Alkitab Versi Borneo |
Doa Habakuk
1Doa Nabi Habakuk menurut nada ratapan. 2Ya Tuhan, aku telah mendengar khabar tentang Engkau, dan pekerjaan-Mu, ya Tuhan, sememangnya aku takuti. Hidupkanlah pekerjaan-Mu kembali dalam zaman kami, nyatakannya dalam tempoh kami; tetapi dalam murka-Mu, ingatlah rahmat-Mu. 3Allah datang dari Teman, Yang Maha Suci dari Gunung Paran. Kehebatan-Nya meliputi langit, dan bumi penuh dengan pujian kepada-Nya. 4Ada cahaya seperti cahaya siang, ada sinar daripada tangan-Nya. Di situlah terselubung kuasa-Nya. 5Wabak penyakit mendahului-Nya berjalan, dan sampar mengikuti jejak langkah-Nya. 6Bumi bergoyang tatkala Dia berdiri; gempar segala bangsa apabila Dia memandang. Berkecai pecahnya gunung-gunung yang abadi, dan robohlah bukit-bukit purbakala. Jalan-jalan yang kekal abadi itulah jalan-Nya. 7Kulihat penderitaan melanda khemah-khemah orang Kusyan dan bergetarnya kain-kain khemah Tanah Midian. 8Ya Tuhan, adakah kepada sungai-sungai tertujunya amarah-Mu? Adakah Engkau geram terhadap laut, sehingga Engkau mengenderai kuda-kuda-Mu dan memacu rata kemenangan-Mu? 9Engkau membuka sarung busur-Mu, Engkau memenuhinya dengan anak panah. Engkau membelah bumi menjadi sungai-sungai. 10Gunung-gunung gementar melihat Engkau, bergelora air bah yang mengalir ganas. Samudera memperdengarkan suaranya dan mengangkat tangannya tinggi-tinggi. 11Matahari dan bulan terpaku di langit oleh kilau kederasan anak-anak panah-Mu, kerana kilat cahaya daripada tombak-Mu. 12Dalam murka Engkau melintasi bumi, dalam amarah Engkau menghenyak bangsa-bangsa itu. 13Engkau maju untuk menyelamatkan umat-Mu, untuk menyelamatkan orang yang Kaulantik. Engkau meremukkan bumbung rumah orang fasiq dan membongkar dasarnya sampai bahagian teratasnya. 14Engkau menikam ketua pasukannya dengan tombaknya sendiri. Mereka datang seperti badai untuk mencerai-beraikan kami, yang bergembira seolah-olah hendak melahap orang yang tertindas secara tersembunyi. 15Dengan kuda-kuda-Mu Engkau menginjak laut, maka membuihlah limpahan air itu. 16Ketika aku mendengarnya, gementarlah jiwa ragaku, bergetar bibirku mendengar bunyinya. Kereputan menulari seluruh anggotaku tewas kakiku lalu kurebah di tempatku. Namun dengan tenang akan kunantikan hari kesesakan, yang akan mendatangi bangsa yang bergerombol menyerang kami. 17Sekalipun pokok ara tidak berbunga dan pokok anggur tidak berbuah, biarpun hasil pokok zaitun mengecewakan dan ladang tidak menghasilkan bahan makanan, sekalipun domba ghaib daripada kurungannya dan tidak ada lembu di dalam kandang, 18aku akan bersuka ria kerana Tuhan dan bergembira kerana Allah yang menyelamatkan aku. 19A Allah Tuhan kekuatanku. Dia membuat kakiku melangkah seperti kaki rusa, dan melancarkan jejakku di tempat-tempatku yang tinggi. (Untuk pemimpin biduan dengan alat muzik bertali).