Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kejadian 18

A A A
Alkitab Versi Borneo

Tiga orang tetamu istimewa

1TUHAN menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok oak Mamre semasa dia duduk di pintu khemahnya sewaktu hari paling panas terik. 2AApabila dia mengangkat kepalanya kelihatan kepadanya tiga orang berdiri tidak begitu jauh daripadanya. Sebaik sahaja melihat mereka, berlarilah dia dari pintu khemahnya untuk mendapatkan mereka lalu sujud memberi hormat. 3Katanya, "Ya tuan, perkenankan hamba ini, janganlah kiranya tuan berlalu meninggalkan hambamu ini begitu sahaja. 4Air akan diambil agar tuan-tuan membasuh kaki dan berehat di bawah pokok ini. 5Izinkan hamba membawakan roti agar tuan-tuan dapat menyegarkan diri, kerana tuan-tuan sudah datang mengunjungi hamba.

Setelah itu, barulah tuan-tuan meneruskan perjalanan." Kata mereka, "Baik, lakukanlah seperti yang kaukatakan." 6Abraham segera masuk ke dalam khemah mendapatkan Sarah dan berkata, "Cepat, ambillah tiga sukat tepung terbaik! Ulilah dan buatlah roti." 7Kemudian Abraham berlari ke arah ternakan lembunya. Diambilnya seekor anak lembu yang tambun dan baik dagingnya lalu diserahkannya kepada hambanya, yang segera menyediakannya. 8Setelah itu, Abraham membawa dadih, air susu, dan anak lembu yang telah disediakan itu, lalu menyajikannya di hadapan para tetamunya itu. Sementara mereka makan, dia berdiri berdekatan dengan mereka di bawah pokok itu.