Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 26

A A A
Alkitab Versi Borneo

Lantunan puji-pujian

1Pada waktu itu lantunan pujian ini akan dikumandangkan di Tanah Yehuda: "Kita mempunyai kota yang kuat.

Keselamatan didirikan-Nya

sebagai tembok dan benteng.

2Bukalah pintu-pintu gerbang,

supaya masuk bangsa yang benar,

yang berpegang teguh pada kesetiaan!

3Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh

dengan damai yang sempurna

kerana dia percaya kepada-Mu.

4Percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya,

kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal.

5Dia menundukkan penduduk tempat tinggi,

Dia merendahkan kota yang menjulang.

Direndahkan-Nya kota itu sampai ke tanah,

dan diratakan-Nya dengan debu.

6Kaki orang menginjak-injaknya –

kaki orang yang tertindas,

telapak kaki orang miskin."

7Jalan orang benar itu lurus.

Engkau, Yang Maha Tulus,

meratakan jalan orang benar.

8Juga di jalan keadilan-Mu, ya TUHAN,

kami menantikan Engkau.

Nama-Mu dan kemasyhuran-Mu

sememangnya kesukaan hati kami.

9Hatiku merindukan Engkau pada malam hari,

bahkan roh di dalam diriku mencari hadirat-Mu pada pagi hari.

Apabila keadilan-Mu berlaku di bumi,

maka penduduk dunia akan belajar tentang perbenaran.i

10Sekalipun orang fasiq dikasihani,

dia tidak belajar tentang perbenaran.

Di negeri orang jujur pun dia berlaku zalim

dan tidak mahu memandang keagungan TUHAN.

11AYa TUHAN, tangan-Mu terangkat untuk menghukum,

tetapi mereka tidak melihatnya.

Biarlah mereka melihat semangat-Mu yang meluap-luap bagi umat-Mu sehingga mereka malu.

Ya, biarlah api bagi lawan-lawan-Mu melahap mereka.

12Ya TUHAN, Engkau akan menetapkan kesejahteraan bagi kami,

kerana Engkau juga yang telah melakukan segala pekerjaan kami bagi kami.

13Ya TUHAN, Allah kami,

selain Engkau tuan-tuan lain pernah menguasai kami,

tetapi nama-Mu sahaja yang kami masyhurkan.

14Mereka telah mati, tidak akan hidup lagi,

mereka telah menjadi arwah, tidak akan bangkit lagi.

Demikianlah Engkau telah menghukum dan memusnahkan mereka,

serta melenyapkan segala ingatan tentang mereka.

15Engkau telah menambah jumlah bangsa ini, ya TUHAN.

Engkau telah menambah jumlah bangsa ini.

Engkau dipermulia,

Engkau memperluas seluruh batas negeri ini.

16Ya TUHAN, mereka mencari hadirat-Mu dalam kesesakan.

Mereka mencurahkan doa

apabila hukuman-Mu menimpa mereka.

17Seperti perempuan yang mengandung

menggeliat kesakitan, berteriak-teriak kerana sakit

apabila mendekati waktu bersalin,

demikianlah tadinya keadaan kami di hadapan-Mu, ya TUHAN.

18Kami mengandung dan kami menggeliat kesakitan,

tetapi seolah-olah kami melahirkan angin.

Kami tidak membawa penyelamatan bagi bumi

dan tidak melahirkan penduduk bagi dunia.

19Kalangan umat-Mu yang mati akan hidup kembali,

mayat mereka akan bangkit kembali.

Wahai kamu yang berdiam dalam debu,

bangunlah dan bersorak-sorailah!

Sesungguhnya, embun-Mu seperti embun terang

dan bumi akan melahirkan arwah kembali.

20Mari bangsaku, masuklah ke dalam bilikmu dan tutuplah pintu di belakangmu.

Sembunyikanlah dirimu sesaat lamanya sampai murka berlalu.

21Sesungguhnya, TUHAN hendak datang dari kediaman-Nya di syurga

untuk menghukum penduduk bumi kerana kesalahannya.

Bumi akan memperlihatkan darah yang tertumpah di atasnya,

dan tidak akan lagi menutupi mayat orang yang tewas di atasnya.