Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 29

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yerusalem terkepung tetapi diselamatkan

1Malangnya Ariel, Ariel, kota tempat Daud pernah berkhemah!

Biarlah berlanjutan tahun demi tahun,

biarlah perayaan silih berganti!

2Aku akan mengancam Ariel,

sehingga terdengar ratapan dan keluhan di dalamnya.

Dia akan menjadi seperti pendiangan mazbah bagi-Ku.

3Aku akan mendirikan perkhemahan mengelilingi engkau

dan menghimpit engkau dengan menara-menara pengepungan.

Aku akan menegakkan kubu-kubu terhadap engkau.

4Engkau akan direndahkan

dan berbicara dari dalam tanah,

kata-katamu akan terdengar sayup-sayup dari dalam debu.

Suaramu akan terdengar seperti suara pemanggil arwah dari dalam tanah,

dan katamu akan berbisik-bisik dari dalam debu.

5Tetapi pasukan lawanmu akan menjadi seperti debu halus,

pasukan orang kejam itu akan seperti sekam yang diterbangkan angin.

Hal itu terjadi dengan tiba-tiba,

dalam sekelip mata.

6TUHAN alam semesta, akan melawat engkau dengan guruh, gempa, dan keriuhan besar,

dengan angin puting beliung, badai, dan nyala api yang menghanguskan.

7Maka pasukan segala bangsa yang memerangi Ariel,

semua orang yang memeranginya dan kubu pertahanannya,

serta orang yang menyesakkan dia,

akan menjadi seperti mimpi,

seperti penglihatan pada malam hari.

8Jadi, seperti seorang yang lapar

bermimpi dia sedang makan

tetapi apabila terjaga ternyata perutnya masih kosong,

seperti seorang yang dahaga

bermimpi dia sedang minum

tetapi apabila terjaga ternyata dia semakin lemah dan kerongkongannya masih haus,

demikianlah halnya dengan pasukan segala bangsa yang memerangi Gunung Sion.

Bangsa yang buta

9Berhentilah dan tercenganglah,

butakanlah matamu dan jadilah buta!

Mereka mabuk, tetapi bukan kerana air anggur,

mereka terhuyung-hayang, tetapi bukan kerana minuman keras.

10ATUHAN mencurahimu roh yang membuat kamu tidur lelap.

Dia menutup matamu, iaitu para nabi,

dan menudungi kepalamu, iaitu para pelihat.

11Bagimu segala penglihatan tentang semua itu seperti isi sebuah kitab yang termaterai. Kalau kitab itu diberikan kepada seorang yang tahu membaca, dengan permintaan: "Tolong bacakan ini," maka dia akan menjawab, "Aku tidak boleh, kerana kitab ini termaterai." 12Atau, kalau kitab itu diberikan kepada seorang yang tidak tahu membaca, dengan permintaan: "Tolong bacakan ini," maka ia akan menjawab, "Aku tidak tahu membaca."

13BTuhan berfirman, "Bangsa ini mendekati-Ku dengan mulut dan menghormati-Ku dengan bibir,

padahal hati mereka jauh daripada-Ku.

Ibadat mereka kepada-Ku hanya berasaskan peraturan yang diajarkan manusia.

14CMaka sesungguhnya, Aku akan melakukan lagi hal yang ajaib kepada bangsa ini,

hal yang ajaib dan menakjubkan.

Kebijaksanaan orang yang bijak akan musnah,

dan kepandaian orang yang pandai akan lenyap."

15Malangnya orang yang menyembunyikan rancangannya sedalam-dalamnya daripada TUHAN.

Mereka melakukan pekerjaan dalam gelap dan berkata,

"Siapakah yang melihat kita?

Siapakah yang mengenali kita?"

16DKamu memutarbelitkan perkara!

Masakan tukang periuk dianggap sama dengan tanah liat,

sehingga barang yang dibuat dapat berkata tentang pembuatnya,

"Dia tidak membuat aku,"

atau barang yang dibentuk berkata tentang pembentuknya,

"Dia tidak mengerti apa-apa"?

Penyelamatan sesudah penindasan

17Bukankah dalam sedikit masa sahaja lagi Lebanon akan diubah menjadi ladang yang subur,

dan ladang yang subur akan dianggap hutan?

18Pada waktu itu kalangan tuli akan mendengar isi kitab,

dan mata kalangan buta akan celik,

dibebaskan daripada kekelaman dan kegelapan.

19Orang yang tertindas akan semakin bersukacita kerana TUHAN,

dan golongan fakir miskin akan bergembira kerana Yang Maha Suci, Allah Israel.

20Sesungguhnya, orang kejam akan ditiadakan,

pencemuh akan dihancurkan,

dan semua orang yang berniat jahat akan dilenyapkan.

21Mereka inilah yang menyatakan seseorang itu bersalah melalui fitnah,

yang memasang jerat bagi pembela dalam sidang pengadilan,

dan yang memutarbelitkan hak orang benar dengan alasan yang bukan-bukan.

22Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, yang menebus Abraham, tentang keturunan kaum Yakub, "Sekarang Yakub tidak akan malu lagi,

sekarang mukanya tidak akan pucat lagi.

23Apabila mereka melihat anak-anak mereka,

iaitu buatan tangan-Ku,

berada di tengah-tengah mereka,

maka mereka akan menjaga kesucian nama-Ku.

Mereka akan menyatakan kesucian Yang Maha Suci, Allah Yakub,

dan akan berasa gentar kepada Allah Israel.

24Orang yang fikirannya sesat akan mendapat pengertian,

dan orang yang bersungut-sungut akan menerima pengajaran."