Alkitab Versi Borneo |
Nyanyian tentang kebun anggur 1ABiarlah aku menyanyi tentang kekasihku, nyanyian kekasihku tentang kebun anggurnya: Kekasihku mempunyai kebun anggur di bukit yang subur. 2Dia mencangkulnya, membuang batu-batunya, dan menanam pokok anggur pilihan. Dia mendirikan sebuah menara tinjau di tengah-tengahnya, dan juga membuat tempat pemerasan anggur di dalamnya. Dia menantikan kebun itu menghasilkan buah anggur yang baik, tetapi yang dihasilkan hanya buah anggur masam. 3"Sekarang, wahai penduduk Yerusalem dan orang Yehuda, putuskanlah perkara antara Aku dengan kebun anggur-Ku. 4Apa lagi yang dapat dilakukan untuk kebun anggur-Ku, yang belum Kulakukan terhadapnya? Bukankah Aku menanti kebun itu menghasilkan buah anggur yang baik, mengapakah yang dihasilkannya buah anggur masam? 5Maka sekarang Aku mahu memberitahu kamu apa yang hendak Kulakukan terhadap kebun anggur-Ku: Aku akan membuang pagarnya sehingga kebun itu dimakan habis. Aku hendak membongkar temboknya sehingga kebun itu diinjak-injak. 6Aku hendak menjadikannya tandus, tidak dipangkas atau dicangkul lagi, sehingga duri dan onak tumbuh di dalamnya. Aku akan memerintahkan awan agar tidak menurunkan hujan ke atasnya." 7Sesungguhnya, kebun anggur TUHAN alam semesta,
ialah keturunan kaum Israel,
dan orang Yehuda ialah tanaman kesukaan-Nya.
Dinantikan-Nya keadilan,
tetapi hanya ada penumpahan darah.
Dinantikan-Nya perbenaran,i
tetapi hanya ada jerit penderitaan. Peringatan tentang pelbagai keburukan
8Malangnya orang yang merampas rumah demi rumah
dan meraup ladang demi ladang,
sehingga tidak ada lagi tempat tersisa
dan hanya kamu yang tinggal di tengah-tengah negeri itu. 9TUHAN alam semesta, berfirman tepat pada pendengaranku,
"Sesungguhnya, banyak rumah akan menjadi sunyi.
Rumah-rumah yang besar dan indah tidak akan berpenghuni. 10Kebun anggur seluas sepuluh pembajakan hanya akan menghasilkan satu bat anggur, dan satu homerii benih hanya akan menghasilkan satu efaiii gandum." 11Malangnya mereka yang bangun pagi-pagi untuk mencari minuman keras, dan yang membuang masa sampai malam untuk menghangatkan diri dengan air anggur! 12Kecapi, gambus, rebana, seruling, dan air anggur ada dalam jamuan-jamuan mereka,
tetapi mereka tidak mengendahkan pekerjaan TUHAN
ataupun memperhatikan perbuatan tangan-Nya. 13Oleh sebab itu umat-Ku harus diangkut ke tempat pembuangan, kerana mereka kurang pengertian. Orang yang mulia dalam kalangan mereka kelaparan dan khalayak ramainya merana kehausan. 14Oleh sebab itu alam kubur memperbesar nafsunya dan mengangakan mulutnya tanpa batas, sehingga ke dalamnya turun semarak Yerusalem, khalayak ramainya, keriuhan temasyanya, dan orangnya yang bersuka ria. 15Maka manusia ditundukkan dan orang direndahkan. Mata orang sombong direndahkan. 16Tetapi TUHAN alam semesta,
akan ditinggikan dalam keadilan,
dan Allah Yang Maha Suci akan menyatakan kesucian-Nya dalam perbenaran-Nya. 17Lalu domba akan meragut rumput di situ seperti di padangnya sendiri, dan pendatang akan makan di reruntuhan gedung orang kaya. 18Malangnya mereka yang menyeret kesalahan dengan tali kesia-siaan, dan dosa seperti dengan tali pedati, 19yang berkata, "Biarlah Allah bersegera dan menyegerakan tindakan-Nya supaya kita dapat melihatnya! Biarlah rancangan Yang Maha Suci, Allah Israel, semakin dekat dan terlaksana supaya kita dapat mengetahuinya!" 20Malangnya mereka yang menyebut kejahatan itu baik dan kebaikan itu jahat, yang mengubah kegelapan jadi cahaya dan cahaya menjadi kegelapan, yang mengubah pahit jadi manis dan manis jadi pahit. 21Malangnya mereka yang bijak menurut pandangan sendiri dan yang pandai menurut diri sendiri. 22Malangnya mereka yang jaguh minum air anggur, dan juara mencampurkan minuman keras, 23yang membenarkan orang fasiq kerana rasuah dan menjauhkan keadilan daripada orang benar. 24Oleh sebab itu seperti lidah api melahap tunggul jerami,
dan seperti rumput kering habis dalam nyala api,
demikian pula akar-akar mereka akan menjadi seperti barang busuk,
dan bunga-bunga mereka berterbangan seperti debu,
kerana mereka menolak hukum TUHAN alam semesta,
dan menista firman Yang Maha Suci, Allah Israel. Bangsa asing sebagai alat murka Allah
25Oleh sebab itu murka TUHAN menyala-nyala terhadap umat-Nya,
dan Dia menghulurkan tangan-Nya
terhadap mereka dan memukul mereka.
Gunung-gunung bergetar
dan mayat-mayat mereka menjadi seperti kotoran di tengah-tengah jalan.
Meskipun semua ini terjadi,
belum juga murka-Nya surut,
dan tangan-Nya masih tetap terhulur. 26Dia akan mengangkat panji-panji bagi bangsa-bangsa yang jauh, dan memberikan isyarat supaya mereka datang dari hujung-hujung bumi. Lihatlah, mereka datang dengan segera dan cepat! 27Antara mereka tiada seorang pun kelelahan atau tersandung, tiada seorang pun mengantuk atau tertidur. Ikat pinggang mereka tidak terlepas dan tali kasut mereka tidak terputus. 28Anak-anak panah mereka tajam dan semua busur mereka dilenturkan. Kuku-kuku kuda mereka tampak seperti batu api, dan roda-roda rata mereka seperti angin puting beliung. 29Ngauman mereka seperti singa betina. Mereka mengaum seperti singa-singa muda, mereka menggeram dan menerkam mangsanya, lalu membawanya lari tanpa ada yang dapat menyelamatkannya. 30Pada hari itu, mereka akan menggeram terhadap mangsanya seperti deruan laut. Kalau orang memandang negeri itu, tampaklah kegelapan dan kesesakan. Cahaya pun menjadi gelap oleh awan-awan!