Alkitab Versi Borneo |
Hukuman terhadap orang yang menyesatkan bangsa
1Sesungguhnya, Tuhan, ALLAH alam semesta, akan menyingkirkan dari Yerusalem dan dari Yehuda
baik penunjang mahupun penopang,
iaitu semua bekalan makanan dan air, 2kesateria dan pejuang, pengadil dan nabi, penenung dan tua-tua, 3pemimpin pasukan lima puluh dan orang terhormat, penasihat dan tukang-tukang yang pandai, serta ahli mantera. 4Aku akan mengangkat para pemuda biasa menjadi pemimpin mereka, dan anak-anak yang tidak mantap akan berkuasa atas mereka. 5Bangsa itu akan saling menindas, seorang terhadap seorang, satu terhadap yang lain. Anak-anak akan berlaku kurang ajar terhadap orang tua, dan orang hina menentang orang mulia. 6Sesungguhnya, seseorang akan memegang saudaranya di rumah ayahnya dan berkata, "Engkau masih punya pakaian, jadilah pemimpin kami! Biarlah reruntuhan ini di bawah kuasamu." 7Tetapi pada waktu itu dia akan berseru demikian, "Aku tidak mahu menjadi penolong. Di rumahku tidak ada roti dan tidak ada pakaian. Jangan angkat aku jadi pemimpin bangsa!" 8Sungguh, Yerusalem telah tersandung
dan Yehuda telah jatuh,
kerana percakapan serta perbuatan mereka menentang TUHAN,
menderhaka terhadap hadirat-Nya yang mulia. 9Air muka mereka menjadi saksi bagi mereka. Mereka mempamerkan dosa-dosa mereka seperti Sodom, bukannya menyembunyikannya. Malangnya orang itu, kerana mereka mendatangkan malapetaka kepada diri mereka sendiri! 10Katakanlah kepada orang benar bahawa keadaan mereka akan baik, kerana mereka akan menikmati hasil pekerjaan mereka. 11Malangnya orang fasiq! Malapetaka akan menimpa mereka, kerana perbuatan mereka akan dibalas kepada mereka sendiri. 12Umat-Ku ditindas oleh anak-anak, dan perempuan-perempuan berkuasa atas mereka. Wahai umat-Ku, para pemimpinmu yang membawa penyesatan, mereka mengelirukan arah tujuanmu. 13TUHAN mengambil tempat untuk menuntut, dan berdiri untuk menghakimi suku-suku bangsa. 14TUHAN datang untuk berperkara dengan para tua-tua dan para penguasa umat-Nya,
"Kamulah yang memusnahkan kebun anggur itu!
Rampasan daripada orang miskin ada di rumahmu. 15Apa maksudmu meremukkan umat-Ku dan menggilas muka orang miskin?"
demikianlah firman Tuhan, ALLAH alam semesta. Hukuman Allah terhadap wanita yang sombong
16TUHAN berfirman,
"Atas sebab puteri-puteri Sion sombong,
berjalan dengan leher dijenjangkan
sambil bermain mata,
berjalan dengan langkah dibuat-buat
sambil membunyikan kerincing kaki mereka, 17maka TUHAN akan membuat ubun-ubun puteri Sion berkudis,
dan TUHAN akan menyingkapkan aurat mereka."
18Pada hari itu TUHAN akan menyingkirkan perhiasan-perhiasan mereka, iaitu gelang kaki, ikat kepala, kalung bulan-bulanan, 19anting-anting, gelang tangan, kerudung, 20perhiasan kepala, rantai perhiasan kaki, ikat pinggang, kotak minyak wangi, azimat, 21cincin, anting-anting hidung, 22pakaian pesta, jubah, selendang, tas tangan, 23cermin, pakaian linen, serban, dan cadar. 24Maka akan ada bau busuk sebagai ganti rempah-rempah harum, seutas tali sebagai ganti ikat pinggang, kepala gondol sebagai ganti rambut yang terbentuk rapi, kain kabung sebagai ganti jubah mahal, dan luka bakar sebagai ganti kecantikan. 25Kaum lelakimu akan tewas oleh pedang, dan para kesateriamu gugur dalam peperangan. 26Pintu-pintu gerbang Sion akan mengeluh serta berkabung dan dalam kehampaan ia akan duduk di tanah.