Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Galatia 6

A A A
Alkitab Versi Borneo

Saling membantu

1Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda. 2Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum Kristus. 3Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri. 4Setiap orang harus menguji kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain. 5Sebabnya setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.

6Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.

7Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.

8Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. 9Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. 10Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.

Bukan persunatan tetapi satu ciptaan baru

11Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri! 12Mereka yang ingin menunjukkan diri baik secara lahiriah, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib Kristus. 13Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan lahiriahmu. 14Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun kecuali salib Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia. 15Sebabnya sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting. 16Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan atas mereka, dan atas Israel Allah.

17Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Yesus.

18Saudara-saudara, semoga kasih kurnia Tuhan kita Yesus Kristus menyertai rohmu. Amin.