Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kejadian 24

A A A
Alkitab Versi Borneo

Isteri dipilih untuk Ishak

1Abraham sudah tua dan lanjut umurnya, dan TUHAN memberkati Abraham dalam segala hal. 2Pada suatu hari berkatalah Abraham kepada hambanya, hamba yang tertua dalam rumahnya dan yang diberi kuasa atas segala sesuatu yang dimilikinya, "Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku. 3Aku meminta kamu bersumpah demi TUHAN, Allah semesta langit dan Allah semesta bumi, bahawa kamu tidak akan mengambil seorang isteri bagi anakku dalam kalangan anak perempuan Kanaan, sekalipun aku tinggal dalam kalangan mereka. 4Tetapi kamu harus pergi ke negeri asalku dan kepada sanak saudaraku untuk mengambil seorang isteri bagi Ishak, anakku."

5Kata hambanya kepadanya, "Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku ke negeri ini. Jika demikian, bolehkah aku kembali untuk membawa anak tuan ke negeri tempat asal tuan itu?"

6Kata Abraham kepadanya, "Ingat, jangan kaubawa anakku kembali ke sana! 7TUHAN, Allah semesta langit, telah mengambil aku dari rumah ayahku serta dari tanah kelahiranku. Dia pun telah berfirman serta bersumpah kepadaku demikian, 'Kepada keturunanmu Aku akan mengurniakan negeri ini.' Maka tentunya Dia juga akan mengutus malaikat-Nya berjalan di depanmu, supaya kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku dari sana. 8Akan tetapi, jika perempuan itu tidak mahu mengikut kamu, maka bebaslah kamu daripada sumpahmu kepadaku. Hanya, jangan kaubawa anakku kembali ke sana." 9Kemudian, hamba itu meletakkan tangannya di bawah paha Abraham, tuannya, dan bersumpah kepadanya seperti yang dikehendaki oleh tuannya.

10Hamba itu mengambil sepuluh ekor unta daripada kawanan unta tuannya lalu pergi dengan membawa berbagai-bagai barang berharga milik tuannya. Dia berangkat ke Aram-Mesopotamia, ke kota Nahor. 11Di sana, dia menghentikan unta-untanya dekat sebuah perigi di luar kota pada waktu petang, waktu kaum perempuan keluar untuk menimba air. 12Lalu katanya, "Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada tuanku, Abraham. 13Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. 14Kalau aku berkata kepada seorang gadis, 'Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,' dan dia menjawab, 'Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,' maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada tuanku."

15Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel – Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Abraham. 16Gadis itu sangat cantik parasnya, seorang perawan, belum pernah disentuh lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi. 17Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, "Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja."

18Jawabnya, "Minumlah, tuanku." Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum. 19Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, "Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum." 20Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu. 21Sambil memperhatikan gadis itu, orang itu berdiam diri untuk mengetahui sama ada TUHAN membuat perjalanannya berhasil atau tidak.

22Setelah unta-unta selesai minum, orang itu mengambil anting-anting emas seberat setengah syikal serta sepasang gelang tangan dari emas seberat sepuluh syikal. 23Lalu dia bertanya, "Anak siapakah kamu? Katakanlah kepadaku. Adakah tempat di rumah ayahmu untuk kami bermalam?"

24Jawab gadis itu kepadanya, "Aku ini anak Betuel. Betuel ialah anak yang dilahirkan Milka bagi Nahor." 25Kata gadis itu pula kepadanya, "Jerami ataupun makanan ternak ada berlimpah-limpah pada kami. Tempat bermalam pun ada."

26Maka sujudlah orang itu menyembah TUHAN. 27Katanya, "Segala puji bagi TUHAN, Allah tuanku Abraham. Tidak putus-putusnya kasih-Nya dan kesetiaan-Nya bagi tuanku. TUHAN telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku."

28Gadis itu pun berlari dan pergi memberitahu seisi rumah ibunya mengenai hal ini. 29Ribka mempunyai seorang saudara lelaki bernama Laban. Berlarilah Laban menuju mata air untuk menemui orang itu. 30Sejurus selepas Laban melihat anting-anting dan gelang di tangan saudaranya dan mendengar apa yang dikatakan Ribka, saudaranya, 'Begitulah kata orang itu kepadaku,' dia pergi mendapatkan orang itu, yang sedang berdiri di tepi unta-untanya dekat mata air. 31Kata Laban, "Marilah, wahai kamu yang diberkati TUHAN. Mengapakah kamu berdiri di luar? Rumah sudah kusiapkan, juga tempat untuk unta-unta ini."

32Maka masuklah orang itu ke dalam rumah, kemudian muatan unta-unta diturunkan, jerami serta makanan ternak diberikan kepada unta-unta itu, begitu pula air untuk membasuh kaki orang itu serta orang yang mengiringinya. 33Setelah itu, makanan dihidangkan di hadapan mereka. Akan tetapi, orang itu berkata, "Aku tidak mahu makan sebelum aku menyampaikan pesan yang kubawa."

Jawab Laban, "Sampaikanlah."

34Berkatalah dia, "Aku ini hamba Abraham. 35TUHAN sangat memberkati tuanku itu sehingga dia menjadi kaya. TUHAN mengurniakan kepadanya kawanan domba, lembu, unta, dan keldai, juga emas dan perak, serta hamba-hamba lelaki dan perempuan. 36Sarah, isteri tuanku, melahirkan seorang anak lelaki pada masa tuanya bagi tuanku. Kepada anaknya itu tuanku memberikan segala sesuatu yang dimilikinya. 37Lalu tuanku menyuruh aku bersumpah, katanya, 'Jangan kauambil seorang isteri bagi anakku daripada kalangan anak gadis warga Kanaan, yang negeri mereka kudiami ini. 38Tetapi kamu harus pergi kepada keluarga ayahku dan kepada kaumku untuk mengambil seorang isteri bagi anakku.' 39Kataku kepada tuanku, 'Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku.' 40Katanya kepadaku, 'TUHAN, yang di hadirat-Nya aku menjalani hidupku, akan mengutus malaikat-Nya menyertai kamu dan akan membuat perjalananmu berhasil, sehingga kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku daripada kaumku dan daripada keluarga ayahku. 41Apabila kamu sampai kepada kaumku, kamu akan bebas daripada sumpahmu. Sekiranya mereka tidak memberikan perempuan itu kepadamu, kamu juga bebas daripada sumpahmu.'

42Pada hari ini aku sampai ke mata air itu. Lalu aku berkata, 'Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, berkenanlah membuat perjalanan yang kutempuh ini berhasil. 43Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini. Kalau ada seorang gadis keluar untuk menimba air, aku akan berkata kepadanya, "Tolong beri aku minum dari buyungmu itu, sedikit sahaja." 44Jika kemudian dia berkata kepadaku, "Minumlah. Untuk unta-untamu pun akan kutimba air," maka dialah perempuan yang TUHAN tentukan bagi anak tuanku.' 45Belum selesai aku berkata-kata dalam hatiku, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia turun ke mata air lalu menimba air. Aku berkata kepadanya, 'Tolong beri aku minum.' 46Segera dia menurunkan buyungnya dari atas bahunya dan berkata, 'Minumlah. Unta-unta tuan pun akan kuberi minum.' Kemudian minumlah aku, dan unta-unta itu pun diberinya minum. 47Setelah itu, aku bertanya kepadanya, 'Anak siapakah kamu?' Jawabnya, 'Anak Betuel. Betuel ialah anak Nahor, yang dilahirkan Milka.' Aku pun mengenakan anting-anting pada hidungnya dan gelang pada tangannya. 48Lalu aku sujud menyembah TUHAN, serta memuji TUHAN, Allah tuanku Abraham. Dialah yang telah memimpin aku di jalan yang betul untuk mengambil anak perempuan saudara tuanku ini bagi anaknya. 49Sekarang, seandainya kamu hendak menunjukkan kasih dan kesetiaan kepada tuanku, katakanlah kepadaku, tetapi seandainya tidak, katakanlah juga kepadaku, supaya aku tahu sama ada aku harus berpaling ke kanan atau ke kiri."

50Laban dan Betuel menjawab, "Semua ini berasal daripada TUHAN. Kami tidak dapat mengatakan kepadamu baik atau buruknya. 51Lihat, Ribka ada di hadapanmu. Bawalah dia pergi. Biarlah dia menjadi isteri anak tuanmu itu, seperti yang difirmankan TUHAN." 52Begitu hamba Abraham itu mendengar kata-kata mereka, sujudlah dia menyembah TUHAN. 53Lalu hamba itu mengeluarkan perhiasan perak, perhiasan emas, serta pakaian-pakaian. Diberikannya semua itu kepada Ribka. Dia pun memberikan barang-barang berharga kepada saudara lelakinya serta ibunya.

54Setelah itu, dia dan orang yang berada bersama dengannya makan dan minum, serta bermalam di sana. Ketika mereka bangun pagi-pagi, berkatalah hamba itu, "Izinkanlah aku pulang kepada tuanku."

55Akan tetapi, saudara lelaki Ribka serta ibunya berkata, "Biarkanlah anak perempuan ini tinggal dengan kami sekurang-kurangnya sepuluh hari lagi, kemudian bolehlah dia pergi."

56Kata hamba itu kepada mereka, "Janganlah tahan aku. TUHAN sudah membuat perjalananku berhasil. Jadi, izinkanlah aku pulang kepada tuanku."

57Jawab mereka, "Kami akan memanggil anak perempuan itu dan menanyainya." 58Kemudian mereka memanggil Ribka dan bertanya kepadanya, "Mahukah kamu pergi bersama-sama orang ini?"

Jawabnya, "Mahu."

59Maka mereka pun mengizinkan Ribka, saudara perempuan mereka, berserta pengasuhnya, pergi bersama dengan hamba Abraham dan orangnya. 60Mereka memohonkan berkat bagi Ribka dan berkata kepadanya, "Saudara kami, semoga kamu menjadi berpuluh-puluh ribu

dan semoga keturunanmu menakluki pintu-pintu gerbang orang yang membenci mereka."

61Kemudian berangkatlah Ribka dan hamba-hamba perempuan mudanya dengan menunggang unta-unta mengikuti orang itu. Demikianlah hamba itu membawa Ribka lalu berjalan pulang.

62Sementara itu Ishak datang dari arah perigi Lahai-Roi. Dia tinggal di Tanah Negeb. 63Menjelang petang, Ishak keluar untuk berjalan-jalan di padang. Ketika dia melayangkan pandangannya dan mengamati, dia nampak beberapa ekor unta datang. 64Ribka pun melayangkan pandangannya, dan ketika dia melihat Ishak, turunlah dia dari untanya 65lalu bertanya kepada hamba itu, "Siapakah lelaki yang sedang berjalan menyongsong kita di padang itu?"

Jawab hamba itu, "Dialah tuanku." Kemudian Ribka mengambil cadarnya dan menutup kepala dan mukanya dengan kerudung.

66Hamba itu menceritakan kepada Ishak segala hal yang telah dilakukannya. 67Setelah itu, Ishak membawa Ribka ke dalam khemah Sarah, ibunya, dan menikahinya. Ribka menjadi isterinya, dan Ishak mencintainya. Maka terhiburlah Ishak setelah kematian ibunya.