Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Hosea 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Orang Israel ditolak dan dipulihkan

1Sebutlah saudara-saudara lelakimu, 'Ami,'i dan saudara-saudara perempuanmu, 'Ruhama.' ii 2"Merayulah, merayulah supaya ibumu berubah,

kerana dia bukan isteri-Ku

dan Aku bukan suaminya.

Biarlah dia menjauhkan pelacurannya daripada mukanya

dan zinanya dari antara buah dadanya,

3jangan sampai Aku melucuti pakaiannya sehingga dia telanjang

dan membiarkannya seperti pada hari dia dilahirkan.

Aku juga akan menjadikan dia seperti gurun dan membuat dia seperti tanah gersang.

Akan Kubiarkan dia mati dengan rasa dahaga.

4Tiada belas kasihan-Ku atas anak-anaknya,

kerana mereka anak pelacuran.

5Ibu mereka telah bersundal,

perbuatan dia yang mengandung mereka sememangnya mengaibkan.

Katanya, 'Aku hendak mengikuti kekasih-kekasihku

yang menyediakan rotiku dan airku, bulu dombaku dan kain ramiku,

minyakku dan minumanku.'

6Oleh sebab itu, sesungguhnya Aku akan memagari jalannya dengan duri

dan membangunkan tembok untuk menyekatnya,

sehingga dia tidak dapat menemukan jalannya.

7Dia akan mengejar kekasih-kekasihnya, tetapi tidak dapat menyusul mereka.

Dia akan mencari mereka, tetapi tidak dapat menemui mereka.

Kemudian dia akan berkata,

'Aku mahu kembali kepada suamiku yang pertama,

kerana dahulu keadaanku lebih baik daripada sekarang.'

8Dia tidak sedar bahawa Akulah

yang mengurniakan kepadanya gandum, air anggur, dan minyak,

juga memperbanyak baginya perak dan emas,

yang dipakai mereka untuk menyembah Baal.

9Oleh sebab itu Aku akan mengambil kembali gandum-Ku pada musimnya

dan air anggur-Ku pada masanya.

Akan Kurenggut bulu domba-Ku

dan kain rami-Ku yang diberikan untuk menutupi auratnya.

10Sekarang Aku akan menyingkapkan kejalangannya di hadapan mata para kekasihnya.

Tiada seorang pun dapat melepaskan dia daripada tangan-Ku.

11Aku akan menghentikan segala kegirangannya,

perayaannya, bulan barunya, hari Sabatnya, dan segala hari rayanya.

12Akan Kubinasakan pokok anggurnya dan pokok aranya,

yang disebutnya, 'Inilah upah yang diberikan kepadaku oleh para kekasihku.'

Semua itu akan Kubuat menjadi hutan,

dan binatang liar akan memakannya habis.

13Aku akan membalas kepadanya hari-hari

apabila dia membakar dupa untuk Baal.

Dengan anting-anting dan permata

dia menghias diri lalu mengikuti para kekasihnya dan melupakan Aku,"

demikianlah firman Tuhan.

14"Oleh sebab itu, sesungguhnya Aku akan memujuk dia,

membawa dia ke gurun, dan berbicara menenangkan hatinya.

15ADari sana akan Kukurniakan kepadanya kebun-kebun anggurnya

dan Lembah Akhor sebagai pintu pengharapan.

Di sana dia akan menjawab seperti pada masa mudanya,

seperti pada waktu dia keluar dari Tanah Mesir."

16"Pada waktu itu," demikianlah firman Tuhan,

"engkau akan memanggil Aku, 'Suamiku,' dan tidak lagi memanggil Aku, 'Baalku.'

17Akan Kujauhkan nama Baal daripada mulutnya,

sehingga nama mereka tidak akan disebut-sebut lagi.

18Pada waktu itu Aku akan mengikat perjanjian bagi mereka

dengan binatang-binatang di padang, dengan burung-burung di udara,

dan dengan binatang-binatang melata di bumi.

Akan Kutiadakan busur panah, pedang, dan peperangan dari negeri ini

dan akan Kubaringkan mereka dengan aman.

19Aku akan mempertunangkan engkau dengan diri-Ku untuk selama-lamanya.

Aku akan mempertunangkan engkau dengan diri-Ku

dalam perbenaraniii dan keadilan, dalam kasih abadi dan rahmat.

20Ya, Aku akan mempertunangkan engkau dengan diri-Ku dalam kesetiaan,

dan engkau akan mengenal Tuhan.

21Pada hari itu Aku akan menyambut baik permohonan,"

demikianlah firman Tuhan

"Aku akan menyambut baik permohonan langit,

dan langit akan menyambut baik permohonan bumi.

22Bumi akan menyambut baik

permohonan gandum, air anggur, dan minyak,

dan semua itu akan menyambut baik permohonan Yizreel.

23BAku akan menyemainya bagi diri-Ku di bumi.

Lalu Aku akan mengasihani Lo-Ruhama;

Aku pun akan berfirman kepada Lo-Ami, 'Engkaulah umat-Ku,'

dan dia akan berkata, 'Sememangnya Engkaulah Allahku.' "