Alkitab Versi Borneo |
Hal tentang tolong-menolong 1AJangan berpura-pura tidak tahu apabila kamu melihat lembu atau domba saudaramu tersesat tetapi hendaklah kamu membawa haiwan itu pulang kepada saudaramu. 2Jika saudaramu itu tidak tinggal dekat denganmu atau jika kamu tidak mengenalnya, bawalah haiwan itu ke rumahmu untuk tinggal denganmu sampai saudaramu mencarinya. Kemudian pulangkanlah haiwan itu kepadanya. 3Perbuatlah demikian juga dengan keldainya, pakaiannya, dan segala barang milik saudaramu yang hilang yang kamu temukan. Kamu tidak boleh pura-pura tidak tahu. 4Apabila kamu melihat keldai atau lembu saudaramu rebah di jalan, jangan berpura-pura tidak tahu, melainkan bantulah saudaramu membangunkannya. Pelbagai peraturan 5Seorang perempuan tidak boleh memakai pakaian lelaki, dan seorang lelaki tidak boleh memakai pakaian perempuan. Tuhan, Allahmu, memandang keji sesiapa sahaja yang berbuat demikian. 6Jika kamu terjumpa sarang burung dalam perjalanan, baik di atas pokok mahupun di atas tanah, dengan anak-anak burung atau telur-telur di dalamnya serta sang induk yang sedang melindungi anak-anak atau telur-telur itu, jangan kauambil sang induk bersama-sama anak-anaknya. 7Anak-anaknya boleh kamu ambil, tetapi hendaklah sang induk kamu lepaskan, supaya baik keadaanmu dan lanjut umurmu. 8Apabila kamu membina rumah baru, pasanglah pagar di sekeliling pinggir atapnya supaya jangan kamu tanggung hutang darah atas rumahmu jika seseorang jatuh dari situ. 9BJangan semai dua jenis benih di dalam kebun anggurmu supaya jangan seluruh hasil kebun anggurmu termasuk benih lain yang kautaburkan itu menjadi milik tempat suci. 10Jangan membajak dengan lembu dan keldai bersama-sama menarik bajakmu. 11Jangan kenakan pakaian daripada bahan campuran, iaitu bulu domba dan linen, secara bersama-sama. 12CBuatlah untaian tali pada keempat-empat bucu pakaian yang menutupi tubuhmu. Hukum perkahwinan 13Seandainya seorang lelaki memperisteri seorang perempuan, tetapi setelah menghampirinya dia tidak mencintainya lagi, 14bahkan dia melemparkan tuduhan yang memalukan terhadap perempuan itu dan membusukkan namanya dengan berkata, 'Aku telah memperisteri perempuan ini, tetapi setelah aku menghampirinya tidak kudapati tanda-tanda keperawanan padanya.' 15Maka ayah gadis itu berserta ibunya harus mengambil tanda-tanda keperawanan gadis itu dan membawanya kepada para tua-tua kota di pintu gerbang. 16Hendaklah ayah gadis itu berkata kepada para tua-tua, 'Aku telah memberikan anakku kepada lelaki ini untuk menjadi isterinya, tetapi kemudian dia tidak mencintainya lagi. 17Bahkan dia melemparkan tuduhan yang memalukan dengan berkata, "Aku tidak mendapati tanda-tanda keperawanan pada anakmu." Inilah tanda-tanda keperawanan anakku.' Kemudian mereka harus membentangkan pakaian itu di hadapan para tua-tua kota. 18Selanjutnya hendaklah para tua-tua kota itu harus mengambil lelaki itu dan menghukumnya 19serta mendendanya seratus syikal perak untuk diberikan kepada ayah si gadis, kerana dia telah mengaibkan nama seorang perawan Israel. Hendaklah perempuan itu terus menjadi isterinya, dan dia tidak boleh mengusir perempuan itu seumur hidupnya. 20Akan tetapi, jika hal itu benar, iaitu tidak didapati tanda-tanda keperawanan pada si gadis, 21maka hendaklah gadis itu dibawa ke luar, ke depan pintu rumah ayahnya. Kemudian orang lelaki kota itu harus merejam dia sampai mati, kerana ia telah melakukan hal yang keji di Israel dengan bersundal di rumah ayahnya. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalanganmu. 22Jika seorang lelaki didapati meniduri seorang perempuan yang sudah bersuami, maka hendaklah kedua-dua mereka dihukum mati, baik lelaki yang meniduri perempuan itu mahupun perempuan itu sendiri. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalangan orang Israel. 23Jika ada seorang gadis perawan yang sudah bertunangan dengan seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain di kota itu lalu tidur dengannya, 24maka hendaklah kamu membawa kedua-duanya keluar ke pintu gerbang kota itu. Rejamlah mereka sampai mati – si gadis, kerana dia tidak berteriak meskipun di dalam kota, dan si lelaki, kerana dia mencabuli isteri jirannya. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalanganmu. 25Akan tetapi, jika lelaki itu bertemu dengan gadis yang sudah bertunangan itu di padang, lalu lelaki itu memaksa serta meniduri gadis itu, maka hendaklah lelaki yang meniduri gadis itu sahaja yang dihukum mati. 26Jangan lakukan apa-apa terhadap si gadis, kerana gadis itu tidak melakukan dosa yang setimpal dengan hukuman mati. Perkara ini sama halnya dengan seorang yang bangkit menyerang orang lain dan membunuhnya, 27kerana lelaki itu bertemu dengan gadis itu di padang, dan sekalipun gadis yang sudah bertunangan itu berteriak, tidak ada seorang pun yang menolongnya. 28DJika seorang lelaki bertemu dengan seorang gadis perawan yang belum bertunangan, lalu dia menangkapnya dan menidurinya, tetapi kemudian mereka tertangkap berseketiduran, 29maka hendaklah lelaki yang meniduri gadis itu memberikan lima puluh syikal perak kepada ayah gadis itu, dan hendaklah gadis itu dijadikannya isterinya kerana dia telah memperkosanya dan dia tidak boleh mengusir perempuan itu seumur hidupnya. 30ESeorang lelaki tidak boleh memperisteri isteri ayahnya dan tidak boleh mengaibkan ayahnya.