Alkitab Versi Borneo |
Kemuliaan Allah meninggalkan Bait Suci
1AKemudian kulihat, tampak di atas cakerawala yang ada di atas kepala malaikat-malaikat kerubin itu sesuatu seperti batu nilam, yang menyerupai arasy.i 2BDia pun berfirman kepada orang yang berpakaian linen itu, 'Masuklah ke antara roda berputar di bawah malaikat kerubin itu. Penuhi genggamanmu dengan bara api daripada antara malaikat kerubin itu lalu hamburkanlah ke atas kota itu.' Maka masuklah dia di hadapan mataku. 3Malaikat-malaikat kerubin itu berdiri di sebelah kanan Bait Suci ketika orang itu masuk. Awan memenuhi pelataran dalam, 4lalu terangkatlah kemuliaan Tuhan dari atas malaikat kerubin ke atas ambang pintu Bait Suci. Bait Suci pun dipenuhi awan, dan pelatarannya penuh dengan cahaya kemuliaan Tuhan. 5Bunyi sayap-sayap malaikat kerubin itu terdengar sampai ke pelataran luar, seperti suara Allah Yang Maha Kuasa ketika Dia berfirman. 6Kemudian Dia memberikan perintah kepada orang yang berpakaian linen itu, firman-Nya, 'Ambillah api dari antara roda berputar itu, daripada antara malaikat kerubin itu.' Maka masuklah ia dan berdiri di samping salah sebuah roda. 7Kemudian salah satu antara para malaikat kerubin menghulurkan tangannya ke arah api yang ada di antara mereka. Diambilnya sebahagian daripada api itu dan dibubuhnya pada kedua-dua telapak tangan orang yang berpakaian linen itu. Orang itu pun menerimanya lalu pergi. 8Pada malaikat-malaikat kerubin itu terlihat susuk tangan manusia di bawah sayap mereka. 9CKetika kulihat, tampak ada empat buah roda di samping malaikat-malaikat kerubin itu, sebuah roda di samping setiap kerubin. Roda-roda itu kelihatan serupa permata topaz. 10Mengenai bentuknya, keempat-empatnya kelihatan sama, seolah-olah roda yang satu berada di tengah-tengah roda yang lain. 11Ketika berjalan, mereka berjalan menurut salah satu arah daripada keempat-empat sisi mereka, dan tanpa berpaling. Jika mereka berjalan menurut arah salah satu muka, maka ke sanalah mereka semua berjalan, tanpa harus berpaling. 12DSekujur tubuh mereka, iaitu bahagian belakang mereka, tangan mereka, sayap mereka, dan sekeliling roda mereka penuh dengan mata, sama seperti roda mereka yang berempat itu. 13Kudengar roda-roda itu disebut 'roda berputar.' 14ESatu malaikat kerubin mempunyai empat muka: muka yang pertama ialah muka malaikat kerubin, muka yang kedua ialah muka manusia, yang ketiga ialah muka singa, dan yang keempat ialah muka helang. 15Kemudian malaikat-malaikat kerubin itu naik. Itulah makhluk-makhluk hidup yang kulihat di tepi Sungai Kebar. 16Ketika malaikat-malaikat kerubin itu berjalan, roda-roda itu pun berjalan di samping mereka. Ketika malaikat-malaikat kerubin itu mengangkat sayap untuk naik dari atas tanah, roda-roda itu pun tetap di samping mereka. 17Ketika malaikat-malaikat kerubin itu berhenti, roda-roda itu pun berhenti. Ketika malaikat-malaikat kerubin itu naik, roda-roda itu pun naik bersama-sama mereka, kerana roh makhluk-makhluk hidup itu ada di dalam roda-roda itu. 18Lalu kemuliaan Tuhan beranjak dari atas ambang pintu Bait Suci dan berdiam di atas malaikat-malaikat kerubin. 19Malaikat-malaikat kerubin itu mengangkat sayap lalu naik dari tanah di hadapan mataku. Ketika mereka beranjak, roda-roda itu ikut bersama-sama mereka. Seterusnya mereka berdiri dekat pintu gerbang timur Bait Tuhan, dan kemuliaan Allah Israel ada di atas mereka. 20Itulah makhluk-makhluk hidup yang dahulu kulihat di bawah Allah Israel, di tepi Sungai Kebar. Aku menyedari bahawa mereka itu malaikat kerubin. 21Masing-masing mempunyai empat muka dan empat sayap. Di bawah sayap mereka ada susuk tangan manusia. 22Mengenai raut muka mereka, itulah rupa muka yang kulihat di tepi Sungai Kebar, masing-masing berjalan lurus ke depan.