Alkitab Versi Borneo |
Pernyataan ilahi tentang Mesir
1APernyataan ilahi tentang Mesir.
Lihat, TUHAN mengenderai awan yang cepat dan datang ke Mesir.
Berhala-berhala Mesir gementar di hadapan-Nya
dan orang Mesir menjadi tawar hati. 2"Aku akan menggerakkan orang Mesir berlawan sesama sendiri. Mereka akan berperang melawan saudara masing-masing dan melawan teman masing-masing, kota melawan kota, kerajaan melawan kerajaan. 3Semangat dalam diri orang Mesir akan lenyap, dan Aku akan membuat mereka keliru dengan rancangan mereka. Mereka akan meminta petunjuk daripada berhala-berhala dan daripada para penenung, kepada para pemanggil arwah dan ahli-ahli sihir. 4Aku akan menyerahkan orang Mesir ke dalam tangan tuan yang bengis,
dan seorang raja yang garang akan memerintah mereka,"
demikianlah firman Tuhan, ALLAH alam semesta. 5Air Sungai Nil akan habis, sungai itu akan menjadi tohor lalu kering. 6Terusan-terusan akan berbau busuk, anak-anak sungai Mesir akan menjadi dangkal dan tohor. Mensiang dan teberau akan mati layu. 7Padang terbuka di dekat Sungai Nil, di mulut Sungai Nil, dan segala tempat menyemai benih di dekat Sungai Nil akan menjadi kering, diterbangkan angin, dan tidak ada lagi. 8Para nelayan akan mengeluh, semua orang yang biasa melemparkan kail di Sungai Nil akan berdukacita. Orang yang biasa menebarkan jala di permukaan air akan merana. 9Orang yang mengerjakan rami halus dan yang menenun kain putih akan kecewa. 10Para tonggak negeri itu akan dihancurkan, semua pekerja upahan akan bersedih hati. 11Bodoh belaka para penguasa Zoan. Para penasihat Firaun yang bijak memberikan nasihat yang sebegitu bebal. Bagaimana mungkin kamu dapat berkata kepada Firaun, "Hamba ini keturunan para bijaksana, keturunan raja-raja zaman dahulu"? 12Kalau begitu, di manakah para bijaksana kamu?
Biarlah mereka menyatakan
dan memberitahumu apa yang telah ditetapkan TUHAN alam semesta, terhadap Mesir! 13Para penguasa Zoan menjadi bodoh, para penguasa Memfis terperdaya. Pemuka suku-suku mereka telah menyesatkan Mesir. 14TUHAN telah mencurahkan roh kebingungan di tengah-tengah mereka.
Mereka membuat Mesir terhuyung-huyung dalam segala pekerjaannya,
seperti seorang pemabuk terhuyung-huyung dalam muntahnya. 15Bagi Mesir tidak ada pekerjaan yang dapat dilakukan oleh pemimpin atau pengikut, oleh pelepah palma atau mensiang. 16Pada waktu itu orang Mesir akan menjadi seperti perempuan. Mereka akan gementar dan ketakutan kerana tangan TUHAN alam semesta, diacukan kepada mereka. 17Tanah Yehuda akan menimbulkan kengerian bagi orang Mesir. Setiap orang yang mendengar nama Yehuda disebutkan akan ketakutan kerana rancangan yang ditetapkan TUHAN alam semesta, atas mereka.
18Pada waktu itu akan ada lima buah kota di Tanah Mesir yang berbicara dalam bahasa Kanaan dan yang bersumpah setia kepada TUHAN alam semesta. Salah satunya akan disebut Kota Kebinasaan.
19Pada waktu itu akan ada sebuah mazbah bagi TUHAN di tengah-tengah Tanah Mesir dan sebuah tugu peringatan bagi TUHAN di tepi perbatasannya. 20Itu akan menjadi tanda dan kesaksian bagi TUHAN alam semesta, di Tanah Mesir. Apabila mereka berseru kepada TUHAN kerana perbuatan para penindas, maka Dia akan mengirimi mereka seorang penyelamat dan pembela untuk menolong mereka. 21TUHAN akan menyatakan diri-Nya kepada orang Mesir, dan orang Mesir akan mengenal TUHAN pada waktu itu. Mereka akan beribadat dengan membawa korban sembelihan dan persembahan. Mereka akan bernazar kepada TUHAN dan membayarnya. 22TUHAN akan mengazab Mesir. Dia akan mengazab dan menyembuhkan mereka. Mereka akan berbalik kepada TUHAN dan Dia akan mengabulkan doa mereka serta menyembuhkan mereka.
23Pada waktu itu akan ada lebuh raya dari Mesir ke Asyur. Orang Asyur akan datang ke Mesir dan orang Mesir ke Asyur, lalu orang Mesir akan beribadat bersama-sama orang Asyur. 24Pada waktu itu Israel akan menjadi yang ketiga di samping Mesir dan Asyur, suatu berkat di tengah-tengah bumi. 25TUHAN alam semesta, akan memberkati mereka, dengan berfirman, "Diberkatilah Mesir, umat-Ku, Asyur, buatan tangan-Ku, dan Israel, harta pusaka-Ku!"