Alkitab Versi Borneo |
Pembinaan semula Bait Allah dimulai lagi 1AMaka bernubuatlah dua orang nabi, iaitu Nabi Hagai dan Nabi Zakharia anak Ido, kepada orang Yahudi yang tinggal di Yehuda dan di Yerusalem dengan nama Allah Israel, yang menaungi mereka. 2BLalu bangkitlah Zerubabel anak Sealtiel dan Yesua anak Yozadak untuk memulakan pembinaan semula Rumah Allah di Yerusalem. Mereka disertai dan disokong oleh kedua-dua orang nabi Allah itu. 3Namun demikian, pada masa itu juga, mereka didatangi oleh Tatnai, pembesar daerah seberang Sungai Efrat, berserta Syetar-Boznai, dan rakan-rakan mereka. Beginilah kata mereka, "Siapakah yang memberikan perintah kepadamu untuk membina Bait ini dan menyelesaikan pembinaan ini?" 4Mereka juga bertanya, "Siapakah nama kumpulan orang yang mendirikan bangunan ini?" 5Namun begitu, mata Allah mereka tertuju kepada tua-tua orang Yahudi, sehingga mereka tidak dikerah untuk menghentikan kerja sampai laporan diterima oleh Darius dan kemudian dibalas dengan kiriman surat jawapan tentang hal itu. 6Inilah salinan surat kepada Raja Darius yang dikirim oleh Tatnai, pembesar wilayah seberang Sungai, berserta Syetar-Boznai dan para rakannya, iaitu para pembesar yang tinggal di daerah seberang Sungai Efrat. 7Tertulis sedemikian di dalam surat yang dikirim oleh mereka kepada Raja itu: "Kepada Raja Darius. Salam sejahtera! 8Semoga Raja maklum bahawa kami telah pergi ke wilayah Yehuda, ke Bait Allah Yang Maha Besar. Bait itu sedang dibina dengan batu yang besar-besar, dan tembok-temboknya dilapisi dengan kayu. Pekerjaan itu dikerjakan dengan saksama dan berjalan lancar dalam tangan mereka. 9Kemudian kami berbicara dengan tua-tua itu dan bertanya kepada mereka, 'Siapakah yang memerintahkan kamu untuk membina bait ini dan menyelesaikan tembok ini?' 10Kami juga bertanya kepada mereka nama mereka serta mencatat nama kalangan yang mengetuai mereka agar kami dapat menyampaikannya kepada tuanku. 11Beginilah jawapan yang diberikan mereka kepada kami, 'Kami hamba Allah semesta langit dan bumi, dan kami sedang membina semula bait yang telah dibina bertahun-tahun yang lampau. Seorang raja Israel yang agung dahulu membina dan menyelesaikannya. 12CAkan tetapi, kerana bangkitnya kemurkaan Allah semesta langit terhadap nenek moyang kami, maka Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, orang Kasdim, yang kemudian memusnahkan bait itu dan membuang bangsa itu ke Babel. 13DTetapi Kores, raja Babel, memberikan perintah pada tahun pertama pemerintahannya agar Rumah Allah ini dibina semula. 14Bahkan segala kelengkapan emas dan perak daripada Rumah Allah, yang dahulunya diambil oleh Nebukadnezar dari Bait Suci di Yerusalem dan yang kemudiannya dibawa ke dalam kuil di Babel, seluruhnya diambil oleh Raja Kores dari kuil di Babel dan diserahkan kepada seorang bernama Sesbazar, yang diangkatnya menjadi pembesar. 15Titah raja kepadanya, "Ambillah segala kelengkapan ini. Pergilah, letaklah kesemuanya di Bait Suci di Yerusalem, dan biarlah Rumah Allah dibina semula di tempat asalnya." 16Selanjutnya Sesbazar datang dan meletakkan asas Rumah Allah di Yerusalem. Maka sejak masa itu sampai sekarang, bait itu dibina tetapi belum selesai.' 17Sekarang, jika diperkenan oleh Raja, adakanlah suatu carian di dalam perbendaharaan diraja di Babel, sama ada Raja Kores pernah memberikan perintah untuk membina semula Rumah Allah di Yerusalem itu. Kemudian sudilah Raja menyampaikan kehendaknya tentang hal tersebut kepada kami."