Alkitab Versi Borneo |
Lambang kuali yang berkarat 1Pada tahun kesembilan, tepatnya pada hari kesepuluh dalam bulan kesepuluh, datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 2A'Wahai anak manusia, tulislah tarikh hari ini, ya, hari ini. Pada hari ini juga raja Babel mula mengepung Yerusalem. 3Sampaikanlah suatu ibarat kepada keturunan kaum yang derhaka itu dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan Allah, "Jeranglah kuali, jeranglah, dan tuanglah air pula ke dalamnya. 4Masukkanlah potongan daging di dalamnya, semua potongan yang baik-baik, paha dan bahu. Penuhilah kuali itu dengan tulang pilihan. 5Ambillah domba pilihan dan timbunkanlah tulang pula di bawahnya. Didihkanlah masakan itu, biarlah tulang-tulangnya pun direbus di dalamnya." 6Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Malangnya kota penumpah darah, iaitu kuali yang berkarat sebelah di dalamnya dan yang karatnya tidak kunjung hilang! Keluarkanlah potongan demi potongan daging yang ada di dalamnya tanpa mencabut undi. 7Darah yang ditumpahkannya masih ada di tengah-tengahnya. Dia menumpahkannya di atas bukit batu yang gondol. Dia tidak mencurahkannya di atas tanah supaya dilitupi oleh debu. 8Untuk membangkitkan murka dan untuk menuntut pembalasan, Aku telah menempatkan darah yang ditumpahkannya di atas bukit batu yang gondol supaya tidak dilitupi oleh debu." 9Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Malangnya kota penumpah darah! Aku pun akan memperbesar timbunan kayu bakar itu. 10Timbunkanlah banyak kayu, nyalakanlah api. Biarlah daging itu masak, campurkanlah rempah; dan biarlah tulang-tulang itu hangus. 11Kemudian letakkanlah kuali kosong itu di atas bara api supaya kuali itu menjadi panas dan tembaganya terbakar. Dengan demikian kotorannya akan lebur di dalamnya dan karatnya akan luruh. 12Sia-sia sahaja dia melelahkan diri. Karatnya yang banyak itu tidak dapat hilang daripadanya. Dalam api pun karatnya bertahan. 13Kenajisanmu ialah kecabulan. Aku ingin menyucikan engkau, tetapi engkau tidak juga suci daripada kenajisanmu. Oleh itu, engkau tidak akan disucikan lagi sampai Aku melampiaskan murka-Ku terhadapmu. 14Aku, Tuhan, telah berfirman. Hal itu akan terjadi dan akan Kulaksanakan. Aku tidak akan melalaikannya, tidak akan berasa hiba, dan tidak akan berbelas kasihan. Engkau akan dihakimi menurut kelakuanmu dan perbuatanmu, demikianlah firman Tuhan Allah." ' Kematian isteri Yehezkiel sebagai lambang kejatuhan Yerusalem 15Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 16'Wahai anak manusia, ketahuilah, dengan sekonyong-konyong Aku akan mengambil tambatan hatimu dari sisimu. Tetapi jangan meratap, jangan menangis, dan jangan mencucurkan air matamu. 17Mengeluhlah diam-diam. Jangan mengadakan ratapan kematian. Lilitkanlah ikat kepalamu dan kenakanlah kasut pada kakimu. Jangan tudung bahagian bawah mukamu dan jangan makan makanan perkabungan.' 18Keesokan paginya aku berbicara kepada orang ramai, dan pada waktu maghrib isteriku meninggal. Pada pagi yang berikut aku melakukan seperti yang diperintahkan kepadaku. 19Kemudian orang ramai bertanya kepadaku, 'Tidakkah engkau mahu memberitahu kami apa erti yang kaulakukan itu bagi kami?' 20Jawabku kepada mereka, 'Firman Tuhan datang kepadaku demikian, 21"Katakan kepada keturunan kaum Israel: Beginilah firman Tuhan Allah, 'Ketahuilah, Aku akan mencemarkan tempat suci-Ku, iaitu kekuatanmu yang kamu banggakan, tambatan hatimu, dan kesayangan jiwamu. Anak-anak lelakimu dan anak-anak perempuanmu yang kamu tinggalkan akan tewas oleh pedang. 22Lalu kamu akan melakukan seperti yang kulakukan: bahagian bawah mukamu tidak akan kamu tudung dan makanan perkabungan tidak akan kamu makan. 23Ikat kepala akan kamu pakai di kepalamu dan kasut di kakimu. Kamu tidak akan meratap dan tidak akan menangis, melainkan akan hancur lumat dalam hukumanmu kerana pelanggaranmu dan akan saling berkeluh-kesah antara satu sama lain. 24Demikianlah Yehezkiel menjadi suatu tanda bagimu. Kamu akan berbuat seperti semua yang dilakukannya. Ketika hal itu terjadi, kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan Allah.' 25Mengenai engkau, wahai anak manusia, inilah yang akan terjadi: Pada waktu Aku mengambil benteng mereka daripada mereka, iaitu kemuliaan yang membuat mereka girang, tambatan hati mereka, dambaan jiwa mereka, dan juga anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan, 26pada hari itu pula seorang yang terselamat akan datang menemuimu untuk melaporkan berita itu kepadamu. 27Pada waktu itu mulutmu akan terbuka untuk berbicara dengan orang yang terselamat itu. Engkau akan berbicara dan tidak akan kelu lagi. Demikianlah engkau akan menjadi suatu tanda bagi mereka dan mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan." '