Alkitab Versi Borneo |
Pemimpin Israel dihukum 1Kemudian Roh itu mengangkat aku dan membawa aku ke pintu gerbang timur Bait Tuhan, iaitu pintu yang menghadap ke sebelah timur. Di pintu gerbang itu tampak ada dua puluh lima orang. Antara mereka kulihat Yaazanya anak Azur dan Pelaca anak Benaya, pemimpin bangsa. 2Firman-Nya kepadaku, 'Wahai anak manusia, mereka inilah orang yang merancang kedurjanaan dan memberikan nasihat jahat di kota ini. 3Mereka berkata, "Belum waktunya membina rumah. Kota ini ibarat kuali dan kitalah dagingnya." 4Oleh sebab itu bernubuatlah menentang mereka. Bernubuatlah, wahai anak manusia!' 5Maka Roh Tuhan meliputi aku dan Dia berfirman kepadaku, 'Katakan: Beginilah firman Tuhan, "Itulah yang kamu katakan, wahai keturunan kaum Israel, tetapi Aku tahu apa yang timbul dalam hatimu. 6Kamu menambah jumlah orang yang kamu bunuh di kota ini dan memenuhi jalan-jalannya dengan mayat orang yang tertikam. 7Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah: Orang yang kamu bunuh dan yang kamu terlantarkan di dalam kota, mereka itulah daging dan kota inilah kuali. Namun demikian, kamu akan digiring keluar dari kota ini. 8Kamu takut pada pedang, maka pedanglah yang akan Kudatangkan ke atasmu, demikianlah firman Tuhan Allah. 9Aku akan menggiring kamu keluar dari kota ini dan menyerahkan kamu ke dalam tangan orang asing serta menjatuhkan hukuman atasmu. 10Kamu akan tewas oleh pedang. Di perbatasan-perbatasan Israel Aku akan menghukum kamu, dan kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan. 11Kota ini tidak akan menjadi kuali bagimu, dan kamu pun tidak akan menjadi daging di dalamnya. Aku akan menghukum kamu di perbatasan-perbatasan Israel, 12dan kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan, kerana kamu tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan tidak melakukan peraturan-peraturan-Ku, melainkan bertindak menurut peraturan bangsa-bangsa yang ada di sekeliling kamu." ' 13Sementara aku bernubuat, matilah Pelaca anak Benaya. Lalu aku sujud dan berseru dengan suara nyaring, kataku, 'Aduh, ya Tuhan Allah, apakah Engkau hendak memusnahkan saki-baki orang Israel?' Janji tentang pembaharuan Israel 14Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 15'Wahai anak manusia, penduduk Yerusalem berkata kepada semua saudaramu, iaitu sanak saudaramu, kerabatmu, dan seluruh keturunan kaum Israel, "Menjauhlah daripada Tuhan. Negeri ini telah dikurniakan kepada kami sebagai hak milik." 16Oleh sebab itu katakanlah: Beginilah firman Tuhan Allah, "Sekalipun Aku menyingkirkan mereka jauh di antara bangsa-bangsa dan sekalipun Aku mencerai-beraikan mereka di berbagai-bagai negeri, Aku menjadi tempat perlindungan yang suci bagi mereka untuk sementara waktu mereka berada di negeri-negeri tersebut." 17Oleh sebab itu katakanlah: Beginilah firman Tuhan Allah, "Aku akan menghimpunkan kamu daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan kamu dari negeri-negeri tempat kamu dicerai-beraikan. Aku akan mengurniakan Tanah Israel kepadamu." 18Mereka akan datang ke sana lalu menyingkirkan segala berhalai kejijikan dan segala kekejian dari tanah itu. 19AAku akan mengurniakan hati yang tidak terbahagi kepada mereka, dan Aku akan memberikan roh yang baru dalam diri mereka. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuh mereka dan Kukurniakan kepada mereka hati yang lembut. 20Dengan demikian mereka akan hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan berpegang teguh pada peraturan-peraturan-Ku serta melakukannya. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka. 21Tetapi bagi mereka yang hati berpaut pada berhala-berhala yang menjijikkan serta mengikuti kekejian-kekejiannya, Aku akan membalas perilaku mereka ke atas mereka sendiri, demikianlah firman Tuhan Allah.' 22BKemudian malaikat-malaikat kerubin itu mengangkat sayap, dan roda-roda itu pun ikut bersama-sama mereka. Kemuliaan Allah Israel ada di atas mereka. 23Lalu terangkatlah kemuliaan Tuhan itu dari tengah-tengah kota dan berdiam di atas gunung di sebelah timur kota. 24Roh itu mengangkat aku dan membawa aku dalam penglihatan yang berasal daripada Roh Allah ke negeri orang Kasdim, kepada orang buangan. Lalu penglihatan yang kudapat itu lenyap daripadaku 25dan aku menyampaikan kepada orang buangan itu segala hal yang diperlihatkan Tuhan kepadaku.