Alkitab Versi Borneo |
Sarah meninggal dan dikuburkan 1Sarah hidup 127 tahun. Itulah tempoh hayat Sarah. 2Sarah meninggal di Kiryat-Arba, iaitu Hebron, di Tanah Kanaan. Lalu Abraham datang meratapi serta menangisi Sarah. 3Beberapa waktu kemudian Abraham bangkit dari sisi isterinya, yang telah meninggal itu, lalu berkata dengan bani Het. Katanya, 4A"Aku ini seorang pendatang dan perantau antara kamu. Berilah kepadaku suatu tempat pemakaman dengan hak milik antara kamu, supaya aku dapat memakamkan isteriku, yang sudah meninggal." 5Jawab bani Het kepada Abraham, 6"Tuanku, dengarlah kami. Tuan seorang pemimpin besar di tengah-tengah kami. Makamkanlah isteri tuan di dalam makam kami yang terpilih. Tidak akan ada seorang pun antara kami yang enggan memberikan tanah pemakaman miliknya untuk tuan memakamkan isteri tuan." 7Maka Abraham bangun dan bersujud memberi hormat kepada bani Het, penduduk negeri itu. 8Dia berkata kepada mereka, "Jika hatimu ikhlas mengizinkan aku untuk memakamkan isteriku di sini, dengarlah. Minta kepada Efron anak Zohar atas namaku 9supaya dia memberikan kepadaku gua Makhpela miliknya, yang terletak di hujung ladangnya. Hendaklah dia memberikannya kepadaku dengan harga penuh sebagai suatu pemakaman hak milikku di tengah-tengah kamu." 10Pada waktu itu Efron hadir di tengah-tengah bani Het. Lalu, dengan disaksikan oleh bani Het, iaitu semua orang yang datang ke pintu gerbang kotanya, Efron orang Het itu menjawab Abraham. Katanya, 11"Tidak, tuanku, dengarlah aku. Ladang itu kuberikan kepada tuan. Gua yang ada di dalamnya pun kuberikan kepada tuan. Di hadapan mata orang yang sebangsa denganku, aku memberikannya kepada tuan. Makamkanlah isteri tuan di sana." 12Maka sujudlah Abraham memberi hormat kepada penduduk negeri itu. 13Disaksikan oleh penduduk negeri itu, berkatalah dia kepada Efron, "Jika kamu tidak keberatan, dengarlah aku. Aku akan membayar harga ladang itu. Terimalah wang daripadaku supaya aku akan memakamkan isteriku di sana." 14Jawab Efron kepada Abraham, 15"Tuanku, dengarlah aku. Sebidang tanah seharga empat ratus syikali perak, apalah ertinya itu bagiku dan bagi tuan? Oleh sebab itu, makamkan sajalah isteri tuan di sana." 16Abraham menuruti kata-kata Efron, lalu dia menimbang bagi Efron wang perak sebanyak yang telah disebutkannya di hadapan bani Het itu, iaitu empat ratus syikal perak, sama dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar. 17Demikianlah ladang Efron di Makhpela, di sebelah timur Mamre, iaitu ladang dan gua yang ada di dalamnya, serta semua pokok di ladang itu sampai sekeliling perbatasannya, 18ditetapkan sebagai milik Abraham di hadapan mata bani Het serta di hadapan semua orang yang datang ke pintu gerbang kota itu. 19Sesudah itu Abraham memakamkan Sarah isterinya dalam gua di ladang Makhpela, di sebelah timur Mamre, iaitu Hebron, di Tanah Kanaan. 20Demikianlah ladang itu dengan gua yang ada di dalamnya itu ditetapkan oleh bani Het bagi Abraham sebagai pemakaman hak miliknya.