Alkitab Versi Borneo |
Belukar yang bernyala-nyala
1Sewaktu itu Musa menggembala kawanan ternakan domba kepunyaan ayah mertuanya, Yitro, imam di Midian dan dia menggiring ternakan itu ke daerah paling hujung di gurun lalu ke gunung Allah, iaitu Horeb. 2ALalu malaikat TUHAN menampakkan diri kepadanya dalam api bernyala di tengah-tengah sebuah belukar. Maka Musa melihat api menyala-nyala di tengah belukar itu walhal api itu tidak memakan pun belukar itu. 3Fikir Musa, "Elok juga jika kulihat dari dekat mengapakah belukar itu tidak terbakar?" 4Apabila TUHAN melihat Musa menghampiri-Nya, Allah pun berseru kepadanya dari tengah-tengah belukar itu, firman-Nya, "Musa, Musa!"
Lalu dia menjawab, "Ya, aku ada di sini."
5Allah berfirman, "Jangan datang lebih dekat. Tanggalkan kasutmu dari kakimu kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci." 6Firman-Nya lagi, "Akulah Allah ayahmu, juga Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub." Lalu Musa menutup mukanya, kerana dia takut memandang Allah. 7Berfirmanlah TUHAN, "Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka kerana dianiayai oleh para tukang kerah mereka. Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka. 8Maka Aku turun untuk membebaskan mereka daripada cengkaman warga Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu, iaitu wilayah orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus. 9Sesungguhnya, Aku telah mendengar rintihan orang Israel, dan telah melihat betapa tertindasnya mereka dalam tangan warga Mesir. 10Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir." 11Akan tetapi, Musa berkata kepada Allah, "Siapakah hamba-Mu ini sehingga hamba harus pergi menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?" 12Firman-Nya, "Sesungguhnya, Aku akan bersama dengan kamu. Inilah tanda untukmu bahawa Aku yang mengutus kamu: Apabila kamu telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada Allah di gunung ini." 13BKata Musa kepada Allah, "Tetapi apabila hamba mendatangi orang Israel dan berkata kepada mereka, 'Allah nenek moyangmu mengutus aku kepadamu,' mereka akan bertanya, 'Siapakah nama-Nya?' Apakah yang harus hamba katakan kepada mereka?" 14CFirman Allah kepada Musa, "Akulah AKU." Firman-Nya lagi, "Kamu harus berkata begini kepada orang Israel, 'Akulah AKU yang mengutus aku kepadamu.' 15Allah selanjutnya berfirman kepada Musa, "Kamu harus katakan begini kepada orang Israel, TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub, telah mengutus aku kepadamu.' Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya dan dengan nama itulah Aku diseru turun-temurun. 16Pergilah, kumpulkanlah kalangan tua-tua orang Israel, dan katakanlah kepada mereka, TUHAN, Allah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub telah menampakkan diri kepadaku dan berfirman, "Aku sungguh-sungguh mengendahkan umat-Ku dan memperhatikan apa yang dilakukan terhadapmu di Mesir. 17Maka Aku berfirman bahawa Aku akan membawa kamu keluar daripada kesusahan di Mesir, ke negeri orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus, iaitu ke tanah yang berlimpah-limpah susu dan madu." 18Mereka akan mendengar kata-katamu. Kemudian pergilah kamu bersama-sama kalangan tua-tua orang Israel menghadap raja Mesir dan katakanlah kepadanya, TUHAN, Allah orang Ibrani, telah menemui kami. Maka sekarang, izinkanlah kami pergi ke kawasan gurun sejauh tiga hari perjalanan, supaya kami dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami. 19Tetapi Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membiarkan kamu pergi kecuali dipaksa oleh kuasa yang jauh melebihi kuasanya. 20Maka, kuasa-Ku akan mengazab Tanah Mesir dengan pelbagai keajaiban yang akan Kuadakan di tengah-tengah mereka. Sesudah itu barulah dia akan mengizinkan kamu pergi. 21DAkan Kubuat warga Mesir berbaik hati kepada bangsa ini, sehingga kamu tidak pergi dengan tangan kosong ketika kamu pergi kelak. 22Setiap orang perempuan harus meminta barang-barang perak, barang-barang emas, dan pakaian daripada jirannya dan daripada pendatang perempuan yang menumpang di rumahnya. Kesemua itu akan kamu pakaikan pada anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan. Demikianlah kamu akan menjarah harta orang Mesir."