Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Hosea 1

A A A
Alkitab Versi Borneo
1EInilah firman Tuhan yang turun kepada Hosea anak Beeri pada zaman Uzia, Yotam, Ahas, dan Hizkia, raja-raja Yehuda, dan pada zaman pemerintahan Yerobeam anak Yoas, raja Israel.

Keluarga Hosea

2Apabila Tuhan mulai berbicara dengan perantaraan Hosea, Dia berfirman kepada Hosea, "Pergilah, peristerilah seorang perempuan lacur dan milikilah anak-anak pelacur, kerana luar biasa besarnya pelacuran penduduk negeri ini dengan meninggalkan Tuhan."

3Maka pergilah dia memperisteri Gomer, anak perempuan Diblaim. Perempuan itu pun mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki baginya. 4FFirman Tuhan kepada Hosea, "Namailah dia Yizreel, kerana tidak lama lagi Aku akan membalas penumpahan darah di Yizreel kepada keturunan kaum Yehu dan Aku akan mengakhiri kerajaan keturunan kaum Israel. 5Pada hari itu Aku akan mematahkan busur panah Israel di Lembah Yizreel."

6Perempuan itu mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak perempuan. Firman Tuhan kepada Hosea, "Namailah dia Lo-Ruhama,i kerana Aku tidak akan mengasihani keturunan kaum Israel lagi sehingga Aku sudi mengampuni mereka. 7Tetapi Aku akan mengasihani keturunan kaum Yehuda dan menyelamatkan mereka demi Tuhan, Allah mereka. Aku tidak akan menyelamatkan mereka dengan busur panah, dengan pedang, dengan peperangan, dengan kuda, atau dengan pasukan berkuda."

8Setelah Lo-Ruhama bercerai susu, perempuan itu mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak lelaki. 9Firman Tuhan, "Namailah dia Lo-ami, kerana kamu bukan umat-Ku dan Aku tidak mahu menjadi Allahmu."

Janji tentang penyelamatan

10GNamun demikian, jumlah orang Israel kelak akan seperti pasir laut yang tidak dapat disukat atau dihitung. Nanti, di tempat dikatakan kepada mereka, 'Kamu bukan umat-Ku,' di situ akan dikatakan kepada mereka, 'Kamulah anak-anak Allah yang hidup.' 11Bani Yehuda dan orang Israel akan berkumpul bersama-sama dan akan mengangkat seorang pemimpin atas mereka. Mereka akan keluar dari negeri ini, kerana hebatlah kelak hari Yizreel itu.