Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Keluaran 18

A A A
Alkitab Versi Borneo

Musa dinasihati mertuanya, Yitro

1Mertua Musa iaitu Yitro, imam di Midian, mendengar tentang semua pekerjaan Allah terhadap Musa dan terhadap Israel, umat-Nya, iaitu bahawa TUHAN telah membawa orang Israel keluar dari Mesir. 2AKemudian Yitro, mertua Musa itu, membawa Zipora, isteri Musa, yang sebelum itu disuruh Musa pulang, 3Bserta dua orang anak lelaki Zipora. Anak yang seorang bernama Gersom, kerana kata Musa, "Aku telah menjadi pendatang di negeri asing," 4dan yang seorang lagi bernama Eliezer, kerana katanya, "Allah ayahku ialah penolongku. Dia telah menyelamatkan aku daripada pedang Firaun." 5Akhirnya sampailah Yitro mertua Musa berserta anak-anak dan isteri Musa di gurun, tempat Musa berkhemah dekat dengan gunung Allah itu. 6Diutusnya orang untuk menyampaikan berita kepada Musa, "Aku, mertuamu Yitro, datang mengunjungimu bersama-sama isterimu serta kedua-dua orang anaknya." 7Maka keluarlah Musa untuk menemui mertuanya lalu dia sujud memberi hormat kepadanya dan menciumnya. Mereka saling bertanya akan keadaan satu sama lain lalu masuk ke dalam khemah. 8Musa menceritakan kepada mertuanya semua yang dilakukan TUHAN terhadap Firaun dan warga Mesir demi orang Israel, dan juga segala kesusahan yang dialami mereka ketika dalam perjalanan serta bagaimana TUHAN menyelamatkan mereka. 9Maka bersukacitalah Yitro mendengar segala kebaikan yang dilakukan TUHAN terhadap orang Israel dengan menyelamatkan mereka daripada tangan warga Mesir. 10Kata Yitro, "Segala puji-pujian bagi TUHAN yang telah menyelamatkan kamu daripada tangan warga Mesir serta daripada tangan Firaun, dan yang telah menyelamatkan bangsa ini daripada tangan warga Mesir. 11Sekarang aku tahu bahawa Tuhan lebih besar daripada semua tuhan, kerana hal ini dilakukan-Nya terhadap orang yang bersikap angkuh terhadap orang Israel." 12Lalu Yitro, mertua Musa, mempersembahkan korban bakaran dan beberapa korban sembelihan kepada Allah. Kemudian Harun dan semua tua-tua Israel datang untuk makan roti dengan mertua Musa di hadirat Allah.

Pelantikan hakim

13Keesokan harinya, Musa duduk menjadi hakim atas umat itu. Mereka itu berdiri di hadapan Musa dari pagi hingga petang. 14Ketika mertua Musa melihat semua pekerjaan Musa atas umat itu, berkatalah dia, "Apakah yang kaulakukan terhadap umat ini? Mengapakah engkau sendiri sahaja yang menjadi hakim sementara seluruh umat itu berdiri di hadapanmu dari pagi sampai petang?"

15Jawab Musa kepada mertuanya, "Sebabnya bangsa ini datang kepadaku untuk mencari petunjuk Allah. 16Jika ada suatu perkara antara mereka, maka mereka datang kepadaku dan aku menjadi hakim antara seorang dengan sesamanya. Aku menyampaikan kepada mereka segala ketetapan dan hukum Allah."

17Lalu kata mertua Musa kepadanya, "Apa yang kamu lakukan ini tidak baik. 18Sebab dengan cara itu, kamu dan juga umat yang berserta denganmu ini akan menjadi sangat penat. Pekerjaan ini terlalu berat bagimu dan engkau tidak dapat mengerjakannya seorang diri. 19Sekarang, dengarlah kata-kataku. Aku mahu memberikan nasihat kepadamu dan semoga Allah menyertai kamu. Kamu harus menghadap Allah mewakili umat itu serta menyampaikan perkara-perkara mereka kepada Allah. 20Ajarlah mereka ketetapan-ketetapan serta hukum-hukum, dan beritahu mereka cara hidup yang patut dijalani mereka serta pekerjaan yang patut dilakukan mereka. 21Selain itu, carilah dalam kalangan seluruh umat itu beberapa orang yang berkebolehan lagi takut kepada Allah, orang yang boleh dipercayai dan amanah iaitu tidak dapat disuap. Lantiklah mereka untuk menjadi pemimpin bagi seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. 22Biarkanlah mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Semua perkara yang besar-besar hendaklah dibawa mereka kepadamu, tetapi semua perkara yang kecil-kecil hendaklah diadili sendiri oleh mereka. Dengan demikian, akan ringanlah pekerjaanmu manakala mereka turut memikul beban untuk memimpin bersama-samamu. 23Jika hal itu kaulakukan dan Allah memang memerintahkannya kepadamu, maka engkau akan sanggup menanggungnya dan seluruh umat ini juga akan pulang ke tempat mereka dengan sejahtera."

24Musa mendengar nasihat mertuanya lalu melaksanakan semua yang dikatakannya. 25Daripada kalangan seluruh orang Israel, Musa memilih beberapa orang yang berkebolehan, dan melantik mereka untuk menjadi ketua ke atas umat itu sebagai pemimpin seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. 26Mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang ditetapkan. Perkara-perkara yang sukar dibawa mereka kepada Musa, tetapi mereka sendiri menghakimi perkara yang kecil-kecil.

27Kemudian Musa melepaskan mertuanya pergi, pulang ke negerinya sendiri.