Alkitab Versi Borneo |
Ratapan tentang raja-raja Israel 1Lantunkanlah suatu ratapan mengenai para pemimpin Israel. 2Katakanlah, 'Betapa hebatnya ibumu! Dia bagaikan seekor singa betina antara singa. Dia mendekam di tengah-tengah singa muda dan membesarkan anak-anaknya. 3Dia membesarkan seekor daripada anak-anaknya menjadi singa muda, lalu anaknya ini belajar mencabik-cabik mangsa dan memakan orang. 4Bangsa-bangsa pun mendengar tentangnya, dan ia tertangkap di dalam lubang jebakan mereka lalu dibawa dalam keadaan terbelenggu oleh cangkuk ke Tanah Mesir. 5Setelah singa betina itu melihat bahawa penantiannya dan harapannya lenyap, diambilnya seekor anaknya pula dan dibesarkannya menjadi singa muda. 6Anaknya ini berjalan-jalan di antara singa-singa, dan menjadi singa muda. Dia belajar mencabik-cabik mangsa dan memakan orang. 7Diamatinya tempat-tempat mereka yang terbengkalai dan ia merosakkan kota mereka. Negeri itu berserta dengan segala isinya menjadi sunyi kerana bunyi ngaumannya. 8Maka bangsa dari wilayah-wilayah sekitar bersiap menghadapinya. Mereka membentangkan jaring baginya, dan ia pun tertangkap di dalam lubang jebakan mereka. 9Ia dimasukkan di dalam kandang dalam keadaan terbelenggu oleh cangkuk. Ia dibawa kepada raja Babel dan dimasukkan dalam tahanan supaya suaranya tidak terdengar lagi di atas gunung-gunung Israel. 10Ibumu seperti pokok anggur di dalam kebun anggur, tertanam di tepi air. Dia berbuah dan bercabang kerana air yang berlimpahan. 11Padanya ada beberapa cabang yang kuat, yang menjadi cokmar kerajaan penguasa. Dia menjulang tinggi di antara cabang yang lebat lalu terlihat kerana tingginya dan kerana banyak rantingnya. 12Tetapi pokok anggur itu tercabut dalam murka lalu dicampakkan ke bumi. Angin timur melayukannya, buahnya berluruhan. Cabang-cabangnya yang kuat menjadi layu, api melahapnya. 13Sekarang pokok anggur itu tertanam di gurun, di gurun yang tidak berair. 14Api terpancar daripada cabangnya melahap ranting dan buahnya, sehingga tidak ada lagi padanya cabang yang kuat untuk menjadi cokmar kerajaan bagi penguasa.' Ini ialah suatu ratapan, dan akan terus digunakan sebagai ratapan.