Alkitab Versi Borneo |
Dihidupkan dalam Kristus 1AKamu telah mati akibat kesalahan dan dosa 2yang dahulu kamu lakukan menurut jalan dunia, menurut raja segala kuasa di udara, roh yang sekarang bertindak dalam diri anak-anak derhaka. 3Kami semua juga pernah hidup sedemikian, memuaskan hawa nafsu, menunaikan kehendak tubuh dan fikiran, dan secara tabii merupakan anak-anak yang dimurkai, seperti yang lain juga. 4Namun Allah, yang kaya dengan belas kasihan, kerana kasih-Nya yang amat besar kepada kita, 5walaupun ketika kita telah mati disebabkan kesalahan kita, telah menghidupkan kita bersama Kristus – kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya. 6Allah telah membangkitkan kita bersama Kristus Yesus, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga, 7supaya pada zaman-zaman akan datang Allah dapat menunjukkan limpah kekayaan kasih kurnia-Nya dalam belas ihsan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus. 8Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah – 9bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah. 10Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan. Dipersatukan dalam Kristus 11Oleh itu, ingatlah bahawa dari segi tubuhmu kamu ini dahulu orang bangsa asing, disebut "orang tidak bersunat" oleh mereka yang disebut "orang bersunat" (iaitu sunat yang dibuat dengan tangan orang pada tubuh). 12Pada masa itu kamu tanpa Kristus, terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini. 13Tetapi sekarang dalam Kristus Yesus, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah Kristus. 14Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan. 15BDia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian, 16Cserta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu. 17DDan Dia datang dan mengkhabarkan perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat. 18Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh. 19Oleh itu, sekarang, kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warga negeri dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah, 20yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Kristus Yesus sendiri sebagai batu penjuru utama. 21Dalam Kristus seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi Bait Suci dalam Tuhan, 22maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.