Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ulangan 25

A A A
Alkitab Versi Borneo

Menentang kekerasan yang sewenang-wenang

1Seandainya timbul persengketaan antara beberapa orang, lalu mereka pergi ke muka pengadilan dan diadili lalu seorang didapati tidak bersalah dan seorang lagi dihukum kesalahannya. 2Jika kemudian orang yang bersalah itu patut disebat, maka hakim harus menyuruh dia meniarap dan menyuruh seseorang menyebat si pesalah itu di hadapan hakim dengan jumlah sebatan yang setimpal dengan kadar kesalahannya, 3Anamun tidak lebih daripada empat puluh kali. Jika dia disebat lebih daripada jumlah tersebut, maka bererti saudaramu dihina di hadapan matamu.

4BJangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijian.

Kewajipan mengahwini isteri saudaramu

5CJika orang yang bersaudara tinggal bersama-sama, lalu seorang daripada mereka meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, maka janganlah isteri orang yang meninggal itu berkahwin lagi dengan orang di luar keluarganya. Iparnya harus datang kepadanya, meminangnya menjadi isterinya, dan memenuhi kewajipan perkahwinan ipar terhadapnya. 6Anak sulung yang dilahirkan perempuan itu akan menjadi penegak nama saudara yang meninggal itu, supaya namanya tidak terhapus daripada kalangan Israel. 7DJika orang itu tidak mahu menikahi isteri saudaranya, maka hendaklah balu itu pergi ke pintu gerbang menghadap para tua-tua serta berkata, 'Iparku menolak menegakkan nama saudaranya dalam kalangan orang Israel. Dia tidak mahu memenuhi kewajipan perkahwinan ipar terhadap aku.' 8Setelah itu, para tua-tua kota harus memanggil orang itu dan berbicara kepadanya. Jika dia tetap pada pendiriannya dan berkata, 'Aku tidak mahu memperisterinya,' 9maka hendaklah isteri saudaranya itu mendekati orang itu di hadapan mata para tua-tua itu lalu menanggalkan kasut daripada kakinya dan meludahi mukanya sambil berkata, 'Beginilah orang yang tidak mahu membina keluarga saudaranya akan diperlakukan.' 10Maka di Israel nama keluarganya akan disebut: Keluarga yang kasutnya ditanggalkan.

Larangan bersikap biadab

11Jika dua orang sedang berkelahi satu sama lain lalu isteri salah seorang datang untuk menolong suaminya daripada orang yang memukulnya, dan dia menghulurkan tangannya lalu mencengkeram kemaluan orang itu, 12maka hendaklah kamu memotong tangan perempuan itu dan jangan berasa hiba terhadapnya.

Timbang sukat yang benar

13EJangan ada batu timbangan yang berlainan, iaitu yang besar dan yang kecil di dalam kantungmu. 14Di dalam rumahmu jangan ada penyukat yang berlainan, iaitu yang besar dan yang kecil. 15Sebaliknya, hendaklah kamu memiliki batu timbangan yang tepat dan benar, juga penyukat yang tepat dan benar, supaya lanjut umurmu di tanah yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu. 16Tuhan, Allahmu, memandang keji semua orang yang berbuat demikian, iaitu semua orang yang melakukan kecurangan.

Perintah untuk menghapuskan orang Amalek

17FIngatlah apa yang dilakukan orang Amalek terhadap kamu dalam perjalananmu setelah kamu keluar dari Mesir. 18Ketika kamu lelah dan penat, mereka mendatangimu di jalan dan menyerang barisan belakangmu, iaitu semua orang lemah yang ketinggalan di belakang kamu. Mereka tidak takut kepada Allah. 19Jadi, apabila Tuhan, Allahmu, telah mengurniakan keamanan kepadamu daripada semua musuh di sekelilingmu di negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka untuk diduduki. Oleh itu, hendaklah kamu hapuskan ingatan kepada orang Amalek daripada kolong langit. Jangan lupa!