Alkitab Versi Borneo |
1Kirimkanlah anak domba kepada penguasa negeri, dari Sela melalui gurun ke gunung puteri Sion. 2Seperti burung lari terbang, seperti isi sarang yang terusir, demikianlah para puteri Moab di tempat-tempat penyeberangan Sungai Arnon. 3"Berikanlah nasihat, buatlah keputusan. Buatlah naungan yang teduh di bawah rembang panas. Sembunyikanlah orang yang terbuang, jangan serahkan orang pelarian. 4Biarlah orangku yang terbuang dari Moab tinggal sebagai pendatang denganmu. Jadilah tempat bersembunyi bagi mereka daripada si pembinasa." Si pemeras akan ditiadakan, pemusnahan akan berakhir, dan orang zalim akan dilenyapkan daripada dunia. 5Sebuah takhta kerajaan akan ditegakkan dalam kasih abadi, dan di atasnya akan duduk seorang yang boleh dipercayai di dalam khemah Daud. Dialah hakim dan penegak keadilan yang cepat melaksanakan keadilan. 6Kami sudah mendengar tentang keangkuhan Moab – memang Moab menjadi sangat sombong! Kami mendengar tentang kesombongannya, keangkuhannya, dan kegeramannya. Cakap besarnya itu kosong belaka. 7Oleh sebab itu orang Moab akan meraung-raung, setiap orang akan meraung-raung kerana Moab. Apabila mengingat kuih kismis Kir-Hareset, mereka akan merintih, berasa sangat terpukul. 8Sungguh, ladang-ladang Hesbon merana, begitu pula pokok anggur Sibma. Penguasa bangsa-bangsa telah mematahkan sulur anggur pilihan, yang dahulu menjalar sampai ke Yaezer dan merambat ke gurun. Carang-carangnya menyebar dan menyeberangi laut. 9Oleh sebab itu aku hendak turut menangis dengan Yaezer kerana pokok anggur Sibma. Aku akan membasahi kamu dengan air mataku, wahai Hesbon dan Eleale, kerana pekik perang telah diperdengarkan atas hasil buah-buahan musim panasmu dan atas hasil tuaianmu. 10Sukacita dan kegembiraan lenyap daripada ladang yang subur. Di kebun-kebun anggur tidak ada lagi sorak-sorai atau teriakan kegembiraan. Tidak ada lagi orang yang mengirik anggur di tempat pemerasan. Aku telah menghentikan pekik kegirangan itu. 11Oleh sebab itu hatiku berdenting seperti kecapi kerana Moab, begitu pula batinku kerana Kir-Hareset. 12Apabila Moab datang menghadap, apabila ia menyusahkan dirinya di atas bukit pemujaan dan masuk ke tempat keramatnya untuk berdoa, ia tidak akan mendapat apa-apa. 13Itulah firman yang disampaikan TUHAN tentang Moab pada waktu yang lalu. 14Tetapi sekarang TUHAN berfirman demikian, "Dalam waktu tiga tahun, menurut tahun kerja orang upahan, kemuliaan Moab bersertakan seluruh khalayak ramainya akan menjadi kehinaan. Saki-baki orangnya akan tinggal sedikit sahaja dan tidak berdaya."