Alkitab Versi Borneo |
Nubuat bagi gunung-gunung Israel 1'Engkau, wahai anak manusia, bernubuatlah mengenai gunung-gunung Israel dan katakan: Wahai gunung-gunung Israel, dengarlah firman Tuhan. 2Beginilah firman Tuhan Allah, "Mengenai kamu musuh berkata, 'Syukur!' dan, 'Bukit-bukit purbakala itu telah menjadi milik kita.' " 3Oleh itu, bernubuatlah dan katakan: Beginilah firman Tuhan Allah, "Kerana kamu dijadikan sunyi dan dirompak dari segala penjuru sehingga kamu menjadi milik sisa bangsa-bangsa, menjadi buah mulut serta bahan cacian orang ramai, 4maka dengarlah firman Tuhan Allah, wahai gunung-gunung Israel." Beginilah firman Tuhan Allah kepada gunung-gunung dan bukit-bukit, kepada alur-alur sungai dan lembah-lembah, kepada reruntuhan-reruntuhan yang sunyi sepi dan kota-kota yang sudah ditinggalkan, iaitu yang menjadi rampasan serta bahan berolok-olok bagi saki-baki bangsa-bangsa di sekelilingnya, 5ya, beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, dalam api kecemburuan-Ku Aku berfirman menentang sisa bangsa-bangsa dan menentang seluruh Edom. Dengan segala kegembiraan hati dan penghinaan, tanah-Ku ditentukan mereka untuk menjadi milik mereka, sehingga padang ragut tanah-Ku itu menjadi rampasan. 6Oleh sebab itu bernubuatlah tentang Tanah Israel dan katakan kepada gunung-gunung dan bukit-bukit, kepada alur-alur sungai serta lembah-lembah: Beginilah firman Tuhan Allah, 'Sesungguhnya, Aku berfirman dalam murka kecemburuan-Ku. Kerana kamu telah menanggung aib daripada bangsa-bangsa, 7maka beginilah firman Tuhan Allah: Aku bersumpah, sesungguhnya bangsa-bangsa di sekelilingmu akan menanggung aib mereka. 8Tetapi kamu, wahai gunung-gunung Israel, kamu akan mengeluarkan cabang dan menghasilkan buah bagi umat-Ku Israel, kerana mereka akan segera datang. 9Lihat, Aku ada pada pihakmu dan Aku akan berpaling kepadamu. Kamu akan digarap dan ditaburi benih. 10Aku akan melipatgandakan jumlah manusia di atasmu, iaitu seluruh keturunan kaum Israel. Kota-kota akan dihuni kembali dan reruntuhan-reruntuhan akan dibangunkan kembali. 11Jumlah manusia dan binatang di atasmu akan Kulipatgandakan. Mereka akan bertambah banyak dan berkembang biak. Aku akan membuat kamu dihuni kembali seperti asalnya dan Aku akan berbuat baik kepadamu lebih daripada sebelumnya. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan. 12Aku akan membuat manusia, iaitu umat-Ku Israel, berjalan di atasmu. Mereka akan menduduki engkau dan engkau akan menjadi harta pusaka mereka. Engkau tidak akan membuat mereka kehilangan anak lagi.' " 13Beginilah firman Tuhan Allah, "Kerana orang berkata kepadamu, 'Engkau tanah yang memakan orang dan yang membuat bangsamu kehilangan anak,' 14maka engkau tidak akan lagi memakan orang dan tidak akan lagi membuat bangsamu kehilangan anak, demikianlah firman Tuhan Allah. 15Aku tidak akan lagi membiarkan engkau mendengar aib daripada bangsa-bangsa, dan engkau tidak akan lagi menanggung cela daripada suku-suku bangsa. Engkau tidak akan lagi membuat bangsamu jatuh, demikianlah firman Tuhan Allah." ' Janji Tuhan tentang pembaharuan hati dan roh 16Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 17'Wahai anak manusia, ketika keturunan kaum Israel tinggal di tanah mereka, mereka menajiskannya dengan perilaku dan perbuatan mereka. Perilaku mereka di hadapan-Ku sama seperti kenajisan perempuan yang datang haid. 18Oleh sebab itu Aku mencurahkan murka-Ku ke atas mereka kerana darah yang ditumpahkan mereka di negeri itu dan kerana negeri itu dinajiskan mereka dengan berhala-berhala mereka. 19Kucerai-beraikan mereka di antara bangsa sehingga mereka terserak di pelbagai negeri, dan Kuhakimi mereka selaras dengan perilaku serta perbuatan mereka. 20Di tempat mana-mana pun mereka pergi di antara bangsa, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci, kerana mereka disindir orang, "Mereka ini umat Tuhan, tetapi mereka harus keluar dari tanah-Nya." 21Aku berasa prihatin kerana nama-Ku yang suci dicemarkan oleh keturunan kaum Israel di antara bangsa yang didatangi mereka. 22Oleh sebab itu katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Beginilah firman Tuhan Allah, "Bukan kerana kamu Aku bertindak, wahai keturunan kaum Israel, melainkan kerana nama-Ku yang suci, yang kamu cemarkan di antara bangsa yang kamu datangi. 23Aku akan menyatakan kesucian nama-Ku yang agung, yang telah kamu cemarkan dalam kalangan bangsa. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan, demikianlah firman Tuhan Allah, ketika Aku menyatakan kesucian-Ku kepadamu di hadapan mata mereka. 24Aku akan mengambil kamu daripada kalangan bangsa, mengumpulkan kamu dari semua negeri, dan membawa kamu kembali ke tanahmu. 25Kamu akan Kurenjis dengan air suci, sehingga kamu menjadi suci. Akan Kusucikan kamu daripada segala kenajisanmu dan daripada segala berhalamu. 26AKemudian Aku akan mengurniakan kepadamu hati yang baru dan menaruh roh yang baru dalam batinmu. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuhmu dan Kukurniakan hati yang lembut kepadamu. 27Aku akan menaruh Roh-Ku dalam batinmu serta membuat kamu hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku, berpegang teguh pada peraturan-peraturan-Ku, dan mematuhi kesemuanya. 28Kamu akan tinggal di negeri yang Kukurniakan kepada nenek moyangmu, lalu kamu akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu. 29Akan Kuselamatkan kamu daripada segala kenajisanmu. Aku akan berfirman kepada gandum dan menumbuhkannya banyak-banyak. Bencana kebuluran tidak akan Kudatangkan atasmu. 30Aku akan melipatgandakan buah pokok serta hasil ladang supaya kamu tidak lagi menanggung cela di antara bangsa-bangsa kerana bencana kebuluran. 31Kamu akan teringat pada perilakumu yang jahat dan perbuatanmu yang tidak baik, dan kamu akan berasa muak kepada dirimu sendiri kerana kesalahan serta kekejianmu. 32Sedarilah, bukan kerana kamu Aku bertindak, demikianlah firman Tuhan Allah. Berasa malulah dan tanggunglah aib kerana perilakumu, wahai keturunan kaum Israel!" 33Beginilah firman Tuhan Allah, "Pada hari Aku menyucikan kamu daripada segala kesalahanmu, Aku akan membuat kota-kota dihuni kembali dan reruntuhan-reruntuhan dibangunkan kembali. 34Tanah yang sudah tandus itu akan digarap kembali sehingga tidak lagi sunyi sepi di hadapan mata semua orang yang berlalu. 35Mereka akan berkata, 'Tanah yang sudah tandus ini menjadi seperti taman Eden. Kota-kota yang sudah menjadi reruntuhan, sunyi, dan terbongkar sekarang berkubu dan dihuni orang.' 36Maka saki-baki bangsa-bangsa di sekelilingmu akan tahu bahawa Aku, Tuhan, telah membangunkan kembali yang sudah terbongkar dan menanami kembali yang sudah tandus. Aku, Tuhan, telah berfirman dan akan melaksanakannya." 37Beginilah firman Tuhan Allah, "Aku pun akan membolehkan keturunan kaum Israel memohon hal yang akan Kulakukan ini bagi mereka, iaitu menambah jumlah mereka hingga seperti kawanan domba. 38Sebanyak domba persembahan suci dan sebanyak domba di Yerusalem pada hari-hari perayaan, demikianlah ramainya manusia yang akan memenuhi kota-kota yang sudah menjadi reruntuhan. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan." '