Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yehezkiel 38

A A A
Alkitab Versi Borneo

Firman Tuhan tentang Gog di Tanah Majuj

Penyerbuan Gog pada Akhir Zaman.

1Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 2A"Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu kepada Gog di tanah Majuj, iaitu raja agung negeri Mesekh dan Tubal. Bernubuatlah menentangnya 3dan katakan: Beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai Gog, raja agung negeri Mesekh dan Tubal. 4Aku akan menarik engkau dan mengenakan kelikir pada rahangmu. Akan Kubawa engkau keluar bersama-sama seluruh tenteramu, kuda dan pasukan berkuda kamu yang berpakaian lengkap, serta sejumlah besar orang dengan perisai besar dan perisai kecil; semua memegang pedang. 5Mereka disertai oleh orang Parsi, Kush, dan Put, yang semuanya berperisai serta berketopong; 6orang Gomer dengan seluruh pasukan mereka; orang Bet-Togarma dari hujung utara dengan seluruh pasukan mereka – banyak bangsa menyertai engkau. 7Bersiaplah, bersiaplah engkau dan seluruh pasukan yang bergabung denganmu. Jadilah pemimpin mereka. 8Lama setelah itu engkau akan dikerahkan. Pada tahun-tahun akhir zaman engkau akan datang ke negeri yang telah dipulihkan daripada pedang, iaitu negeri yang penduduknya dikumpulkan daripada kalangan banyak bangsa di atas gunung-gunung Israel yang telah lama jadi reruntuhan. Mereka semua dibawa keluar daripada kalangan bangsa dan tinggal dengan aman. 9Engkau, seluruh pasukanmu, dan banyak bangsa yang menyertaimu akan maju seperti badai, dan datang seperti awan yang menutupi bumi."

10Beginilah firman Tuhan Allah, "Pada hari itu akan timbul pelbagai fikiran dalam benakmu dan engkau akan membuat rancangan jahat. 11Engkau akan berkata, 'Aku akan maju menyerang negeri yang kampung-kampungnya tidak bertembok. Aku akan mendatangi orang yang hidup tenang dan tinggal dengan aman. Mereka semua tinggal tanpa tembok kota, tanpa palang pintu dan pintu gerbang.' 12Niatmu adalah untuk melakukan penjarahan dan mengadakan perampasan. Engkau pun berniat mengarahkan tangan terhadap reruntuhan-reruntuhan yang telah dihuni kembali, dan terhadap bangsa yang telah dikumpulkan daripada kalangan bangsa. Pada saat itu mereka telah memiliki ternak dan harta benda, serta tinggal di pusat bumi. 13Syeba, Dedan, dan saudagar-saudagar Tarsis serta segala singa muda mereka akan berkata kepadamu, 'Adakah engkau datang untuk melakukan penjarahan? Adakah engkau mengumpulkan pasukanmu untuk mengadakan perampasan, untuk mengangkut perak dan emas, untuk merebut ternak dan harta benda, dan untuk melakukan penjarahan besar-besaran?' "

14Oleh sebab itu, wahai anak manusia, bernubuatlah dan katakan kepada Gog: Beginilah firman Tuhan Allah, "Bukankah engkau tahu bahawa pada waktu itu umat-Ku Israel tinggal dengan aman? 15Namun demikian, engkau akan datang dari tempatmu di hujung utara bersama banyak bangsa yang menyertaimu. Mereka semua menunggang kuda – suatu kumpulan yang besar dan pasukan yang kuat. 16Engkau akan maju menyerang umat-Ku Israel seperti awan yang menutupi bumi. Hal itu akan terjadi pada akhir zaman. Aku akan membawa engkau menyerang tanah-Ku, wahai Gog, supaya bangsa-bangsa mengenal Aku ketika Aku menyatakan kesucian-Ku melalui engkau di hadapan mata mereka." 17Beginilah firman Tuhan Allah, "Bukankah engkau yang Kufirmankan pada zaman dahulu dengan perantaraan hamba-hamba-Ku, para nabi Israel? Pada masa itu, bertahun-tahun lamanya mereka bernubuat bahawa Aku akan membawa engkau untuk menyerang umat-Ku."

Hukuman Allah terhadap Gog

18'Namun demikian, inilah yang akan terjadi pada waktu itu: Ketika Gog datang menyerang Tanah Israel, demikianlah firman Tuhan Allah, murka-Ku akan bangkit. 19Dalam kecemburuan-Ku dan dalam murka-Ku yang berapi-api Aku berfirman, "Pada hari itu pasti terjadi gempa bumi yang besar di Tanah Israel. 20Ikan di laut, burung di udara, binatang di padang, segala makhluk yang merayap di tanah, dan semua manusia yang ada di muka bumi akan gementar di hadapan-Ku. Gunung-gunung akan runtuh, lereng-lereng gunung akan roboh, dan segala tembok akan jatuh ke bumi. 21Aku akan memanggil pedang untuk melawan Gog di seluruh gunung-Ku, demikianlah firman Tuhan Allah. Pedang setiap orang akan melawan jirannya. 22Aku akan menghukum dia dengan wabak penyakit dan penumpahan darah. Aku pun akan mencurahkan hujan lebat, hujan batu, api, dan belerang ke atasnya, ke atas pasukannya, dan ke atas banyak bangsa yang menyertainya. 23Aku akan menyatakan keagungan-Ku dan kesucian-Ku serta menyatakan diri-Ku di hadapan mata banyak bangsa. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan."