Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ibrani 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yesus lebih tinggi daripada Musa

1Dengan demikian, saudara-saudara yang salih, yang juga mendapat bahagian dalam panggilan dari syurga, fikirkanlah Rasul dan Imam Besar yang kita akui, Yesus Kristus. 2ADia setia kepada Allah yang melantik-Nya, sebagaimana Musa juga setia dalam seisi Rumah Allah. 3Dia dikira layak menerima lebih banyak kemuliaan daripada Musa, sebagaimana pembina rumah lebih dimuliakan daripada rumah. 4Setiap rumah ada pembinanya, tetapi Dia yang membina segalanya ialah Allah. 5Musa memang setia dalam seisi Rumah Allah sebagai seorang khadam, untuk kesaksian terhadap segala perkara yang akan dikatakan kemudian. 6Tetapi Kristus setia sebagai Anak ke atas seisi rumah-Nya. Kita adalah isi rumah-Nya jika kita berpegang teguh pada kebahagiaan harapan ini hingga ke akhir.

Amaran terhadap murtad

7BOleh itu, sebagaimana yang dikatakan oleh Roh Kudus: "Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,

8jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu

pada masa cubaan di gurun,

9ketika nenek moyangmu menguji-Ku, menduga-Ku,

meskipun mereka telah melihat perbuatan-Ku selama empat puluh tahun.

10Oleh itu, Aku murka dengan keturunan itu,

dan Aku berkata, 'Hati mereka sentiasa sesat, dan mereka tidak mengenal jalan-Ku.'

11Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku,

'Mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku.' "

12Awaslah, saudara-saudara, jangan ada dalam diri seorang pun daripadamu hati durjana yang tidak beriman lalu berpaling daripada Allah yang hidup. 13Nasihatilah sesama sendiri setiap hari, selagi masih disebut "Hari ini", jangan sampai sesiapa di antaramu menjadi keras hatinya akibat dosa yang memperdaya. 14Kita telah mendapat bahagian dalam Kristus jika kita berpegang kepada keyakinan kita yang kita miliki dari mula-mulanya hingga ke akhir, 15Cseperti mana dikatakan:

"Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,

jangan keraskan hatimu

seperti dalam pemberontakan dahulu."

16DSiapa yang memberontak setelah mendengar? Bukankah semua mereka yang telah dibawa oleh Musa keluar dari Mesir? 17Dengan siapakah Allah murka empat puluh tahun? Bukankah dengan mereka yang melakukan dosa, yang bergelimpangan mayat mereka di gurun? 18Dan kepada siapakah Allah bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Nya? Tak lain tak bukan kepada mereka yang tidak taat. 19Oleh itu, nyatalah kepada kita bahawa mereka tidak dapat masuk kerana tidak beriman.