Alkitab Versi Borneo |
Orang Israel berjaya mengatasi musuh mereka 1Maka pada hari ketiga belas pada bulan kedua belas, iaitu bulan Adar, apabila berkuat kuasanya perintah dan titah raja, musuh orang Yahudi berharap akan berkuasa atas mereka. Namun begitu, hal yang sebaliknya terjadi, kerana orang Yahudi pula berkuasa atas pihak-pihak yang memusuhi mereka. 2Berkumpullah orang Yahudi di kota-kota raya mereka di seluruh wilayah Raja Ahasyweros untuk memusnahkan orang yang merancangkan kejahatan terhadap mereka. Tiada seorang pun yang dapat bertahan menghadapi mereka atas sebab semua bangsa dilanda oleh rasa takut terhadap orang Yahudi. 3Kesemua pegawai wilayah, wakil raja, pembesar, dan pentadbir kerajaan membantu orang Yahudi, kerana mereka dilanda oleh rasa takut terhadap Mordekhai. 4Mordekhai memang menonjol di dalam istana raja dan kemasyhurannya tersebar ke seluruh wilayah lantaran pengaruhnya semakin besar. 5Orang Yahudi mengalahkan semua musuh mereka dengan mata pedang, dengan pembunuhan, dan pembinasaan. Mereka berbuat sesuka hati terhadap kalangan yang membenci mereka. 6Di dalam puri Susan sahaja orang Yahudi membunuh dan membinasakan lima ratus orang. 7Mereka juga membunuh Parsandata, Dalfon, Aspata, 8Porata, Adalya, Aridata, 9Parmasta, Arisai, Aridai, dan Waizata, 10kesepuluh-sepuluh orang anak lelaki Haman anak Hamedata, musuh orang Yahudi itu. Tetapi mereka tidak merampas harta benda musuh mereka. 11Pada hari yang sama, jumlah orang yang dibunuh di puri Susan disampaikan kepada raja. 12Kata raja kepada Ratu Ester, "Di dalam puri Susan sahaja orang Yahudi telah membunuh dan membinasakan lima ratus orang berserta kesepuluh-sepuluh anak Haman. Entah apa pula yang dilakukan mereka di wilayah-wilayah kerajaan yang selebihnya. Sekarang, apakah permohonanmu? Pasti akan dikabulkan bagimu. Apakah lagi permintaanmu? Pasti akan dipenuhi." 13Jawab Ester, "Jika diperkenankan oleh Raja, biarlah esok juga orang Yahudi yang tinggal di Susan diizinkan berbuat selaras dengan undang-undang hari ini, dan biarlah kesepuluh-sepuluh anak Haman digantung di tempat penggantungan." 14Lalu raja memberikan perintah untuk dilakukan demikian. Maka satu titah dikeluarkan di Susan dan kesepuluh-sepuluh orang anak Haman digantung. 15Orang Yahudi yang tinggal di Susan berkumpul pula pada hari keempat belas pada bulan Adar, dan membunuh tiga ratus orang di Susan tetapi mereka tidak merampas harta benda musuh mereka. 16Orang Yahudi lain, yang tinggal di wilayah-wilayah kerajaan, berkumpul dan menegakkan hak mereka dengan mendapat kelegaan daripada musuh mereka. Maka mereka membunuh tujuh puluh lima ribu orang yang membenci mereka, tetapi mereka tidak merampas harta benda daripada musuh mereka. 17Peristiwa itu terjadi pada hari ketiga belas pada bulan Adar. Mereka berhenti pada hari keempat belas pada bulan itu dan menjadikannya hari untuk mengadakan jamuan serta keraian. 18Tetapi orang Yahudi yang tinggal di Susan berkumpul pada hari ketiga belas dan keempat belas pada bulan itu. Mereka berhenti pada hari kelima belas dan menjadikannya hari untuk mengadakan jamuan serta keraian. 19Itulah sebabnya orang Yahudi di luar kota, iaitu penduduk kampung-kampung tidak bertembok, menjadikan hari keempat belas pada bulan Adar sebagai hari keraian dan jamuan, hari yang baik untuk saling mengirim makanan. Penetapan Hari Raya Purim 20Mordekhai mencatat segala peristiwa itu dan mengutus surat kepada semua orang Yahudi yang tinggal di seluruh wilayah Raja Ahasyweros, baik yang dekat mahupun yang jauh 21demi menyuruh mereka untuk merayakan hari keempat belas dan hari kelima belas pada bulan Adar setiap tahun. 22Pada hari-hari itulah orang Yahudi berasa lega daripada musuh-musuh mereka dan pada bulan itulah dukacita mereka berubah menjadi sukacita, dan hari perkabungan mereka menjadi hari keraian. Mereka hendaklah menjadikan hari-hari itu sebagai hari keraian dan jamuan, hari yang baik untuk saling mengirim makanan dan memberikan sedekah kepada kalangan miskin. 23Maka orang Yahudi terikat dengan perkara yang sudah mulai dilakukan mereka itu dan yang ditulis oleh Mordekhai kepada mereka. 24Sememangnya Haman anak Hamedata, bani Agag, musuh semua orang Yahudi itu, merancangkan untuk membinasakan orang Yahudi. Dia telah membuang pur, iaitu undi, untuk menghancurkan dan membinasakan mereka. 25Tetapi apabila perkara itu disampaikan kepada raja, maka melalui suratnya, baginda memerintahkan agar rancangan jahat yang digagaskan oleh Haman terhadap orang Yahudi itu dibalikkan atas dirinya sendiri, hinggakan dia serta anak-anaknya digantung di tempat penggantungan. 26Atas sebab itulah hari-hari itu dinamai Purim, bersempena dengan kata pur. Jadi, berdasarkan seluruh isi surat itu dan segala yang telah dilihat mereka sehubungan dengan hal itu dan apa yang telah menimpa mereka, 27orang Yahudi menerima sebagai ketetapan dan kewajipan atas diri mereka, atas keturunan mereka, dan atas semua orang yang bergabung dengan mereka, bahawa mereka tidak akan lalai merayakan kedua-dua hari itu menurut apa yang tertulis mengenai hal itu dan menurut waktu yang ditentukan setiap tahun. 28Hari-hari itu akan diperingati dan dirayakan oleh setiap keturunan, setiap kaum, setiap wilayah, juga setiap kota. Hari-hari Purim itu tidak akan lenyap daripada kehidupan orang Yahudi dan peringatannya tidak akan luput daripada seluruh keturunan mereka. 29Kemudian, dengan segala kekuasaannya, Ratu Ester anak Abihail menulis surat bersama-sama Mordekhai, orang Yahudi itu, untuk mengesahkan surat kedua mengenai Purim. 30Mordekhai mengirimkan surat-surat kepada semua orang Yahudi di seratus dua puluh tujuh buah wilayah Raja Ahasyweros, dengan ucapan salam dan ketulusan. 31Isinya menetapkan hari-hari Purim itu pada waktu yang ditentukan, sebagaimana yang telah ditetapkan bagi mereka oleh Mordekhai, orang Yahudi itu, juga oleh Ratu Ester, dan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mereka sendiri bagi diri mereka sendiri serta bagi keturunan mereka dalam hal berpuasa dan meratap. 32Perintah Ester yang menetapkan hal Purim itu, kemudian hal itu dicatat secara rasmi di dalam buku.