Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 42

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hamba Allah

1AB"Lihatlah hamba-Ku yang Kusanjung tinggi,

orang pilihan-Ku yang kepadanya Aku berkenan.

Aku telah menaruh Roh-Ku ke atasnya,

dan dia akan membawa keadilan kepada bangsa-bangsa.

2Dia tidak akan berteriak, menyaringkan suara,

atau memperdengarkan suaranya di jalan.

3Sehelai rumput mensiang yang terkulai tidak akan dipatahkannya,

dan sumbu yang malap tidak akan dipadamkannya.

Dengan setia dia akan menegakkan keadilan.

4Dia sendiri tidak akan pudar atau patah terkulai sampai dia menegakkan keadilan di bumi.

Pulau-pulau mengharapkan pengajarannya."

5CBeginilah firman Allah, TUHAN yang menciptakan langit dan membentangkannya,

yang menghamparkan bumi dengan segala yang dihasilkannya,

yang memberikan nafas kepada umat manusia yang tinggal di atasnya

dan roh kepada mereka yang hidup di dalamnya,

6D"Aku, TUHAN, telah memanggil engkau dalam perbenaran,i

Aku akan memegang tanganmu dan menjaga engkau;

Aku akan menetapkan engkau menjadi perjanjian bagi umat manusia

dan cahaya bagi bangsa-bangsa,

7untuk mencelikkan mata orang buta,

untuk mengeluarkan orang tahanan dari kurungan,

dan orang yang duduk dalam kegelapan dari penjara.

8Aku TUHAN, itulah nama-Ku.

Aku tidak akan menyerahkan kemuliaan-Ku kepada yang lain

atau kemasyhuran-Ku kepada patung ukiran.

9Lihat, hal-hal yang sudah terjadi dahulunya

dan hal-hal yang baru akan Kuberitahukan.

Sebelum hal-hal itu muncul,

Aku mengkhabarkannya kepadamu."

Puji-pujian tentang penyelamatan

10Nyanyikanlah bagi TUHAN nyanyian baru,

sampaikanlah puji-pujian kepada-Nya dari hujung bumi,

wahai orang yang pergi ke laut dan segala isi laut,

wahai pulau-pulau serta penduduknya!

11Biarlah gurun dan kota-kotanya menyaringkan suara,

begitu pula desa-desa yang dihuni orang Kedar!

Biarlah penduduk Sela bersorak-sorai,

biarlah mereka berteriak gembira dari puncak gunung-gunung!

12Biarlah mereka memuliakan TUHAN

dan menyatakan puji-pujian kepada-Nya di pulau.

13TUHAN akan maju seperti seorang kesateria,

dan semangat-Nya akan bergelora seperti seorang pejuang.

Dia akan bertempik, ya, meneriakkan pekikan semangat peperangan,

dan akan menang atas musuh-musuh-Nya.

14"Sudah lama sekali Aku diam.

Aku berdiam diri, Aku menahan diri.

Tetapi sekarang, Aku mahu berteriak seperti perempuan yang hendak bersalin,

Aku mahu tercungap-cungap dan termengah-mengah.

15Aku akan menanduskan gunung-gunung dan bukit-bukit,

dan membuat layu segala tumbuhannya.

Sungai-sungai akan Kujadikan pulau

dan kolam-kolam akan Kukeringkan.

16Aku akan memimpin orang buta

di jalan yang belum diketahui mereka.

Aku akan membimbing mereka

di lorong-lorong yang belum mereka ketahui.

Aku akan mengubah kegelapan menjadi cahaya di hadapan mereka

dan jalan yang berliku-liku menjadi lurus.

Hal-hal itulah yang akan Kulakukan bagi mereka.

Aku tidak akan meninggalkan mereka."

17Tetapi orang yang percaya kepada patung ukiran dan yang berkata kepada patung tuangan,

"Kamulah tuhan kami",

akan dipukul mundur dan menjadi sangat malu.

Kegagalan dan kebutaan Israel

18Wahai orang tuli, dengarlah!

Wahai orang buta, pandanglah dan lihatlah!

19Siapakah yang buta selain hamba-Ku,

dan yang tuli seperti utusan yang Kusuruh itu?

Siapakah yang buta seperti orang yang hidup damai dengan Aku,

yang buta seperti hamba TUHAN?

20Engkau telah melihat banyak hal,

tetapi tidak memahaminya.

Telingamu terbuka,

tetapi engkau tidak mendengar.

21Demi perbenaran-Nya, TUHAN berkenan mengagungkan dan memuliakan hukum Taurat.

22Tetapi inilah bangsa yang mengalami perampasan dan dijarah,

semuanya terperangkap di lubang

dan disembunyikan di penjara.

Mereka menjadi rampasan tanpa ada yang melepaskan,

menjadi jarahan tanpa ada yang berkata, "Kembalikanlah!"

23Siapakah antara kamu yang mahu memasang telinga untuk hal ini,

yang mahu memperhatikan dan mendengar untuk masa mendatang?

24Siapakah yang menyerahkan Yakub untuk menjadi jarahan,

dan Israel kepada para perampas?

Bukankah TUHAN,

yang terhadap-Nya kita telah berdosa?

Mereka tidak mahu menempuh jalan-jalan-Nya

dan tidak mahu mentaati perintah-Nya.

25Oleh sebab itu Dia mencurahkan kepada mereka murka-Nya yang panas dan peperangan yang sengit.

Hal itu menghanguskan mereka dari sekeliling, tetapi mereka tidak menyedarinya,

membakar mereka, tetapi mereka tidak mengambil iktibar daripadanya.