Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 30

A A A
Alkitab Versi Borneo

Allah yang memberi pertolongan

1"Malangnya kanak-kanak yang memberontak!" demikianlah firman TUHAN, "Mereka melaksanakan rancangan,

tetapi bukan rancangan-Ku,

mereka membentuk persekutuan,

tetapi bukan atas dorongan roh-Ku,

sehingga mereka menambah dosa demi dosa.

2Mereka pergi ke Mesir

tanpa mendapatkan petunjuk-Ku,

untuk memperkuat kedudukan di bawah kuasa Firaun

dan untuk berlindung di bawah naungan Mesir.

3Oleh sebab itu kuasa Firaun hanya akan membawa keaiban buatmu,

dan perlindungan di bawah naungan Mesir akan membuatmu menanggung malu.

4Sekalipun para penguasanya sudah ada di Zoan

dan para utusannya sudah sampai ke Hanes,

5mereka semua akan malu kerana bangsa yang tidak dapat memberikan faedah kepada mereka –

tidak dapat memberi pertolongan atau faedah,

malah mendatangkan malu dan juga cela."

6Pernyataan ilahi tentang binatang-binatang di Tanah Negeb.

Melalui tanah yang penuh kesesakan dan kesulitan,

tempat singa betina dan singa jantan,

tempat ular berbisa dan naga terbang,

mereka mengangkut kekayaan mereka di atas belakang keldai

dan harta mereka di atas bonggol unta

kepada bangsa yang tidak dapat memberikan faedah.

7Pertolongan Mesir itu sia-sia dan tidak berguna,

sebab itu Aku menamai dia begini,

"Rahab yang duduk menganggur."

8Sekarang pergilah, tuliskanlah hal itu bagi mereka pada sebuah loh,

dan suratkanlah dalam sebuah kitab,

supaya itu menjadi kesaksian

untuk masa yang akan datang,

untuk selama-lamanya.

9Mereka ini bangsa yang derhaka,

anak-anak yang suka berdusta,

anak-anak yang tidak mahu mendengar hukum TUHAN.

10Mereka berkata kepada para pelihat,

"Jangan menelah lagi,"

dan kepada para nabi, "Jangan menilik apa yang benar bagi kami.

Katakanlah hal-hal yang manis kepada kami;

Katakanlah hal-hal khayalan.

11Menyisihlah dari laluan,

menjauhlah dari jalan ini!

Biarlah Yang Maha Suci, Allah Israel itu, menyingkir meninggalkan kami!"

12Oleh sebab itu beginilah firman Yang Maha Suci, Allah Israel, "Kerana kamu menolak firman ini,

menaruh harapan kepada pemerasan dan muslihat,

serta bergantung kepadanya,

13maka kesalahanmu ini seperti tembok tinggi yang retak dan hampir jatuh,

yang tersembul pada tembok tinggi,

yang kehancurannya datang dengan tiba-tiba, dalam sekelip mata.

14Kehancurannya seperti kehancuran tempayan tukang periuk yang diremukkan tanpa rasa sayang,

sehingga antara pecahannya

tidak didapati sekeping pun yang dapat digunakan untuk mengambil api dari pendiangan

atau untuk mencedok air dari dalam takungan."

15Beginilah firman Tuhan ALLAH, Yang Maha Suci, Allah Israel, "Dengan bertaubat dan bertenang,

kamu akan diselamatkan.

Dengan berdiam diri dan percaya,

terdapatnya kekuatanmu."

Tetapi kamu tidak mahu!

16Sebaliknya, kamu berkata,

"Tidak, kami akan lari menaiki kuda."

Oleh sebab itu kamu akan melarikan diri!

"Kami akan menunggang kuda yang tangkas."

Oleh sebab itu para pengejarmu pun memang tangkas!

17Seribu orang akan lari kerana gertakan seorang.

Dengan gertakan lima orang kamu semua akan melarikan diri,

sampai kamu ditinggalkan seperti tiang di puncak gunung

dan seperti panji-panji di atas bukit.

Janji penyelamatan bagi Sion

18Itulah sebabnya TUHAN menanti-nantikan saat untuk mengasihani kamu,

itulah sebabnya Dia bangkit untuk menyayangi kamu,

kerana TUHAN sememangnya Allah yang adil.

Berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia!

19Sungguh, wahai rakyat Sion yang tinggal di Yerusalem, kamu tidak akan menangis lagi. Dia pasti mengasihani engkau apabila Dia mendengar suara engkau berseru-seru, dan Dia akan menjawab engkau apabila Dia mendengarnya. 20Sekalipun Tuhan memberikan roti kesukaran dan air kesusahan kepadamu, guru-gurumu tidak akan menyembunyikan diri lagi. Matamu akan melihat guru-gurumu itu 21dan telingamu akan mendengar perkataan ini dari belakangmu: "Inilah jalannya, tempuhilah" apabila kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri. 22Kamu akan menganggap najis patung-patung ukiranmu yang disalut perak dan patung-patung tuanganmu yang dilapisi emas. Semua itu akan kamu hamburkan seperti kain cemar sambil berkata kepadanya, "Nyahlah!" 23Dia akan menurunkan hujan bagi benih yang kautabur di tanahmu. Makanan hasil tanahmu akan menjadi bernas dan berzat. Pada waktu itu ternakanmu akan meragut rumput di padang yang luas. 24Lembu dan keldai yang mengerjakan tanah akan memakan makanan ternak yang baik, yang telah ditampi dengan penyodok dan penggembur. 25Di atas setiap gunung yang tinggi dan di atas setiap bukit yang menjulang akan ada sungai dan aliran air pada hari pembunuhan besar-besaran, apabila menara-menara roboh. 26Cahaya bulan purnama akan seperti cahaya matahari, dan cahaya matahari akan menjadi tujuh kali lipat ganda, seperti cahaya tujuh hari, pada waktu TUHAN membalut luka umat-Nya dan menyembuhkan bekas hukuman-Nya.

Hukuman Allah terhadap Asyur

27Sesungguhnya, kemasyhuran TUHAN tersiar dari jauh.

Murka-Nya menyala-nyala dan asap bergumpal-gumpal.

Titah-Nya penuh dengan amarah

dan sabda-Nya seperti api yang menghanguskan.

28Hembusan nafas-Nya seperti sungai yang meluap-luap,

yang dalamnya mencapai setengah leher.

Dia hendak menampi bangsa-bangsa dengan nyiru kebinasaan,

dan memasang kekang yang menyesatkan pada rahang suku-suku bangsa.

29Tetapi kamu akan menyanyikan sebuah lagu

seperti pada malam apabila orang mengadakan perayaan suci.

Kamu akan bersuka hati

seperti pada waktu orang berarak-arakan sambil meniup seruling

untuk pergi ke gunung TUHAN,

ke Batu Pejal Israel.

30TUHAN akan memperdengarkan suara-Nya yang mulia

dan memperlihatkan kuasa-Nya yang turun menimpa

dengan murka yang dahsyat dan nyala api yang menghanguskan,

dengan hujan lebat, angin ribut,

dan hujan batu.

31Sungguh, oleh suara TUHAN hancurlah orang Asyur apabila tongkat-Nya menghukum mereka.

32Setiap deraan tongkat hukuman yang dijatuhkan TUHAN kepada mereka

akan diiringi bunyi rebana dan kecapi.

Dia akan memerangi orang Asyur dalam peperangan yang berkecamuk.

33Tempat pembakaran telah ditata sejak dahulu, ya, itu disiapkan untuk raja.

Tempat itu dalam dan luas,

timbunannya penuh api dan kayu.

Nafas TUHAN yang laksana sungai belerang, akan menyalakannya.