Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Pengkhutbah 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kejahatan yang nyata

1Lalu aku melihat semula segala bentuk penindasan yang dilakukan di bawah matahari. Inilah yang aku lihat: Air mata orang yang tertindas dan tiada sesiapa pun yang menyenangkan hati mereka; kuasa ada pada pihak penindas walhal mereka yang tertindas tiada sesiapa yang menyenangkan hati mereka. 2Maka aku menganggap orang yang sudah mati lebih berbahagia daripada orang yang masih hidup sehingga kini. 3Tetapi lebih berbahagia daripada kedua-duanya itu ialah orang yang belum ada, yang belum melihat perbuatan segala kejahatan yang dilakukan di bawah matahari.

4Dan aku melihat segala usaha jerih payah dan segala kemahiran dalam pekerjaan itu berpunca daripada iri hati seseorang terhadap jirannya. Maka itu jua kesia-siaan dan usaha menjaring angin.

5Si bodoh berpeluk tangannya dan memakan dagingnya sendiri.

6Segenggam penuh ketenangan lebih baik daripada dua genggam penuh jerih lelah dan usaha menjaring angin.

7Sekali lagi aku melihat kesia-siaan di bawah matahari: 8Ada seorang yang hidup bersendirian, yang tiada anak lelaki atau saudara lelaki. Biarpun dia tidak henti-henti berusaha dengan jerih lelah, namun matanya tetap tidak puas dengan kekayaan; lalu bertanyalah dia: "Untuk siapakah aku berjerih lelah dan menolak kesenangan ini? Itu pun kesia-siaan dan perkara yang teruk.

9Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana mereka menerima upah yang baik atas penat lelah mereka. 10Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya, tetapi malangnya orang yang jatuh dan tiada sesiapa untuk mengangkatnya! 11Juga apabila orang tidur berdua, mereka akan terasa panas, tetapi bagaimana yang tidur bersendirian dapat berasa panas? 12Dan orang yang bersendirian dapat ditewaskan, dua orang dapat bertahan. Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan.

13Lebih baik si pemuda miskin yang bijaksana berbanding dengan seorang raja tua yang bodoh, yang sudah tidak mahu menerima nasihat. 14Sebabnya si pemuda keluar dari penjara untuk menjadi raja meskipun dia dilahirkan miskin dalam kerajaan itu. 15Aku melihat semua orang yang hidup di bawah matahari berjalan mengiringi si pemuda yang kelak memerintah sebagai pengganti raja tua itu. 16Lalu tidak habis-habis rakyat yang kesemuanya dipimpinnya, namun orang yang sebelumnya dan yang datang kemudian, tidak menyukai dia. Maka, ini pun kesia-siaan dan usaha menjaring angin.