Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yehezkiel 25

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nubuat melawan bani Amon

1ADatanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 2'Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu kepada bani Amon dan bernubuatlah menentang mereka. 3Katakan kepada bani Amon, "Dengarlah firman Tuhan Allah." Beginilah firman Tuhan Allah, "Kerana engkau berkata, 'Syukur!' mengenai tempat suci-Ku ketika tempat itu dicemari, mengenai Tanah Israel ketika tanah itu dijadikan tandus, dan mengenai keturunan kaum Yehuda ketika mereka pergi kepada pembuangan, 4maka sesungguhnya Aku akan menyerahkan engkau kepada bani Timur sebagai milik. Mereka akan mendirikan perkhemahan mereka dan menempatkan kediaman mereka antara kamu. Buah-buahanmu akan dimakan mereka, dan susu ternakanmu akan diminum mereka. 5Aku akan membuat Raba menjadi padang ragut bagi kawanan unta, dan wilayah bani Amon menjadi tempat kawanan domba berbaring. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan.

6Oleh sebab beginilah firman Tuhan Allah: Kerana engkau bertepuk tangan, menghentak-hentakkan kaki, dan bergembira atas keadaan Tanah Israel dengan hati penuh kedengkian, 7maka sesungguhnya Aku menghulurkan tangan-Ku untuk melawan engkau serta menyerahkan engkau kepada bangsa-bangsa sebagai rampasan. Aku akan melenyapkan engkau daripada antara suku bangsa dan membinasakan engkau dari berbagai-bagai negeri. Ya, Aku akan memusnahkan engkau, dan engkau akan tahu bahawa Akulah Tuhan." '

Nubuat melawan Moab

8BBeginilah firman Tuhan Allah, 'Kerana Moab dan Seir berkata, "Sungguh, keturunan kaum Yehuda itu sama dengan semua bangsa lain," 9maka sesungguhnya Aku akan membuka lereng-lereng Gunung Moab mulai kota-kotanya, iaitu kota-kota kebanggaan di perbatasan negeri itu: Bet-Yesimot, Baal-Meon, dan Kiryataim. 10Aku akan menyerahkannya bersama-sama bani Amon kepada bani Timur sebagai milik, supaya bani Amon tidak diingat lagi dalam kalangan bangsa. 11Aku akan menjatuhkan hukuman ke atas Moab, dan mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan.'

Nubuat melawan orang Edom

12CBeginilah firman Tuhan Allah, 'Kerana Edom membalas dendamnya terhadap keturunan kaum Yehuda dan bersalah besar dengan berbuat demikian, 13maka beginilah firman Tuhan Allah, "Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk melawan Edom dan melenyapkan manusia serta binatang di sana. Aku akan membuatnya untuk menjadi reruntuhan. Dari Teman sampai ke Dedan mereka akan tewas oleh pedang. 14Aku akan melakukan pembalasan terhadap Edom dengan perantaraan umat-Ku Israel, dan Edom akan diperlakukan menurut murka-Ku dan amarah-Ku. Maka mereka akan tahu bahawa itulah pembalasan-Ku, demikianlah firman Tuhan Allah." '

Nubuat melawan orang Filistin

15DBeginilah firman Tuhan Allah, 'Orang Filistin melakukan pembalasan terhadap Yehuda dan membinasakan mereka dengan hati yang penuh kedengkian kerana permusuhan yang tidak henti-hentinya. 16Maka beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, Aku akan menghulurkan tangan-Ku melawan orang Filistin. Aku akan melenyapkan orang Kreti dan membinasakan saki-baki orang lain yang tinggal di tepi laut. 17Akan Kulakukan pembalasan yang hebat terhadap mereka disertai hukuman-hukuman kemurkaan. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan ketika Aku mengadakan pembalasan terhadap mereka.'