Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 55

A A A
Alkitab Versi Borneo

TUHAN menawarkan belas kasihan

1A"Wahai semua orang yang dahaga, mari, ambillah air!

Wahai orang yang tidak punya wang,

mari, belilah makanan dan makanlah!

Mari, belilah air anggur dan susu

tanpa wang dan tanpa bayaran!

2Mengapakah kamu membelanjakan wang untuk sesuatu yang bukan makanan,

dan hasil jerih lelahmu untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan?

Dengarlah Aku baik-baik dan makanlah apa yang baik.

Biarlah kamu bersenang-senang dengan hidangan yang kaya khasiatnya.

3BPasanglah telingamu dan datanglah kepada-Ku,

dengarlah, maka kamu akan hidup.

Aku akan mengikat perjanjian yang kekal dengan kamu,

menurut kasih abadi yang teguh kepada Daud.

4Sesungguhnya, Aku menetapkan dia menjadi saksi bagi bangsa-bangsa,

menjadi seorang pemimpin dan pemerintah bagi bangsa-bangsa.

5Sesungguhnya, engkau akan memanggil bangsa yang tidak kaukenal,

dan bangsa-bangsa yang tidak mengenal engkau akan berlari kepadamu

kerana TUHAN, Allahmu,

Yang Maha Suci, Allah Israel,

oleh sebab Dia telah memuliakan engkau."

6Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui,

berserulah kepada-Nya selagi Dia dekat.

7Hendaklah orang fasiq meninggalkan jalannya

dan orang jahat meninggalkan segala rancangannya.

Hendaklah dia kembali kepada TUHAN,

maka Dia akan mengasihaninya,

dan kepada Allah kita,

kerana Dia akan mengampuni dengan limpahnya.

8"Sesungguhnya, rancangan-Ku bukanlah rancanganmu

dan jalanmu bukanlah jalan-Ku,"

demikianlah firman TUHAN.

9"Setinggi langit di atas bumi,

demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu

dan rancangan-Ku daripada rancanganmu.

10CSeperti hujan dan salji turun dari langit

dan tidak kembali ke sana melainkan membasahi bumi,

membuatnya berbuah dan bertunas,

memberikan benih kepada orang yang menabur dan makanan kepada orang yang mahu makan,

11demikianlah firman yang Kusampaikan:

ia tidak akan kembali kepada-Ku dengan sia-sia

melainkan akan melaksanakan apa yang Kukehendaki

dan berhasil dalam apa yang Kusuruh kepadanya.

12Sesungguhnya, kamu akan keluar dengan sukacita

dan akan dibimbing dengan damai.

Gunung-gunung dan bukit-bukit

akan bersorak-sorai gembira di hadapanmu,

dan semua pokok di padang akan bertepuk tangan.

13Sebagai ganti semak duri akan tumbuh pokok sanubar,

sebagai ganti jelatang akan tumbuh pokok murad.

Hal ini akan terjadi sebagai kemasyhuran bagi TUHAN,

sebagai tanda abadi yang tidak akan lenyap."