Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kejadian 13

A A A
Alkitab Versi Borneo

Abram menyelesaikan perselisihan

1Maka pergilah Abram dari Mesir menuju Tanah Negeb dengan membawa bersama-sama isterinya dan segala harta bendanya. Lut pun turut bersama-samanya. 2Abram sangat kaya dan begitu banyak emas, perak dan haiwan ternakannya. 3Mengembaralah dia dari setempat ke setempat dari Tanah Negeb menuju Betel. Lalu dia sampai di antara Betel dengan Ai, tempat dia mula-mula mendirikan khemahnya, 4juga tempat dia membina sebuah mazbah dahulu. Dan di situlah Abram menyeru nama TUHAN.

5Lut, yang menyertai rombongan Abram itu juga memiliki haiwan ternakan dan sejumlah khemah. 6Maka tidaklah muat daerah itu untuk kesemua mereka tinggal bersama-sama kerana harta benda mereka begitu banyak 7Lalu terjadilah perselisihan antara para gembala ternakan Abram dengan para gembala ternakan Lut. (Pada waktu itu orang Kanaan dan orang Feris bermastautin di negeri itu.)

8Kata Abram kepada Lut, "Semoga tidak berlaku perselisihan antara aku dengan kamu, juga antara para gembalaku dengan para gembalamu, walhal kita ini saudara yang begitu dekat. 9Bukankah seluruh negeri ini ada di hadapanmu? Pisahkanlah dirimu daripadaku. Jika kamu ke sebelah kiri, maka aku pergi ke sebelah kanan. Jika kamu ke sebelah kanan, maka aku pergi ke sebelah kiri."

10ALut pun mengimbas dan meneliti keseluruhan wilayah di sekelilingnya. Dia nampak betapa seluruh Lembah Yordan diairi dengan baik, seperti taman TUHAN, seperti Tanah Mesir ke arah Zoar. (Itulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan Sodom dan Gomora.) 11Maka Lut memilih daerah di seluruh Lembah Yordan, lalu berangkatlah dia ke sebelah timur. Selepas itu, mereka berpisah. 12Abram menetap di Tanah Kanaan, sementara Lut pula menetap di kota-kota raya di dataran itu dan mendirikan khemahnya berhampiran Sodom. 13Adapun orang Sodom amat jahat lagi penuh kemungkaran dan dosa terhadap TUHAN.

14Setelah Lut berpisah dengan Abram, berfirmanlah TUHAN kepada Abram, "Layangkanlah pandanganmu dari tempat kamu berdiri itu, dan tengoklah ke sebelah utara, selatan, timur, dan barat, 15Bkerana seluruh negeri yang kamu lihat itu akan Kukurniakan kepadamu dan kepada keturunanmu untuk selama-lamanya. 16Aku akan menjadikan keturunanmu seperti debu tanah yang begitu banyak sekali, hinggakan jika ada sesiapa dapat menghitung debu tanah, maka keturunanmu pun akan dapat dihitung. 17Bersiaplah, mengembaralah ke seluruh pelosok negeri itu menurut panjang dan lebarnya, kerana kepadamulah akan Kukurniakannya." 18Abram pun memindahkan khemahnya lalu tinggal dekat pokok-pokok oak Mamre, di wilayah Hebron. Di sana dia mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN.