiqan dan melepaskan tali-tali kuk, supaya engkau melepaskan orang yang tertindas sebagai orang merdeka dan mematahkan setiap kuk? 7ABukankah supaya engkau berkongsi rotimu dengan orang lapar dan membawa orang miskin yang terbuang ke rumahmu – apabila engkau melihat orang telanjang, engkau memberi dia pakaian, dan tidak menyembunyikan diri daripada darah dagingmu sendiri? 8Maka barulah terangmu akan merekah seperti fajar
dan kesembuhanmu akan datang dengan segera.
Perbenaranmui akan berjalan di hadapanmu dan kemuliaan TUHAN akan menjadi penutup barisanmu. 9Pada waktu itulah engkau akan berseru dan TUHAN akan menjawab,
engkau akan berteriak meminta tolong dan Dia akan berfirman, 'Ini Aku!'
Jika engkau menyingkirkan dari tengah-tengahmu kuk,
jari yang menuding-nuding,
dan perkataan yang jahat; 10jika engkau mengorbankan diri bagi orang lapar dan memuaskan hati orang yang tertindas, maka terangmu akan terbit di dalam gelap dan kekelamanmu akan seperti tengah hari. 11TUHAN akan selalu memimpin engkau,
akan memuaskan hatimu di tanah yang kering-kontang,
dan akan menguatkan tulang-tulangmu.
Engkau akan seperti taman yang diairi,
dan seperti mata air yang airnya tidak pernah mengecewakan. 12Orangmu akan membina semula tempat-tempat yang sudah lama rosak. Engkau akan menegakkan semula asas yang sudah turun-temurun, dan engkau akan disebut pembaik yang menutup lubang-lubang tembok, pemulih yang memperbaik lorong-lorong tempat kediaman. Menghormati Hari Sabat
13"Jika engkau tidak lagi menginjak-injak hari Sabat dan melakukan kehendakmu sendiri pada hari-Ku yang suci itu,
jika engkau menyebut hari Sabat 'hari kesenangan,'
hari suci TUHAN 'hari mulia,'
dan jika engkau menghormatinya dengan tidak melakukan kegiatan-kegiatanmu sendiri
atau mencari kesenanganmu sendiri serta berkata-kata semahumu, 14maka engkau akan bersenang-senang kerana TUHAN.
Aku akan membuat engkau berkenderaan di atas tempat-tempat tinggi di bumi,
dan Aku akan memberi engkau makan daripada harta pusaka Yakub, nenek moyangmu,
kerana TUHAN sendiri telah berfirman."