Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 49

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hamba TUHAN sebagai cahaya

1ADengarlah aku, wahai pulau-pulau!

Perhatikanlah, wahai bangsa-bangsa yang jauh!

TUHAN telah memanggil aku sejak dalam kandungan.

Sejak dalam perut ibuku Dia telah menyebut namaku.

2BDia menjadikan mulutku seperti pedang yang tajam,

di bawah naungan tangan-Nya Dia melindungi aku.

Dia menjadikan aku anak panah yang berkilat,

di dalam tabung panah-Nya Dia menyembunyikan aku.

3Firman-Nya kepadaku, "Engkaulah hamba-Ku, wahai Israel,

melalui engkau Aku akan menyatakan kemuliaan-Ku."

4Tetapi aku berkata, "Sia-sia sahaja aku berjerih lelah.

Aku menghabiskan kekuatanku dengan sia-sia dan tanpa guna.

Namun demikian, hakku ada pada TUHAN

dan ganjaranku ada pada Allahku."

5Sekarang demikianlah firman TUHAN –

Dia membentuk aku sejak dalam kandungan untuk menjadi hamba-Nya,

untuk membawa Yakub kembali kepada-Nya,

dan untuk mengumpulkan Israel kepada-Nya.

Aku ini mulia di mata TUHAN

dan Allahku adalah kekuatanku –

6Dfirman-Nya, "Terlalu ringan bagimu cuma untuk menjadi hamba-Ku,

untuk membangkitkan suku-suku Yakub kembali,

dan untuk mengembalikan orang Israel yang masih terpelihara.

Aku akan membuat kamu menjadi cahaya kepada bangsa-bangsa

supaya kamu membawa penyelamatan daripada-Ku sampai ke hujung bumi.

7Beginilah firman TUHAN,

Penebus Israel, Allahnya Yang Maha Suci,

kepada dia yang dihina manusia dan dipandang keji oleh bangsa itu,

kepada hamba para penguasa,

"Raja-raja akan melihat lalu bangkit berdiri,

para penguasa akan sujud memberi hormat,

kerana TUHAN yang setia,

Yang Maha Suci, Allah Israel, telah memilih engkau."

Sion dipulihkan

8EBeginilah firman TUHAN, "Pada waktu Aku berkenan, Aku akan menjawab engkau,

pada hari penyelamatan, Aku akan menolong engkau.

Aku juga akan menjaga engkau dan menetapkan engkau

menjadi perjanjian bagi umat manusia,

untuk menegakkan negeri ini kembali

dan membahagi-bahagikan harta pusaka yang telah sunyi,

9untuk berkata kepada orang tahanan, 'Keluarlah!'

kepada orang yang ada dalam kegelapan, 'Perlihatkanlah dirimu!'

Di sepanjang jalan mereka seperti domba yang meragut rumput,

dan di segala bukit yang gondol akan ada padang rumput bagi mereka.

10FMereka tidak akan berasa lapar atau dahaga,

mereka tidak akan tersengat oleh panasnya padang pasir atau teriknya matahari,

kerana Dia yang menyayangi mereka akan menuntun mereka

dan membimbing mereka ke mata-mata air.

11Aku akan membuat segala gunung-Ku menjadi jalan,

dan jalan-jalan raya-Ku akan dibangunkan.

12Lihat, orang akan datang dari jauh –

beberapa antaranya dari sebelah utara dan dari sebelah barat,

dan beberapa dari Tanah Sinim."

13Bersorak-sorailah, wahai langit!

Bergembiralah, wahai bumi!

Bergembiralah dengan sorak-sorai, wahai gunung-gunung!

Kerana TUHAN telah menghiburkan umat-Nya

dan Dia akan menyayangi orang-Nya yang tertindas.

14Tetapi Sion berkata, "TUHAN telah meninggalkan aku.

Tuhan telah melupakan aku."

15"Dapatkah seorang perempuan melupakan anak yang disusuinya,

dan tidak menyayangi anak daripada kandungannya?

Ya, dia mungkin akan lupa,

tetapi Aku tidak akan melupakan engkau!

16Lihat, Aku telah melukiskan engkau di telapak tangan-Ku,

tembok-tembok kotamu sentiasa ada di hadapan-Ku.

17Anak-anakmu akan segera datang,

tetapi orang yang meruntuhkan dan merosakkan engkau akan keluar daripadamu.

18Layangkanlah pandangan ke sekeliling dan lihatlah!

Mereka semua berkumpul dan datang kepadamu.

Demi Aku yang hidup," demikianlah firman TUHAN,

"sungguh, engkau akan mengenakan mereka semua seperti perhiasan

dan melilitkannya ke badan seperti seorang pengantin perempuan.

19Memang tempat-tempatmu telah rosak dan sunyi,

negerimu telah diruntuhkan,

tetapi sekarang engkau akan terlalu sempit bagi pendudukmu,

dan orang yang menelan engkau akan pergi jauh-jauh.

20Anak-anakmu yang dahulu hilang

masih akan berkata kepadamu,

'Tempat itu terlalu sempit bagiku.

Berilah aku ruang supaya aku dapat tinggal.'

21Engkau akan berkata dalam hatimu,

'Siapakah yang telah melahirkan mereka ini bagiku?

Aku telah kehilangan anak dan mandul,

dibuang dan disingkirkan,

lalu siapakah yang membesarkan mereka ini?

Sesungguhnya, aku tertinggal seorang diri.

Dari manakah mereka ini?' "

22Beginilah firman Tuhan ALLAH, "Lihat, Aku akan mengangkat tangan-Ku bagi bangsa-bangsa

dan meninggikan panji-panji-Ku bagi suku-suku bangsa.

Mereka akan datang menggendong anak lelakimu

dan mendukung anak perempuanmu di atas bahu mereka.

23Raja-raja akan menjadi pengasuhmu

dan permaisuri-permaisuri mereka menjadi inang penyusumu.

Mereka akan sujud memberi hormat kepadamu dan menjilat debu kakimu.

Engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

Orang yang menantikan Aku tidak akan malu."

24Dapatkah barang rampasan direbut daripada seorang kesateria

atau tawanan diselamatkan daripada orang perkasa?

25Sungguh, beginilah firman TUHAN, "Bahkan tawanan seorang kesateria dapat direbut

dan rampasan orang perkasa dapat diselamatkan,

kerana Aku akan menentang orang yang menentang engkau

dan Aku akan menyelamatkan anak-anakmu.

26Aku akan membuat orang yang menindas engkau memakan daging sendiri,

dan mereka akan mabuk oleh darah sendiri seperti oleh air anggur baru.

Semua manusia akan tahu

bahawa Aku, TUHAN, ialah Penyelamatmu

dan Penebusmu, Yang Maha Perkasa, Allah Yakub."