Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 27

A A A
Alkitab Versi Borneo

Israel diselamatkan

1APada waktu itu TUHAN akan menjatuhkan hukuman dengan pedang-Nya yang keras, besar, dan kuat terhadap Lewiatan, ular yang meluncur,

terhadap Lewiatan, ular yang melingkar,

dan Dia akan membunuh naga yang berada di laut.

2Pada waktu itu akan dikatakan:

"Bernyanyilah tentang kebun anggur yang indah!

3Aku, TUHAN, penjaganya.

Aku menyiraminya setiap saat.

Aku menjaganya siang dan malam

supaya tidak ada yang mengusiknya.

4Tidak ada murka pada-Ku.

Sekiranya ada duri dan onak,

Aku akan maju untuk membasminya,

Aku akan membakar semuanya.

5Kalau tidak mahu begitu,

biarlah mereka mencari perlindungan daripada-Ku,

biarlah mereka mengadakan perdamaian dengan-Ku,

ya, biarlah mereka mengadakan perdamaian dengan-Ku."

6Pada masa yang akan datang Yakub akan berakar,

Israel akan berbunga dan bertunas.

Mereka akan memenuhi permukaan bumi dengan buah.

7Adakah Dia menghukum mereka seperti Dia menghukum orang yang memusnahkan mereka?

Adakah mereka dibunuh seperti terbunuhnya orang yang membunuh mereka?

8Dengan menghalau dan dengan mengusir mereka Engkau telah melawan mereka.

Dia memindahkan mereka dengan angin-Nya yang kencang pada waktu angin timur bertiup.

9Demikianlah melalui hal ini kesalahan Yakub akan dihapuskan,

dan inilah hasil sepenuhnya kalau dia menyingkirkan dosa-dosanya:

apabila dia membuat semua batu mazbah jadi seperti batu-batu kapur yang dipecah-pecahkan,

maka patung-patung Asyera dan tugu-tugu mazbah dupa tidak akan berdiri lagi.

10Kota yang berkubu itu sudah terpencil,

suatu tempat kediaman yang ditinggalkan dan terbiar seperti gurun.

Di sana anak lembu meragut,

di sana lembu-lembu itu berbaring

dan menghabiskan dahan-dahan pokok.

11Apabila ranting-rantingnya sudah kering, semuanya dipatahkan,

lalu datanglah para perempuan menyalakan api dengan ranting-ranting itu.

Inilah bangsa yang tidak berpengertian,

sebab itulah Yang Menjadikan mereka tidak menyayangi mereka,

dan Yang Membentuk mereka tidak berbelas kasihan kepada mereka.

12Pada waktu itu TUHAN akan membanting mulai aliran Sungai Efrat sampai ke Wadi Mesir. Kamu akan dikumpulkan satu demi satu, wahai orang Israel.

13Pada waktu itu sangkakala yang besar akan ditiup. Orang yang hampir binasa di Tanah Asyur dan orang yang terbuang di Tanah Mesir akan datang menyembah TUHAN di gunung yang suci di Yerusalem.